Tahukah anda apakah itu Velodrom basikal? Untuk makluman anda semua pembaca setia orangperak.com, Velodrom basikal adalah arena atau stadium untuk aktiviti sukan dalam trek berbasikal. Velodrom basikal moden punyai ciri-ciri sepertimana yang dapat kita lihat di kaca television dalam acara sukan berbasikal di dalam arena iaitu punyai trek bujur yang berliku dan terdiri daripada dua lengkungan utama dan sudut cerunan yang tertentu.
Velodrom basikal pertama di Malaysia dikenali dengan nama Velodrom Rakyat dan ianya dibina di ibu negeri Perak iaitu bandaraya Ipoh. Sepertimana setiap bangunan yang ada di ibu kota negeri Perak ini, Velodrom Rakyat juga mempunyai nilai sejarahnya yang unik tersendiri dan begitu menarik untuk dikongsikan bersama kepada pembaca setia orangperak.com berkenaan dengan kisah disebalik sebelum terbinanya Velodrom basikal pertama di Malaysia.
Siapakah individu yang berusaha untuk membina Velodrom basikal pertama di Malaysia ini? Tokoh tersebut tidak lain tidak bukan adalah seorang individu yang sekarang amat disegani dan merupakan antara individu penting dan dihormati di dalam negeri Perak.
Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh
Beliau bernama Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh. Siapakah sebenarnya Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh? Wajah beliau seringkali dapat dilihat bersama-sama dengan Sultan Perak bukan? Teruskan membaca untuk lebih mengenali peribadi dan biodata ringkas beliau.
Velodrom Rakyat
Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh telah dilahirkan dalam bulan Januari pada tahun 1948 di negara India. Beliau adalah anak kepada pasangan bahagia yang bernama Bhai Gurdial Singh Gill dengan Puan Daljit Kaur. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, ayahnya yang bernama Bhai Gurdial Singh Gill adalah seorang pendeta di Wadda Gurdwara Sahib yang terletak di ibu negeri Perak iaitu di bandaraya Ipoh.
Velodrom Rakyat
Presiden kepada GERAKSIKH yang bernama Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh ini telah mendapat pendidikan awal peringkat rendah dan menengah di Anglo Chinese School yang terletak di Ipoh. Disana jugalah Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh telah menamatkan pendidikan pada peringkat menengah. Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh telah berkahwin dengan Puan Sri Datin Seri Suveender Kaur dan telah dianugerahkan sebanyak empat orang cahaya mata yang mana tiga daripadanya adalah lelaki dan seorang perempuan.
Velodrom Rakyat sebelum dibaik pulih
Berbalik kepada pendidikan Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh, sejurus selepas beliau menamatkan pendidikan peringkat menengah, Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh telah bekerja dalam bidang kewartawanan bebas dalam jangka masa pendek. Kerja beliau adalah menyumbang laporan atau foto ke organisasi berita yang ada secara berterusan dan dibayar secara individu untuk setiap karyanya yang disiarkan untuk bacaan atau tatapan umum.
Velodrom Rakyat
Kemudian, Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh telah berangkat ke United Kingdom untuk menyambung pendidikan dalam bidang undang-undang. Pada tahun 1975, beliau telah berjaya mendapat anugerah Sarjana Muda dalam undang-undang dengan kehormatan di University of London, King’s College dan beliau juga berjaya memperoleh “barrister” dari Lincoln’s Inn yang membawa makna sebagai “barrister-at-law” atau “bar-at-law”. Barrister ini adalah status peguam dalam bidang kuasa undang-undang umum yang mana pemegangnya adalah pakar dalam advokasi dan litigasi di dalam dewan sidang.
Sejurus selepas berjaya menamatkan pendidikan tinggi di luar negara, beliau akhirnya telah kembali pulang ke Malaysia dan menyertai perkhidmatan Kehakiman Malaysia. Kemudian, Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh terus berkhidmat sebagai Majistret dan menyumbang tenaga kerja di negara kita yang tercinta, negara Malaysia. Beliau sendiri telah memilih untuk berkhidmat di bandaraya Ipoh yang mana lokasi beliau membesar.
Velodrom Rakyat sebelum dibaik pulih
Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh secara peribadi telah banyak melibatkan diri di dalam banyak organisasi badan bukan kerajaan dalam semua bidang seperti dalam bidang kesukanan, komuniti, masyarakat setempat dan sosial. Dalam bidang kesukanan, beliau amat gemar dan aktif dalam berbasikal. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh adalah individu yang bertanggung-jawab dalam menerajui projek pada tahun 1986 untuk membina Velodrom basikal pertama di Negara kita, negara Malaysia yang dinamakan Velodrom Rakyat.
Velodrom Rakyat sedang dibaik pulih
Segala usaha gigih Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh yang tidak ramai tahu adalah beliau sendiri telah pergi dari pintu ke pintu rumah penduduk di sekitar bandaraya Ipoh pada waktu itu untuk mengumpul sumbangan daripada orang ramai supaya hasrat untuk membina Velodrom basikal pertama di negara Malaysia yang terletak di Ipoh tercapai. Jumlah dana awam yang berjaya dikumpul oleh beliau adalah sebanyak RM3.25 juta. Herbert Schumann adalah seorang arkitek dari Jerman dan Ron Web pembina trek dari Australia adalah individu yang dipertanggung-jawabkan untuk membina Velodrom Rakyat.
Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh, Herbert Schumann dan Ron Web
DYMM Sultan Perak yang ke 34 pada waktu itu, Almarhum Sultan Azlan Shah menyokong dan memuji segala usaha Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh untuk menjayakan projek yang membanggakan negeri Perak ini. Velodrom basikal yang diusahakan oleh Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh ini mula dibina pada tahun 1985 dan siap empat tahun kemudian. Ia digunakan buat kali pertama pada temasya Sukan Sea pada tahun 1989.
Sultan Nazrin dan Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh
Pada tahun 1988, Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh telah dilantik sebagai Presiden Malaysian National Cycling Federation (MNCF) dan pada tahun 1993 pula, beliau dilantik menjadi sebagai setiausaha agung Asian Cycling Confederation (ACC). Empat tahun kemudian, Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh telah dipilih secara sebulat suara untuk menjawat jawatan sebagai presiden kepada Asian Cycling Confederation (ACC) dan juga sebagai ahli lembaga pengurusan untuk International Cycling Union (UCI) iaitu sebuah badan untuk basikal dunia.
Jika anda adalah salah seorang peminat sukan aktiviti berbasikal, adalah wajar untuk anda tahu tentang sumbangan beliau dalam pesada sukan basikal di negara kita. Untuk makluman anda semua pembaca setia orangperak.com, Tan Sri Dato’ Seri G. Darshan Singh juga telah mendapat anugerah UCI Merit iaitu pengiktirafan paling tinggi di dalam dunia basikal. Ia adalah pencapaian yang amat membanggakan dan segala usaha beliau wajar dihargai dan diketahui oleh semua masyarakat kita di zaman sekarang.