Kenali Sejarawan N.A. Halim Dari Lenggong, Perak

Nama N.A. Halim cukup dikenali oleh peminat sejarah tempatan terutamanya mereka yang gemarkan sejarah tempatan dalam negeri Perak Darul Ridzuan. Nama sebenar Abdul Halim Nasir atau lebih dikenali dengan nama N.A. Halim adalah merupakan seorang penyelidik dan budayawan dalam warisan seni bina Melayu.

Abdul Halim Nasir bukan sahaja dikenali sebagai seorang budayawan, tetapi beliau juga adalah seorang sejarawan dan ahli arkeologi yang banyak memberi sumbangan besar terhadap kajian dalam ketiga-tiga bidang tersebut.

Allahyarham N.A. Halim telah dilahirkan di Kampung Masjid Lama yang terletak di Lenggong, Perak dalam tahun 1938 dan beliau telah mendapat pendidikan dasar di Sekolah Melayu Lenggong kemudian dalam tahun 1950 an, beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur.

Sewaktu dalam hayatnya, Allahyarham N.A. Halim pernah berkhidmat di Muzium Negara selama 23 tahun sehingga bersara pada tahun 1988 sebelum beliau dilantik menjadi Karyawan Tamu di ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1989.

Semasa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Allahyarham N.A. Halim telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Sastera pada hari Konvokesyen ke 18 bersamaan tarikh 12 Ogos 1990. Di samping itu, beliau turut menerima Anugerah Khidmat Cemerlang dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1978.

Kenali Sejarawan N.A. Halim Dari Lenggong, Perak

Nama beliau cukup diingati sehingga ke hari ini kerana beliau telah menghasilkan lebih daripada 20 buah buku yang banyak menceritakan tentang keindahan seni bina Melayu, rumah tradisional, masjid di Nusantara, kota-kota Melayu serta epigrafi dunia Melayu.

Beliau juga pernah ditugaskan untuk menyelidik dan telah menghasilkan beberapa buku seperti Masjid di Alam Melayu-Nusantara, Istana dan Raja-raja Melayu di Nusantara, Warisan Seni Bina Melayu dan Estetika Dalam Seni Bina Melayu bersama-sama dengan Professor Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh. Selain itu, beliau juga sering menulis di akhbar-akhbar tempatan, jurnal, serta majalah serta sering membentangkan kertas kerja di seminar-seminar budaya kebangsaan dan antarabangsa.

Kenali Sejarawan N.A. Halim Dari Lenggong, Perak

N.A Halim di makam Almarhum Sultan Muzaffar Shah 1 (Sultan Perak Pertama)

Abdul Halim Nasir juga pernah menjadi kolumnis di akhbar Utusan Malaysia dengan pelbagai tulisan yang menyentuh aspek seni bina istana, masjid, makam serta hubungan politik tradisional di Tanah Melayu dan Nusantara.

Antara karya-karya beliau yang pernah diterbitkan ialah Sejarah Perak I (1974), Tempat-tempat Sejarah di Perak (1981), Tempat-Tempat Sejarah di Kelantan (1982), Masjid-Masjid di Semenanjung Malaysia (1984) dan Kota-kota Melayu (1990).

Kenali Sejarawan N.A. Halim Dari Lenggong, Perak

Pada tarikh 25 Oktober 1999, Abdul Halim Nasir telah meninggal dunia di Hospital Kajang, Selangor. Jenazah Allahyarham N.A. Halim juga telah selamat dikebumikan pada hari yang sama Allahyarham meninggal dunia.

Sumber dan Rujukan:

  • Utusan Online (Arkib) 27 Oktober 1999
Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here