Home Blog Tokoh Kisah Orang Lambor Selamatkan Perdana Menteri Tun Razak

Kisah Orang Lambor Selamatkan Perdana Menteri Tun Razak

0
Kisah Orang Lambor Selamatkan Perdana Menteri Tun Razak

Siapa yang tak kenal dengan Bapa Pembangunan negara iaitu Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Dato Haji Hussein yang merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua. Beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 6 tahun iaitu sejak dari tahun 1970 sehingga 1976.

Semua orang tahu, Tun Haji Abdul Razak ini adalah ayahanda kepada Perdana Menteri Malaysia ke enam iaitu Yang Amat Berhormat Dato Seri Mohammad Najib. Allahyarham Tun Haji Abdul Razak amat dikenali dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan untuk mengatasi masalah dalam ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme, perkauman dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum.

Berbalik kepada kisah yang ingin didendangkan kali ini dalam orangperak.com adalah berkenaan dengan kisah seorang lelaki hebat dari Lambor, Perak yang pernah menyelamatkan nyawa Perdana Menteri Malaysia kedua iaitu Allahyarham Tun Haji Abdul Razak dan sejak dari peristiwa tersebut, beliau telah menjadi salah seorang rakan karib kepada Tun Razak.

Lelaki dari Lambor yang ingin diceritakan ini cukup dikenali dengan nama gelaran Enot oleh kenalan dan sahabat. Sehinggakan Sultan Perak yang ke 33 pada waktu itu juga iaitu Almarhum Sultan Idris Shah pun mengenalinya dan menggelarkan diri beliau sebagai Tok Kohor Alam.

Semasa Allahyarham Tun Haji Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia adalah zaman pergerakan pengganas komunis dalam negara kita. Banyak cabaran dan dugaan yang dihadapi untuk membangunkan sebuah negara yang sedang dibadai oleh pergerakan komunis yang ingin menjadikan negara ini sebagai sebuah negara komunis.

Kisah Orang Lambor Selamatkan Perdana Menteri Tun Razak

Allahyarham Tun Haji Abdul Razak

Sewaktu Tun Haji Abdul Razak menjawat jawatan sebagai setiausaha kerajaan Negeri Pahang, Enot atau Tok Kohor Alam pula berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja sebagai seorang sarjan. Hendak dijadikan cerita pada suatu hari, Tok Kohor Alam bersama-sama dengan anggota platun ditugaskan untuk kawal selia dan mengiringi Tun Haji Abdul Razak dalam sebuah bot untuk ke hulu sungai Pahang.

Semasa sedang berada dalam bot menuju ke hulu sungai Pahang dan apabila tiba di satu kawasan dalam kawasan Temerloh, tiba-tiba skuad pengiring Tun Haji Abdul Razak menjerit tunduk / baring dengan kuat kerana perasan akan pergerakan komunis di tepian sungai yang sedang mengatur langkah untuk menyerang bot yang dinaiki Tun Haji Abdul Razak.

Kisah Orang Lambor Selamatkan Perdana Menteri Tun Razak

Tok Kohor Alam

Tun Haji Abdul Razak yang tidak arif dengan bahasa dan arahan anggota tentera hanya terkejut paku dan duduk dikerusinya tidak bergerak. Nasib baik Tok Kohor Alam yang pada masa itu berada di sebelahnya terus menendang kerusi yang sedang diduduk oleh Tun Haji Abdul Razak sehinggalah Tun Haji Abdul Razak terus terduduk jatuh atas lantai bot.

Dalam beberapa saat selepas itu juga, terdapat kesan sebutir peluru yang menembusi kerusi tempat Tun Haji Abdul Razak duduk sebentar tadi. Tembakan tersebut telah dilepaskan oleh sekumpulan pengganas komunis dari atas tebing sungai.

Sejak dari peristiwa tersebut, Tun Haji Abdul Razak berkawan baik dan akrab dengan Tok Kohor Alam. Bukti keakraban mereka dapat dibuktikan dalam gambar semasa Tun Haji Abdul Razak meninggal dunia. Pada waktu itu Tok Kohor Alam menunggu jenazah Tun Haji Abdul Razak di kediamannya sebelum dikebumikan.

Kisah Orang Lambor Selamatkan Perdana Menteri Tun Razak

Tok Kohor Alam dalam bulatan sedang menatap jenazah Tun Razak

Tok Kohor Alam membuka tingkap keranda untuk melihat dan menatapi wajah sahabatnya buat kali yang terakhir sebelum dikebumikan. Tok Kohor Alam meninggal dunia pada 28 September 1987 kerana kena serangan jantung ketika dalam mesyuarat pekebun-pekebun kecil Malaysia di Kuala Lumpur. Tok Kohor Alam telah dikebumikan di Kampung Tua, Lambor Kanan.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, nama sebenar Tok Kohor Alam adalah Zainudin bin Mat Sait nombor badan RAMD 3405. Sementara itu, kami juga berjaya mencari anakanda Tok Kohor Alam yang ke tiga untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang biodata ringkas Zainudin bin Mat Sait disekitar Bota.

Kisah Orang Lambor Selamatkan Perdana Menteri Tun Razak

Cikgu Lin, anak ketiga Tok Kohor Alam

Banyak yang kami bual dan sembangkan sewaktu berbicara untuk dapatkan kisah ini. Banyak kisah-kisah menarik berkenaan dengan Perak yang dikongsikan oleh Cikgu Lin bersama editor orangperak.com untuk diterbitkan pada masa akan datang.

Rujukan : mokhtarpetah.blogspot.my dan Cikgu Lin anakanda ketiga kepada Tok Kohor Alam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here