Bagan Datuk Catat Sejarah Baharu Dengan Perasmian Dataran Waterfront Oleh DYMM Sultan Perak

Hari ini menyaksikan satu lagi detik bersejarah buat Daerah Bagan Datuk apabila DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan Dataran Waterfront Bagan Datuk.
Keberangkatan diraja turut diserikan dengan kehadiran DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa, serta DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah Al Mutawwakil. Turut hadir Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Orang Besar Jajahan Kampr, Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, pemimpin tempatan, dan tetamu kehormat lain.
Bagan Datuk, yang kini merupakan daerah ke-12 di Perak selepas berpisah dengan Daerah Hilir Perak, semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan berpotensi. Antara lokasi ikonik di sini ialah Beting Beras Basah, yang menjadi lokasi istiadat pelengkap Pertabalan Sultan Perak.

Revolusi Pelancongan Bagan Datuk
Projek pembangunan Dataran Waterfront Bagan Datuk dicetuskan pada 2023 oleh Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi memastikan daerah ini mampu bersaing dalam sektor pelancongan negeri. Terletak di pinggir Sungai Perak, hanya 21 nautika dari Selat Melaka, kawasan ini menawarkan pemandangan indah terutama saat matahari terbenam.
Dataran ini dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kawasan rekreasi, gerai makan dan minuman, serta tandas awam, menjadikannya tumpuan pengunjung dari dalam dan luar Perak untuk menikmati ketenangan tepi sungai.
Dengan pembukaan rasmi ini, Bagan Datuk dijangka menjadi hab pelancongan baharu yang menyumbang kepada ekonomi dan kemajuan wilayah.
Disediakan oleh: Saiful Rezal






