23.9 C
Ipoh
Tuesday, 10 December 2024

Kota Belanda Yang Hilang Di Teluk Intan Telah Ditemui

- Advertisement -
- Advertisement -

Ramai daripada kita yang tahu dengan kewujudan kubu Belanda di Pulau Pangkor dan pengkalan perdagangan Belanda di muara Sungai Dinding. Namun tidak ramai yang tahu akan kewujudan kubu dan pengkalan Belanda di Pangkalan Halban, Tanjung Putus.

Kedudukannya dipercayai terletak di muara Sungai Kinta seperti yang pernah disiarkan dalam laman blog orangperak.com sebelum ini. Anda boleh rujuk artikel lalu di Kubu Belanda Yang Hilang Di Pangkalan Halban.

Setelah beberapa kajian ringkas secara kasar yang dijalankan, kedudukan kota dan gudang Belanda di Pengkalan Halban Tanjung Putus akhirnya telah berjaya dijumpai.

Sebelum diceritakan selanjutnya berkenaan hal tersebut, ayuh kita telusuri sejarah bagaimana Belanda dapat membina kompleks kota dan gudang di tebing Sungai Perak berhampiran dengan Teluk Intan ini.

Pada tahun 1747, Sultan Mudzaffar Shah III (Sultan Perak ke 13) telah menandatangani perjanjian untuk membenarkan pihak Belanda dalam memonopoli penjualan bijih timah dan membina loji serta kubu baru di Pengkalan Halban, Tanjung Putus untuk menggantikan kubu Belanda yang terletak di Sungai Dinding.

Kubu Belanda yang ada di Pengkalan Halban ini telah siap dibina sepenuhnya dalam pada tahun 1748 dan kubu tersebut punyai kekuatan seramai 50 orang tentera yang dilengkapi dengan beberapa pucuk meriam sebagai pertahanan kawasan kubu.

Kota Belanda Yang Hilang Di Teluk Intan Telah Ditemui

Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, pada zaman pemerintahan Sultan Perak pada waktu itu, ibu negeri Perak berpusat di Pulau Indera Sakti yang mana dahulunya dikenali dengan nama Pulau Cempakasari. Semak Pulau Indera Sakti Saksi Zaman Kegemilangan Kesultanan Perak.

Tanjung Putus merupakan kawasan penting di negeri Perak suatu ketika dahulu terutama pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain. Kawasan Tanjung Putus kini dikenali sebagai Batak Rabit.

Peranan kota dan gudang Belanda ini sangat penting dan ianya terbukti apabila ia disebut beberapa kali dalam buku Hikayat Misa Melayu tulisan Raja Chulan. Melalui pusat pentadbiran kota inilah segala cukai berkaitan urusan jual beli timah dari negeri Perak dilakukan.

Kota Belanda Yang Hilang Di Teluk Intan Telah Ditemui

Pada 13 Mac 1753, Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15) telah menandatangani perjanjian bersama dengan wakil Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) iaitu Thomas Schippers.

Perjanjian ini dapat menggambarkan kepada kita kepentingan kota ini kepada pihak Belanda. Antara lain perjanjian ini ialah segala urusan jual beli timah hendaklah dilakukan di kota dan gedung milik kompeni.

Sukatan bagi tujuan jual beli akan ditentukan oleh kompeni serta setiap kapal yang ingin keluar dari Perak hendaklah berhenti di kota kompeni bagi tujuan pemeriksaan sebelum memperoleh kebenaran.

Kota Belanda Yang Hilang Di Teluk Intan Telah Ditemui

Apa yang menariknya, ada juga disebut tentang kompleks kota dan gudang Belanda yang ada di Pengkalan Halban, Tanjung Putus ini lebih besar serta mempunyai lebih banyak kemudahan bagi tujuan perdagangan berbanding dengan Kota Belanda yang ada di Pulau Pangkor.

Seperti kita sudah sedia maklum, apabila Melaka diserahkan kepada British melalui surat Kew dalam tahun 1795, Lord Camelford dan Leftenan Macalister bersama-sama dengan angkatan dari British Royal Navy terus mengepung Pengkalan Halban dan akhirnya pegawai Belanda di Kubu Pengkalan Halban yang bernama Christoffel Macalister menyerahkan kubu dan loji tersebut kepada pihak British.

Kota Belanda Yang Hilang Di Teluk Intan Telah Ditemui

Residen Pertama negeri Perak tidak lain tidak bukan J.W.W. Birch juga turut pernah bermalam di Kota Belanda ini dalam pada tahun 1875 sebelum beliau mati dibunuh di Pasir Salak oleh pejuang melayu di Pasir Salak dalam tahun yang sama. Rujuk Perincian Kisah Detik Pembunuhan JWW Birch.

Kota Belanda Yang Hilang Di Teluk Intan Telah Ditemui

Pada tahun 1880, Supritendan British Hilir Perak telah mengarahkan supaya kubu tersebut dimusnahkan dan besi serta batu bata dari kubu tersebut digunakan untuk tujuan pembinaan Telok Anson Town yang mana hari ini cukup dikenali dengan Pekan Teluk Intan.

Kota Belanda Yang Hilang Di Teluk Intan Telah Ditemui

Lokasi Pangkalan Halban, Tanjung Putus terletak di tebing Sungai Perak yang mana ia hari ini ia berhampiran dengan jambatan Batu Lima. Kedudukan kawasan tersebut amat strategik kerana ia berada dihujung tanjung dan membolehkan pihak Belanda mengawal pergerakan kapal dan sampan yang melalui sungai Perak. Hari ini, kawasan dan tapak tersebut berada dibawah pentadbiran ladang Nova Scotia.

Menyedari tentang kepentingan sejarah ini dari terus tenggelam ditelan peredaran zaman, sahabat kami saudara Iskandar Zulqarnain telah jalankan satu gerak langkah pertama dengan mencalonkan tapak kota ini sebagai tapak warisan sejarah kepada Jabatan Warisan Negara.

Kota Belanda Yang Hilang Di Teluk Intan Telah Ditemui

Apa yang kami harapkan, pihak Jabatan Warisan Negara dapat lakukan kajian di tapak ini sekaligus dapat mengangkat kembali kegemilangan kota ini ke dalam peta sejarah yang sudah dilupakan sepenuhnya masyarakat kita hari ini.

Sumber dan Rujukan :

  • Misa Melayu karya Raja Chulan
  • National Archive of Singapore
  • National Archive of Malaysia
  • https://www.orangperak.com/kubu-belanda-yang-hilang-di-pangkalan-halban.html
  • Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society
- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here