Perlombongan bijih timah di Perak bukanlah satu perkara yang baru. Sebenarnya ia mungkin telah berjalan sejak sebelum pemerintahan Sultan Perak ke 11 lagi iaitu dalam awal abad ke 16.
Kedatangan Belanda di negeri Perak pula dapat di lihat dengan tinggalan Kota Belanda yang kini ada di Pulau Pangkor. Kota Belanda di Pulau Pangkor ini telah dibina dalam tahun 1670 sewaktu pemerintahan Sultan Perak ke 11.
Kota Belanda di Pulau Pangkor ini pada asalnya telah digunakan sebagai gedung untuk menyimpan bijih timah yang mana sebagai pusat pengumpulan yang diperoleh dari Negeri Perak.
Perlombongan Bijih Timah di Perak
Tidak dinafikan bahawa Negeri Perak adalah merupakan antara pengeluar bijih timah yang utama di dunia sebelum ini dan ia telah menarik minat Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) untuk mengawal serta memonopoli hasil dagangan tersebut.
Catatan dalam buku Misa Melayu tulisan Raja Chulan ada menceritakan tentang pemerintahan Sultan Perak ke 13 dan Sultan Perak ke 14 secara ringkas dan Sultan Perak ke 15 sepenuhnya.
Dalam buku tersebut sedikit sebanyak ada menceritakan tentang perjanjian antara Belanda dengan Sultan Perak ke 15 untuk membina Kota Belanda di Pengkalan Halban dan perjanjian tentang perlombongan bijih timah di negeri Perak.
Pada zaman itu, kebanyakan aktiviti perlombongan bijih timah telah diusahakan oleh orang Melayu secara tradisional dengan menggunakan kaedah mendulang dan melampan.
Siapa Long Jaafar?
Nama Long Jaafar sudah tidak asing lagi apabila kita berbicara tentang perihal bijih timah di negeri Perak. Beliau adalah antara ikon besar buat orang melayu yang menjalankan aktiviti perlombongan bijih timah.
Long Jaafar adalah individu yang mula-mula menemukan bijih timah di kawasan Larut dan beliau telah mengusahakannya dalam tahun 1848 sehingga menjadi antara orang yang cukup kaya.
Ngah Ibrahim pula adalah anak kepada Long Jaafar yang juga antara nama besar dalam industri perlombongan bijih timah di Negeri Perak. Beliau telah dibuang ke Pulau Seychelles kerana terpalit dengan kes pembunuhan J.W.W. Birch.
Kaedah dan Cara Melombong Bijih Timah
Secara umumnya, terdapat 4 kaedah dan cara utama yang masing-masing telah telah berevolusi seiring mengikuti perkembangan teknologi pada zaman tersebut dalam melombong bijih timah.
- Mendulang
- Lombong Dedah
- Pam Kelikir
- Kapal Korek
Mendulang – Aktiviti mendulang ini kebiasaannya dijalankan di sungai atau di mana-mana bekas kawasan lombong. Tanah yang ada di dalam dulang akan diayak untuk mengasingkan bijih timah dari tanah.
Lombong Dedah – Kawasan tanah yang mengandungi bijih timah akan dikorek dengan menggunakan jentera pengorek dan tanah yang diambil akan dibawa ke kilang pembersih dengan lori. Kilang tersebut akan mengasingkan bijih timah dari segala benda asing yang ada.
Pam Kelikir – Kebiasaannya, kaedah dengan menggunakan pam kelikir untuk dapatkan bijih timah ini dibuat di kawasan kaki-kaki bukit. Kuasa pancutan air dari tekanan yang cukup kuat diperlukan untuk memecahkan struktur tanah yang mengandungi bijih timah.
Kapal Korek – Ia adalah umpama sebuah kilang yang boleh terapung di atas tasik buatan atau tasik semulajadi. Kapal korek ini akan mengorek tanah yang mengandungi bijih timah dan pengasingan bijih timah dijalankan di dalam kapal korek tersebut.
Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta
Untuk dapatkan lebih maklumat yang mendalam tentang sejarah perlombongan bijih timah di negeri Perak anda boleh ke Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta yang terletak di Kampar, Perak.
Muzium ini telah dibuka pada tarikh 24 Oktober 2012 dan penubuhan Muzium Perlombongan ini telah diilhamkan oleh Tan Sri Hew See Tong iaitu seorang bekas pemilik lombong bijih timah selama 40 tahun sejak tahun 1949 sehingga tahun 1989.
- Bayaran masuk percuma
- Isnin hingga Jumaat ( 9.00 am hingga 1.00 pm )
- Sabtu dan Ahad ( 9.00 am hingga 4.00 pm )
- Website : http://kamparmuseum.com.my
Kapal Korek Tanjung Tualang 5 (TT5)
Kapal Korek pertama diperkenalkan di Malaysia ialah pada 1913 oleh Malayan Tin Dredging Limited di Batu Gajah, Perak. Manakala kapal korek baru yang terakhir dibina di Malaysia ialah pada tahun 1985.
Kapal Korek Tanjung Tualang 5 (TT5) dibina pada tahun 1938 telah menjalani naiktaraf dari enjin wap dengan menggunakan arang batu kepada elektrik sepenuhnya pada tahun 1963.
Masa Lawatan:
- 9.00 Pagi hingga 6.00 petang (Selasa hingga Ahad)
Harga Tiket:
- Dewasa (13-64 Tahun) – My Kad RM10.00| Non-My Kad RM20.00
- Warga Emas (65 Tahun Keatas) – My Kad RM5.00| Non-My Kad RM20.00
- Kanak-kanak (6 Tahun Kebawah) – PERCUMA
Anda masih boleh mengunjungi kesan tinggalan Kapal Korek Tanjung Tualang 5 (TT5) yang masih terdapat di Batu 5, Jalan Tanjung Tualang. Kapal korek ini kini di bawah kawal selia Jabatan Antikuiti dan Muzium Perak Darul Ridzuan.