26.6 C
Ipoh
Saturday, 5 October 2024

Sejarah Kota Belanda Di Pulau Pangkor

- Advertisement -
- Advertisement -

Kota yang dikenali sebagai Kota Belanda ini asalnya dibina oleh Belanda pada tahun 1670 sebagai gedung untuk menyimpan bijih timah yang diperolehi dari Negeri Perak.

Kota ini terletak di sebuah teluk di Pulau Pangkor yang dikenali sebagai Kampung Teluk Gedung yang mana, kawasan tersebut adalah sebuah perkampungan nelayan pada waktu itu.

Pembinaan Kota ini oleh Belanda mempunyai perkaitan rapat dengan tujuan kedatangan orang-orang Belanda ke Tanah Melayu pada permulaan abad Ke-17 Masihi. Pihak Belanda yang membuat hubungan baik dengan Perak telah berjaya dalam urusan perdagangan bijih timah.

Syarikat Hindia Timur Belanda berjaya mendapat kuasa monopoli ke atas perdagangan bijih timah di Negeri Perak. Kubu yang terdapat di Pulau Pangkor lebih dikenali sebagai Kota Belanda (Dutch fort) oleh penduduk Melayu dan ianya terletak di kawasan yang dipanggil Teluk Gedung.

Sejarah Kota Belanda Di Pulau Pangkor

Walaubagaimanapun, rekod Belanda menyebut kubu tersebut sebagai Kubu Dinding (Dingdingh). Nama tersebut sempena nama Sungai Dinding yang terdapat di tanah besar semenanjung bertentangan dengan Pulau Pangkor.

Negeri Perak merupakan kawasan pengeluaran bijih timah yang utama di dunia ketika itu dan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) sememangnya mahu untuk mengawal serta memonopoli hasil dagangan tersebut.

Disebabkan itu, kapal-kapal perang Belanda mengepung Perak dikebanyakan waktu dalam kurun ke 17 dan 18 masihi. Antara beberapa sebab utama pengepungan ini ialah, Perak pada waktu itu merupakan negeri naungan Acheh dan pihak Belanda pada masa tersebut sedang berperang dengan neger-negeri Sumatera termasuk Acheh.

Diatas alasan ini pihak Belanda membina sebuah pengkalan di Teluk Gedung pada 1670 untuk membantu pengepungan ini serta untuk menghalang pihak Inggeris daripada menduduki pulau tersebut.

Sejarah Kota Belanda Di Pulau Pangkor

Pihak Inggeris merupakan pedagang yang aktif dan pesaing terkuat Belanda diwilayah sekitar nusantara. Menurut laporan dari Gabenor Belanda di Melaka iaitu Balthasar Bort pada 1678 menyatakan bahawa “pada masa kini, terdapat 59 orang Belanda di Perak yang terlibat dengan pengepungan ini dan ditempatkan di Pulau Dinding yang telah berada dibawah taklukan kompeni. Mereka menduduki kubu kayu bersegi empat dan telah disediakan dengan sembilan meriam besi”.

59 orang Belanda tersebut terdiri daripada penguasa pedagang, kapten, penulis rekod, 3 orang pembantu, 3 orang second mates, 2 orang pegawai perubatan, 8 orang pegawai bersenjata dan 40 kelasi. Mereka berkawal di kubu tersebut bersama armada kecil yang terdiri daripada kapal layar ‘Laren’, kapal sekoci ‘Cacap’ dan sebuah bot ‘Dingdingh’.

Kubu tersebut didapati telah diperteguhkan lagi beberapa tahun selepas itu, ini berdasarkan rekod penjelajah British, William Dampier yang menyatakan pada tahun 1689:

“Hanya orang-orang Belanda yang menghuni di dan mempunyai kubu dibahagian timur (pulau tersebut) dan ianya berhampiran dengan laut. Di bahagian teluk pulau tersebut, dibina sebuah jeti kecil untuk kapal-kapal berlabuh. Kubu tersebut dibina dengan bentuk segi empat tanpa menara dan ianya lebih kepada sebuah rumah.

Setiap sisi berukuran kira-kira 10 atau 12 ela. Dindingnya mempunyai ketebalan yang baik, diperbuat dari batu dan menyokong ketinggian kira-kira 30 kaki. Disana terdapat kira-kira dua belas hingga empat belas meriam dan masing-masing mengawal disetiap sudut.

Meriam ini ditempatkan diatas asas yang kukuh yang dibuat di dinding dan berada kira-kira enam belas kaki tinggi. Disini terdapat seorang gabenor dan kira-kids a dua puluh hingga tiga puluh orang askar”.

Sejarah Kota Belanda Di Pulau Pangkor

Semua bekalan untuk kubu ini dibawa daripada Melaka, ini kerana menurut Dampier, kubu pertahanan ini sentiasa diancam oleh orang Melayu. Walaupun orang Belanda berurus niaga dengan orang Melayu, namun orang Belanda tidak mempercayai mereka.

Orang Belanda hanya akan pergi jauh dari kubu hanya apabila mereka rasa keadaan pada masa tersebut selamat. Dampier menyebut terdapat satu insiden yang berlaku ketika Gabenor, tetamu beliau dan pegawai-pegawainya sedang duduk untuk jamuan makan malam. Namun ketika mereka baru sahaja hendak mulakan majlis tiba-tiba seorang tentera Belanda menjerit “Melayu!!”.

Dengan serta merta Gabenor tanpa berkata sepatah pun melompat keluar daripasa salah satu tingkap dan terus berlari secepat mungkin ke kubu. Pegawai dan pengikutnya segera mengikut Gabenor tersebut.

Mereka melepaskan beberapa das tembakan untuk memberi amaran kepada orang Melayu yang mereka bersedia untuk bertarung. Namun tiada seorang pun orang Melayu muncul. Terdapat perahu yang penuh dengan orang Melayu berlindung disebalik bukit dan dekat dengan pesisiran pantai.

Dan bila bot orang Belanda keluar untuk menangkap ikan, orang Melayu dengan menggunakan keris dan tombak menyerang hendap dan membunuh dua orang Belanda yang berada diatas bot tersebut. Orang-orang Belanda yang lain melompat keluar dari bot dan berenang ke pantai.

Kedudukan mereka kira-kira sebatu daripada kubu. Setelah berjaya berada di pantai, setiap seorang daripada mereka berlari selaju yang boleh untuk segera sampai ke kubu. Mangsa yang pertama sampai ke kubu terus memberitahu Gabenor apa yang sudah berlaku dalam keadaan menangis.

Dampier meneruskan ceritanya “Kami semua berjaga sepanjang malam dengan semua senjata dan meriam telah berisi peluru. Tetapi hujan lebat melanda pada malam tersebut, yang membuatkan saya tidak begitu takut diserang oleh orang-orang Melayu kerana telah dimaklumkan oleh salah seorang kelasi dari Melaka yang orang Melayu tidak akan membuat sebarang serangan apabila berlaku hujan. Keesokan harinya kapal perang Belanda mula meronda untuk mencari kedudukan orang-orang Melayu namun mendapati bahawa mereka telah pun berundur”.

Sejarah Kota Belanda Di Pulau Pangkor

Pada 1690, kubu Belanda telah diserang sekali lagi oleh orang Melayu yang dipimpin oleh Panglima Kulup dan tentera-tentera Belanda di kubu tersebut telah dibunuh. Pada 24 Jun 1693 satu arahan telah dikeluarkan disebabkan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku sebelum ini di kubu tersebut.

Arahan tersebut menyatakan bahawa tiada lagi tentera yang akan ditempatkan di Pulau Dinding tetapi sebuah tugu batu hendaklah didirikan dimana satu bahagian tugu tersebut mempunyai jata Syarikat Hindia Timur Belanda dan satu bahagian lagi mempunyai jata kerajaan Belanda sebagai tanda pulau tersebut masih berada dibawah pemilikan Belanda. Pada 1695, 1721 dan 1729, arahan telah dikeluarkan untuk memperbaiki tugu batu tersebut.

Pada 20 November 1745, Gabenor Jeneral Gustraaf Willem, Baron van Imhoff mengarahkan agar kubu di Pulau Dinding dibina semula dan dikawal oleh 30 orang eropah dan 30 orang asia (dengan syarat bukannya orang Bugis).

Kemudian menurut data dari Melaka bertarikh 22 Oktober 1746, pedagang bernama Ary Verbrugge, telah dihantar ke Perak untuk memujuk Sultan Perak agar kubu dibenarkan dibina di Sungai Perak dan bersetuju untuk menjual semua bijih timah kepada Syarikat Hindia Timur Belanda.

Pada 25 Jun 1747, Sultan Perak Sultan Muzaffar Shah III menandatangani perjanjian untuk menghantar semua bijih timah kepada kepada Belanda dan mengurniakan kebenaran untuk membina kubu dimana-mana bahagian sungai.

Menurut sejarah Melayu Perak, ‘Misa Melayu’ menyebut bahawa Belanda mengukuhkan gudang batu di Pangkalan Halban di Tanjung Putus. Kubu baru ini didirikan pada 18 Oktober 1748 dan kemudian Van Imhoff mengarahkan agat tentera yang berkawal di Kubu Pulau Dinding mengosongkan kubu tersebut untuk mula berkawal di kubu baru di Pangkalan Halban. Anda boleh mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Kota Belanda Pangkalan Halban tersebut dengan klik link disini.

Berikutan itu pemerintah Belanda di Betawi mengarahkan supaya gedung lama yang terletak di Pulau Pangkor itu ditinggalkan. Akibat tiada penjagaan, gedung ini telah mengalami kerosakan sehinggalah pada tahun 1973 apabila pihak Muzium Negara memulihkan kembali gedung ini.

Kota atau gedung yang dibaiki semula ini mengikut bentuk serta ukurannya yang asal iaitu 3 x 5 meter persegi. Manakala tembok batunya setinggi 6 hingga 7 meter.

Sejarah Kota Belanda Di Pulau Pangkor

Bagaimana pun bumbungnya tidak dapat dibina kerana bentuk asalnya tidak diketahui oleh pihak Muzium Negara. Kota Belanda ini telah diwartakan sebagai monumen lama dan tapak tanah bersejarah di bawah Akta Bendapurba 1976 dalam Seksyen No. 247 , Warta Kerajaan Negeri Perak bertarikh 31 Mac 1970.

Kemudian pada 1997, kerajaan negeri Perak telah memajukan lagi kawasan ini sebagai kawasan pelancongan negeri Perak. Beberapa rumah limas tradisional negeri Perak telah dibina di sini.

Pelbagai gerai makanan pakaian dan cenderamata juga terdapat di sini. Beberapa bahagian kota ini telah dibaki semula dan diperindahkan di persekitaran perkampungan nelayan Melayu.

Berhampiran dengan Kota Belanda ini terdapat satu Batu Bersurat Belanda. Batu Bersurat ini letaknya di tepi pantai kira-kira 100 meter dari Kota Belanda.

Tulisan pada Batu Bersurat ini dipercayai dipahat oleh askar-askar kompeni Belanda sewaktu mereka mendiami gedung atau Kota Belanda kira-kira dalam tahun 1743.

Ia juga dipercayai sebagai tanda peringatan pada anak seorang pembesar Belanda yang hilang ketika sedang bermain-main berhampiran dengan batu tersebut.

Sejarah Kota Belanda Di Pulau Pangkor

Orang-orang Belanda percaya bahawa budak tersebut telah dimakan oleh binatang buas. Sebagai mengingati peristiwa itu, orang-orang Belanda telah membuat batu tersebut dengan menggambarkan seekor binatang buas (dipercayai harimau) sedang menangkap budak.

Lain-lain pahatan mungkin merupakan nama-nama pemahat yang dinyata secara huruf ringkas seperti IK, R.O. dan lain-lain dan terdapat pahatan bertulis V.O.C. iaitu singkatan nama Verenidge Oon Stindische Company – Syarikat Hindia Timur Belanda.

- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here