Pawang Jais atau nama sebenarnya Haji Mohd Jais bin Ali bin Hamid bin Imam Syawal bin Bilal Alang bin Tok Nojeh adalah merupakan anak ke tiga daripada lima orang adik beradik. Kehidupannya sewaktu usia muda beliau pada zaman itu sama seperti orang lain dengan serba sederhana.
Beliau berkahwin dengan Itam Mengganti binti Imam Kolah atau Hajah Rahmah (nama ditukar ketika mengerjakan Haji di Mekah). Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan enam orang anak iaitu Basir, Mohd Johar, Zahidah, Anjang Saejah@ Rahmah, Abdullah Zahid dan Puteh Sareah. Selepas berkahwin, Haji Jais mula berusaha gigih untuk menyara keluarga.
Dalam kegigihannya bekerja mencari rezeki sehingga telah menerima kepercayaan dari pelbagai pihak. Beliau terkenal sebagai tulang belakang kepada pembinaan tali air untuk kegunaan sawah padi di Kampung Gajah, seperti yang dicatatkan oleh Cecil Wray, Pemangku Majistret Daerah Hilir Perak.
“Pada 25 April 1895, saya terus pergi ke Kampung Gajah pada jam 7.30 pagi bersama Raja Musa, Tok Penghulu dan beberapa orang lain untuk melihat kerja-kerja pembinaan tali air yang sedang diusahakan oleh Tok Penghulu dan Pawang Jais. Kerja-kerja tersebut sedang berjalan lancar. Apabila siap nanti, akan membekalkan air kepada suatu kawasan yang luas, sekarang sudah hampir habis diterokai (sawah padi).”
Beliau juga meneroka tanah dan menanam tanaman yang berpotensi ketika itu untuk menambahkan pendapatan keluarga seperti yang telah dicatatkan dalam laporan daripada Majistret Daerah Hilir Perak Ed.J Brewster 10 Jun 1898.
“Saya mulai mudik dari sungai, pada hari yang sama dan membuat lawatan mukim di Kampung Gajah. Saya berjalan lebih kurang empat batu masuk ke arah darat menuju satu perkampungan baru yang dibuka oleh orang Melayu yang paling bertenaga di lembah Sungai Perak, Pawang Jais namanya. Dia sedang menanam kelapa dan kopi Liberia dan dia ada lebih kurang dua puluh lima orang peneroka bersamanya. Kawasan itu tinggi dan mereka berkata tanah di situ subur dan sesuai untuk kelapa.”
Kawasan Kampung Gajah, Pasir Salak dan sekitarnya pada tahun 1895 adalah dalam fasa pemulihan selepas Perang Perak 1875. Pihak British mula berbaik-baik dengan masyarakat Perak selepas dua puluh tahun perperangan tersebut.
Perkara ini dapat dibuktikan, apabila Anjang Abdullah yang merupakan anak Dato Sagor yang ketiga telah dilantik sebagai Penghulu Kampung Gajah dan Pasir Salak pada tahun 1905 walaupun ketika itu Residen Perak ialah E.W Birch yang merupakan anak kepada J.W.W. Birch yang mati dibunuh di Pasir Salak.
Getah mula ditanam secara besar-besaran di Perak sekitar 1890an. Mengikut cerita lisan keluarga Haji Jais, ada seorang Penyelidik British yang mengkaji tentang flora dan fauna di Perak dan membekalkan benih getah kepada Haji Jais.
Penyelidik British itu menyuruh Haji Jais menanam getah secara besar-besaran di Kampung Gajah. Saranan tersebut kemudian disambut baik oleh Haji Jais dan beliau mula menanam getah ratusan ekar luasnya di Changkat Taboh. Tanaman getah tersebut telah memberikan hasil yang cukup lumayan kepada beliau ketika itu.
Mohamed Jabar atau Ngah Jabor yang merupakan seorang usahawan lombong bijih timah di Kampar telah kembali ke Kampung Gajah setelah sekian lama berada di Kampar.
Kebetulan pada ketika itu, beliau telah menerima 200 ekar tanah daripada kerajaan negeri Perak. Beliau berjumpa dengan Haji Jais untuk meminta tunjuk ajar dan nasihat bagi menanam getah di tanah kepunyaannya. Mereka bersahabat seterusnya berbesan apabila Mohamed Jabar menjodohkan anaknya Itam Hajar dengan Basir iaitu anak kepada Haji Jais.
Pendapatan hasil daripada getah yang agak lumayan pada ketika itu membolehkan Haji Jais menyumbangkan wang ringgitnya untuk membangunkan sebuah Masjid di Kampung Tengah bersama-sama dengan masyarakat Kampung Gajah pada tahun 1910.
Masjid ini kini dikenali sebagai Masjid Lama Kampung Gajah. Selain itu beliau juga turut mendirikan sebuah surau sekitar tahun 1930an yang dikenali sebagai Madrasah Jaiziyah.
Surau ini berperanan sebagai pusat pengajian asas untuk anak-anak muda di Kampung Gajah sebelum melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi di tempat lain.
Surau ini dikendalikan oleh menantunya iaitu Haji Abdul Hamid bin Abdul Latif yang merupakan lulusan Pondok Sungai Dua, Pulau Pinang. Setelah menabur jasa dan baktinya selama puluhan tahun dari segi ekonomi dan sosial untuk masayarakat Kampung Gajah dan sekitarnya, Haji Jais atau dikenali Pawang Jais meninggalkan dunia dalam tahun 1948.
Sumber:
- Haji Md. Shaharudin bin Mansur, Sebahagian Dari Rumpun Keluarga Tok Nojeh dari Changkat Tuntung, Mukim Pulau Tiga Kurun ke 17, Januari 1977
- Hashim Sam, Orang biasa Diraja, Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921)
- Persatuan Sejarah Malaysia, 2000