Kolam renang adalah satu pembinaan buatan manusia yang direka khas untuk diisi dengan air dan digunakan untuk berenang, menyelam atau aktiviti air yang lain.
Ternyata ramai dikalangan kita hari ini gemarkan kolam renang untuk dijadikan sebagai satu pilihan rekreasi keluarga dan apa yang menariknya, kali ini orangperak.com ingin menceritakan kolam renang buatan manusia yang pertama di Malaysia ada di Taiping, Perak.
Sebelum kita terangkan dengan lebih jauh tentang kolam renang buatan manusia yang pertama di Malaysia ini, tahukah anda bahawa kolam renang buatan manusia sebenarnya telah wujud sejak 5,000 tahun yang lalu.
Walaupun teknologi kolam renang yang boleh dikatakan yang pertama di dunia itu tidak secanggih sekarang, namun ia satu perkara yang amat membanggakan untuk peradapan manusia dalam mereka cipta satu teknologi baru satu ketika dahulu.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, kolam renang buatan manusia yang pertama di dunia dinamakan sebagai Great Bath. Ia terletak di daerah Pakistan iaitu dalam sebuah pemukiman publik kuno yang bernama Mohenjo – Daro.
Kolam ini berukuran 12 meter panjang, 7 meter lebar dan kedalaman 2.4 meter. Terdapat 2 tangga lebar yang berada di sisi kolam terus ke dasar kolam. Mohenjo – Daro yang terletak di Sindh, Pakistan ini merupakan salah satu tempat peradaban terbaik yang pernah dijumpai.
Berbalik kepada kisah yang ingin diceritakan iaitu kisah kolam renang pertama buatan manusia di Malaysia yang ada di Taiping ini pada sejarah awalnya adalah ia merupakan kolam renang pertama di Malaysia yang dibina pada tahun 1870.
Apa yang menariknya, punca air untuk kolam renang ini adalah dari Bukit Larut yang membekalkan air bersih tanpa klorin. Inilah salah satu faktor penarik untuk membawa pengunjung datang berkunjung ke sana.
Lokasi kolam renang pertama di Malaysia ini terletak di Bukit Larut dan ia diberi nama Coronation Swimming Pool atau Kolam Renang Kemahkotaan. Ia dibuka kepada umum pada sekitar dalam tahun 1880 dan dengan pembukaannya telah menobatkan bahawa ianya adalah sebuah kolam renang yang berbeza berbanding kolam renang yang lain yang ada di luar negara pada waktu itu sewaktu negara kita dijajah oleh penjajah British.
Pada tahun 1937 pula, Lembaga Kebersihan Taiping (LKT) telah membina sebuah kolam renang baru dan terus menamakan kolam renang itu dengan nama Kolam Renang Kemahkotaan (Coronation Pool). Ianya dinamakan bersempena dengan sambutan perayaan pertabalan King George VI pada tarikh 12 Mei 1937.
Hari ini, di Coronation Pool terdapat tiga buah kolam renang yang disediakan untuk pengunjungnya yang datang beriadah. Ianya berbeza kedalaman yang mana disesuaikan untuk semua peringkat umur.
Kedalaman bagi kolam dewasa bermula dari 4 kaki sehingga 10 kaki manakala kolam untuk kanak-kanak pula adalah antara 2 kaki hingga 3 kaki dalam. Seperti yang dikatakan tadi, Coronation Pool menggunakan air terjun yang datang dari Bukit Larut.
Kredit gambar exploring-malaysia.com
Coronation Pool menggunakan air terjun yang datang daripada air terjun Bukit Larut yang mana air terjun tersebut terbahagi kepada dua. Salah satunya menuju ke Burmese Pool manakala yang satu lagi menuju ke kolam renang buatan buatan manusia yang pertama di Malaysia ini.
Air yang ada di dalam kolam Coronation Pool akan ditukar setiap hari dengan menggunakan sistem aliran khas untuk tujuan aliran air keluar dan masuk ke kolam renang tersebut.