Ngah Ibrahim, Jutawan Tanah Melayu Abad Ke 19

Ramai dari kita yang tahu kisah keperwiraan Orang Kaya-Kaya Tengku Menteri Ngah Ibrahim dalam peristiwa pembunuhan J.W.W Birch yang mengakibatkan beliau dibuang negeri ke Pulau Seychelles. Namun tidak ramai dari kita yang tahu cerita kejayaan beliau dalam membangunkan ekonomi dan membawa keamanan ke negeri Perak ini. Artikel orangperak.com pada kali ini akan mengupas kisah Ngah Ibrahim sebagai jutawan Melayu zaman dahulu.

Ngah Ibrahim Bin Long Jaafar dilahirkan pada tahun 1837. Ada yang mengatakan 1836 serta tahun 1840. Bapa beliau merupakan pembesar Bukit Gantang dan juga individu yang bertanggungjawab membuka lombong bijih timah di Klian Pauh (kini Taiping). Ngah Ibrahim membesar di Kota Bukit Gantang bersama-sama abangnya Kulop Seman dan adiknya Cik Alang Sepiah. Sebagai anak kepada seorang usahawan dan pengusaha pelombong bijih timah, ahli perniagaan dan pengutip cukai yang kaya raya pada abad ke 19, beliau telah dijadikan sebagai anak angkat oleh Paduka Seri Sultan Jaafar Mu’azzam Shah.

kota ngah ibrahim

Kisah Ngah Ibrahim sebagai pakar ekonomi dan bangsawan terkemuka negeri Perak bermula apabila Paduka Seri Sultan Jaafar Mua’azzam Shah(1857-1865) mengurniakan satu geran pada 24 Mei 1858 yang mengesahkan Ngah Ibrahim sebagai pentadbir daerah Larut yang merangkumi Krian sehingga Bagan Tiang. Geran tersebut yang dianugerahkan itu membuatkan kuasa Ngah Ibrahim bertambah kukuh apabila diberi hak oleh Sultan untuk menggubal undang-undang sendiri dan berupaya pula berhubung terus dengan pihak British tanpa melalui Istana Perak.

Namun pemerintahan Ngah Ibrahim diuji apabila berlakunya Perang Larut yang tercetus dari 1861 sehingga 1873 yang diakibatkan perbalahan soal perdagangan, monopoli kawasan perlombongan dan isu saliran air di samping hal ehwal hutang piutang di antara dua puak kongsi Cina iaitu Ghee Hin dan Hai San. Dengan bakat kepimpinan yang ada pada Ngah Ibrahim, beliau berjaya membawa keamanan di kawasan tersebut apabila bersetuju membayar ganti rugi kepada pihak Ghee Hin dengan duitnya sendiri sebanyak $17,447.04 dan Sultan Jaafar yang kagum dengan cara Ngah Ibrahim akhirnya memberi hak kepada beliau untuk memerintah dan mentadbir daerah Larut bagi pihak Sultan Perak. Beliau telah membawa keamanan kepada kawasan Larut buat seketika.

kota ngah ibrahim

Pada 23 Oktober 1863, Paduka Seri Sultan Jaafar mengurniakan gelaran Orang Kaya Menteri Sri Paduka Tuan kepada Ngah Ibrahim iaitu kedudukan Orang Besar Keempat dalam susunan pentadbiran Kerajaan Perak. Melalui kurniaan tersebit, Ngah Ibrahim memperoleh kuasa mentadbir Larut yang merangkumi kawasan Krian, Kuala Beruas dan Bukit Berapit. Walaubagaimana pun pada 31 Mac 1864, Sultan telah membuat kurniaan baru dikeluarkan yang telah mengecilkan kawasan tadbir Ngah Ibrahim hanya meliputi dari Larut ke Krian dan Bagan Tiang. Dalam masa enam bulan kekuasaan pentadbiran Ngah Ibrahim telah dikecilkan. Ini kerana pada ketika itu, menjadi amalan segala tanah hanya boleh didapati melalui pemberian Sultan yang memerintah dan baginda berhak untuk memberi dan mengambil mengikut kehendak baginda.

Ngah Ibrahim telah memperkenalkan sistem pengurusan moden di Perak di mana Kota Matang telah menjadi pusat pentadbirannya. Sebagai Orang Besar Keempat, beliau juga menjadi penasihat Yang Dipertuan Perak. Namun begitu, beliau masih tertakluk kepada Sri Paduka. Di kelompok pegawai dan orang Eropah, Ngah Ibrahim dikenali sebagai Raja Larut manakala di kalangan orang Melayu, beliau dipanggil Tengku Menteri.

kota ngah ibrahim

Dengan kedudukan tertinggi dan kuasa di tangan, Tengku Menteri mula merancang pembangunan prasarana asa bermula dengan pembinaan sebuah kediaman sebagai hadiah kepada isterinya, Toh Puan Halimah yang sekaligus menjadi kubu serta pusat pentadbirannya di Matang dinamakan Kota Ngah Ibrahim. Beliau juga membina jalan dari Matang ke Kelian Pauh serta masjid dan juga sebuah banglo di Pulau Pinang (Jalan Mantri). Beliau memiliki kapal perang berkuasa wap yang ditempah dari England iaitu S.S Indera Bayu dan S.S Bahtera Bayu serta pasukan polis terdiri daripada 110 orang yang diketuai oleh Kapten Speedy. Pasukan polis ini turut dilengkapi beberapa pucuk meriam Krupps buatan Jerman.

Ngah Ibrahim pernah mengadap Maharaja Johor iaitu Maharaja Abu Bakar, untuk mempelajari selok-belok pentadbiran dan pada awal pentadbiran dikendali oleh bapa saudaranya, Ngah Lamat selama 2 tahun. Beliau juga mendapat bantuan Sheikh Muhamad Taib, Abdul Jabar, Pandak Leman disamping pasukan polis dan kerani, Che Karim dan Muhammad Hashim. Kekayaan yang diraih melalui pungutan cukai hasil perlombongan bijih timah, hasil tanaman padi, tanaman kopi, buah pala, tebu. tembakau, bunga cengkih dan ubi kayu sesungguhnya berpadanan dengan statusnya sebagai seorang aristokrat Melayu terulung yang mendahului zamannya.

Namun disebabkan Perang Larut yang masih berlarutan, Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 20 januari 1874 menjadi titik tolak kepada perubahan riwayat kehidupan Ngah Ibrahim dan pembesar-pembesar Perak seterusnya. Sikap angkuh Residen British yang pertama, J.W.W Birch yang tidak memperdulikan Orang Besar dan Sultan Perak menjadi punca Ngah Ibrahim berpakat untuk menghapuskan Birch setelah gagal dalam rancangannya untuk memansuhkan Perjanjian Pangkor. Sultan Abdullah dan pembesar Perak seperti Dato Maharajalela, Dato Sagor, Dato Laksamana dan Dato Syahbandar telah membuat perancangan yang berakhir dengan pembunuhan Birch di Pasir Salak pada 2 November 1875. Kematian Birch telah membakar api kemarahan British lantas ‘memburu’ mereka terlibat. Namun bagi Ngah Ibrahim tiada bukti kukuh yang mensabitkan beliau dengan kejadian tersebut.

Frank Swettenham

Ngah Ibrahim menerima sepucuk surat daripada Setiausaha Tanah Jajahan Negeri Negeri Selat di Singapura pada 26 Mac 1877 dari John Douglas yang disampaikan melalui Frank Swettenham. Beliau telah diarahkan untuk ke Singapura bagi bertemu Gabenor. Setibanya disana dua hari kemudian di Tanjung Pagar, Ngah Ibrahim telah ditahan dan tidak dibenarkan pulang ke Larut tanpa alasan kukuh atas perintah Kerajaan British.

Pihak British berpendapat Ngah Ibrahim seorang merbahaya dan penyebar semangat perjuangan dalam gerakan menentang British, lantas Gabenor W.F Robinson bersetuju Ngah Ibrahim dijatuhkan hukuman dibuang negeri ke Pulau Seychelles. Setelah beberapan ketika berlalu, beliau kemudiannya dipindahkan ke Sarawak sebelum kembali ke Singapura sebagai tahanan dimana akhirnya, Ngah Ibrahim meninggal dunia disana pada 4 Februari 1895 dan dikebumikan di tanah perkuburan Al-Junid, Singapura. Namun setelah lebih seabad berlalu akhirnya kerajaan Malaysia telah berjaya membawa pulang jasad Ngah Ibrahim dan beliau dikebumikan dikediaman beliau pada 9 September 2006

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.