Pulau Indera Sakti Saksi Zaman Kegemilangan Kesultanan Perak

Negeri Perak semenjak dari awal kewujudannya telah mengalami pelbagai peristiwa manis mahupun pahit yang kini menjadi lipatan dalam lembaran sejarah negeri yang kita cintai ini. Pemimpin-pemimpin terdahulu telah berjaya membawa negeri Perak mencapai kejayaan seperti yang kita nikmati hari ini. Dalam artikel kali ini, orangperak.com ingin membawa para pembaca semua menghayati kehebatan sebuah zaman yang disebut dalam kitab Hikayat Misa Melayu sebagai zaman kegemilangan atau keemasan negeri Perak Darul Ridzuan.

Sebelum kita terus ke perihal zaman kegemilangan negeri Perak, apa kata kita kenali dahulu Hikayat Misa Melayu dan pengarangnya. Misa Melayu merupakan karya pensejarahan Melayu yang terkenal selepas Sulalatus Salatin. Ianya juga dikenali sebagai Hikayat Ikatan Raja Ke Laut iaitu yang meriwayatkan sejarah negeri Perak dari sejak zaman awal hinggalah ke kurun kelapan belas. Karya ini merupakah hasil karya seorang sejarawan istana kurun kelapan belas itu, iaitu Raja Chulan.

Istana Sultan Perak Di Indera Sakti

Gambaran Istana Sultan Perak Di Indera Sakti

Istimewanya Misa Melayu ini dari sudut dan ukuran pengertian sejarah terkini ialah, ianya merupakan sebuah hasil karya yang nyata serta tidak mengandungi dongeng dan cerita rakyat atau, dengan kata lain, tidak mencampurkan dongeng atau fantasi dengan fakta sejarah. Zaman pemerintahan Sultan Perak ke 15, Paduka Seri Sultan Iskandar Zulkarnain Shah Khalifatur Rahmat Johan Berdaulat Dziullu’llahi Fil Alamin bermula dari tahun 1752 sehingga tahun 1765 inilah disebut sebagai zaman kegemilangan negeri Perak Darul Ridzuan.

Baginda ditabalkan menjadi Sultan Perak di Berahman Indera (sekarang di Bota Kanan) dan kemudian memindahkan pusat pentadbiran negeri Perak dari Berahman Indera ke Pulau Cempaka Sari. Nama Pulau Cempaka Sari kemudiannya ditukarkan kepada Pulau Indera Sakti oleh titah Sultan Iskandar. Misa Melayu ada menyentuh mengenai pembinaan sebuah kota yang besar dan indah serta dikelilingi tembok berserta menara-menara kawalan dengan dipertahankan dengan meriam di Pulau Indera Sakti tersebut untuk dijadikan pusat pemerintahan negeri yang baru.

Istana Sultan Perak Di Indera Sakti

Gambaran Istana Sultan Perak Di Indera Sakti

Malah disebut juga pembinaan sebuah bandar yang berada di seberang pulau tersebut berserta rakyat-rakyat negeri Perak yang ramai diketika itu yang terdiri daripada orang Melayu, Bugis, Minangkabau, Keling (Tamil) dan Cina.

“Maka diperbuatlah kota lebarnya lebih kurang empat puloh depa empat persegi berkeliling; sa-telah itu, maka di-atorilah meriam berkeliling kota luar dan dalam lengkap dengan milawatinya (menara kawalannya) dan berlapis-lapis senjata, terlalu indah-indah perbuatannya dengan tegoh kota itu. Maka terbangunlah pula istana di-perbuat tiga buah. Tetapi pada masa itu belum lagi baginda membuat istana yang besar sa-hingga kadar enam tujoh ruang juga pada sa-buah istana itu.

Istana Sultan Perak Di Indera Sakti

Gambaran Istana Sultan Perak Di Indera Sakti

Maka seberang pulau itu di-perbuat pula pekan dan bandar. Maka segala orang-orang isi bandar yang dahulu itu sakalian-nya daripada Keling dan Melayu, Bugis, Minangkabau. Maka terlalu ramai-nya di-bandar itu; maka segala orang Cina sama-sama orang Cina maka berator-lah rumah berlapis-lapis di seberang Pulau Cempaka Sari (Indera Sakti) itu.” ( Misa Melayu muka surat 52 )

Setelah Pulau Indera Sakti telah selesai dibangunkan, Sultan Iskandar Zulkarnain kemudiannya menitahkan bendahara agar membina sebuah istana yang sangat besar dan indah untuk kegunaan dan menjadi tempat persemayaman baginda. Antara ciri yang dikehendaki oleh baginda ialah istana tersebut hendaklah bilik seribu tiang sebatang. Namun Bendahara Perak ketika itu Bendahara Megat Abu Kasim (beliau mendapat gelaran Bendahara Hilang Diteluk) tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan istana tersebut kerana disifatkan sebagai mustahil untuk dibina.

Istana Sultan Perak Di Indera Sakti

Gambaran Istana Sultan Perak Di Indera Sakti

Beliau kemudiannya meletakkan jawatan sebagai bendahara bersama Orang Kaya Temenggung Tan Bantan dan Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Syeid Hussain. Bendahara Megat Abu Kasim menjadi bendahara terakhir dari keturunan Megat Terawis yang menjadi Bendahara Negeri Perak. Setelah Bendahara Megat Abu Kasim meletakkan jawatan, Sultan Iskandar melantik  Sharif Abu Bakar bin Sharif Jalaluddin sebagai Bendahara, dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja.

Namun tidak lama kemudian, baginda melantik adinda baginda iaitu Raja Alauddin sebagai Raja Bendahara Perak, jawatan baru yang diwujudkan bagi menggantikan jawatan bendahara yang sebelum ini dipegang oleh orang kebanyakkan, dan jawatan Raja Bendahara juga berada dalam giliran untuk menjadi Sultan. Sultan Iskandar Zulkarnain dengan kepintaran yang baginda miliki berjaya menyelesaikan krisis pertadbiran dengan memperkemaskan lagi pentabiran dengan membuat perlantikan baru waris-waris negeri serta Orang-orang Besar Negeri.

Istana Sultan Perak Di Indera Sakti

Gambaran Istana Sultan Perak Di Indera Sakti

Setelah itu, baginda memulakan kembali rancangan untuk membina sebuah istana besar untuk baginda yang disebut dalam Misa Melayu sebagai sebuah istana yang terlalu indah dan ajaib. Pembinaan yang sebelum ini dianggap mustahil oleh Bendahara Megat Abu Kasim telah berjaya diselesaikan oleh Raja Bendahara Alauddin. Misa Melayu menceritakan perincian istana tersebut:

“Hatta berapa lama-nya antara itu, maka istana baginda pun sudah-lah, sebuah mahligai terlalu indah rupa-nya dan sangat-lah ajaib perbuatan-nya, siapa pun tiada pernah melihat yang demikian itu, baharu-lah kepada zaman Sultan Iskandarlah yang membuat mahligai itu kemundaknya dan dalam negeri Perak dan kotanya di Pulau Indera Sakti. Ada pun akan mahligai itu kemuncaknya dan sulor-bayangnya daripada perak bertatahkan emas dan permata pudi manikam; dan atap tingkap-nya daripada ijok besi kersani dan dindingnya berterap dengan nilam kapor dan di-tulis dengan sedelinggam puspa ragam dan berbagai-bagai jenis-nya rupa tulisan indah-indah sekelian-nya itu, berukir dan berkalok berkerawang; maka di-selang dengan chermin dan kacha.

Maka di-buboh pula berkisi-kisi dengan gading dan tandok di-larek di-selang-selang dengan kayu arang; maka ditebok-tebok dengan emas dan perak di-tanah dengan lizuardi. Ada pun mahligai itu tujuh tingkat, di-atas-nya berperanginan lagi berkisi-kisi berkeliling; maka di-gantong pula duan budi empat segi, indah pula rupa-nya dan berbunyi-nya di-tiup angin itu saperti bunyi buloh perindu dan gemerlapan rapa-rapanya di-pandang dari jauh.

makam sultan iskandar

Ke Makam Sultan Iskandar

Sa-telah itu, maka di-perbuat pula kiri kanan itu seperti balai: maka di-namai sayap. Maka kepada sayap-nya itu ada pula tempat kechil, berkambi berkeliling. Maka di-namai tempat itu jendawari. (Mengenai balairong pula) terlalu indah perbuatan-nya. Adapun balairong itu kertas yang bertulis berbagai-bagai rupa-nya dan warna-nya di-perbuat oleh Raja Bendahara di-tulisnya saperti sa-buah negeri chukup lengkap dengan kota parit-nya dan istana raja-nya dan di-tulis-nya sa-buah kapal lengkap dengan muat-nya dan segala senjata-nya dan sampan batil. Maka berbagai-bagai pula tulisan yang indah-indah rupanya daripada awam dan mega dan ombak dan batu dan ikan dan burong berbagai-bagai rupa-nya dan warna-nya, terlalu ajaib perbuatan-nya.” ( Misa Melayu muka surat 93 hingga 94 )

Pembinaan istana yang sangat megah ini membayangkan betapa makmurnya negeri Perak pada masa itu. Masakan boleh diperbuat istana yang begitu mewah dan besar andai negeri tidak makmur dan huru-hara. Namun istana ini tidak kekal lama kerana disebut bahawa pada penghujung hayat Sultan Iskandar Zulkarnain, istana ini telah diruntuhkan dan dibina sebuah istana lain pada tapak istana lama dan dinamakan sebagai Istana Merchu Alam.

Makam sultan Iskandar

Makam sultan Iskandar

Zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain mendapat gelaran zaman keemasan negeri Perak kerana pada zaman baginda, rakyat hidup dengan aman dan makmur dan pembesar-pembesar negeri semua patuh serta taat kepada baginda. Sebagai kenangan kepada Sultan Iskandar Zulkarnain, Sultan Idris Shah 2, Sultan Perak ke-33 telah mencipta sebuah lagu bertajuk Cempaka Sari nyanyian Allahyarham Tan Sri S.M Salim sebagai dedikasi keatas kemakmuran yang dibawa oleh Sultan Iskandar Zulkarnain, agar tidak hilang kenangan itu diarus zaman.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.