Sultan Muzaffar Shah II (Sultan Perak ke 10)

Dalam tahun 1636, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam iaitu Sultan Acheh yang masyhur telah mangkat di Acheh dan menantu almarhum yang bernama Raja Mughal telah diangkat menjadi Sultan Acheh dengan gelaran Sultan Iskandar Thani.

Dalam tahun yang sama juga, Sultan Iskandar Thani telah menghantar seorang sepupunya yang bernama Raja Sulong untuk menjadi sultan di negeri Perak kerana pada waktu itu negeri Perak masih berada di bawah naungan kerajaan Acheh.

Setelah Raja Sulong sampai ke negeri Perak, baginda telah diangkat menjadi Sultan Perak yang ke 10 berikutan dengan kemangkatan Sultan Perak ke 9 dan baginda telah menggunakan gelaran Sultan Muzaffar Shah II.

Sultan Iskandar Thani adalah putera kepada Sultan Ahmad inbi Abdul Kadir iaitu Sultan Pahang ke 11 yang mempunyai darah keturunan kesultanan Melayu Melaka.

Sewaktu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam menyerang dan mengalahkan negeri Pahang dalam tahun 1618, Sultan Ahmad (Sultan Pahang ke 11) serta puteranya Raja Mughal dan ramai orang Pahang ditawan lantas dibawa ke negeri Acheh.

Sultan Muzaffar Shah II (Sultan Perak ke 10)

Lakaran Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam

Antara beberapa orang yang menjadi tawanan Acheh itu termasuklah seorang anak gahara yang bernama Raja Sulong putera kepada Raja Mahmud ibni Raja Kasab, Raja Siak.

Isteri kepada Raja Kasab yang merupakan bonda kepada Raja Mahmud bernama Raja Puteh iaitu puteri kepada Sultan Mansur Shah II yang merupakan Sultan Pahang ke 8.

Raja Sulong itu adalah sepupu dengan Sultan Iskandar Thani (Raja Mughal) kerana bonda Raja Mughal adalah adik beradik dengan Raja Mahmud ayah Raja Sulong.

Sultan Muzaffar Shah II (Raja Sulong) yang merupakan Sultan Perak ke 10 telah berkahwin dengan cucu kepada Sultan Mansur Shah II iaitu Sultan Perak yang ke 2.

Sebelum Belanda menakluki negeri Melaka dalam tahun 1639, sewaktu negeri Acheh dalam pemerintahan Sultan Iskandar Thani. Kompeni Belanda telah datang ke negeri Acheh.

Kedatangan mereka adalah untuk memohon kebenaran daripada Sultan Iskandar Thani untuk membeli timah di negeri Perak. Sultan Iskandar Thani telah memberi kebenaran kepada pihak Belanda.

Kemudian, pihak Belanda telah pergi menemui Sultan Muzaffar Shah II untuk memberitahu tentang berita kebenaran untuk membeli timah di negeri Perak telah dipersetujui oleh Sultan Iskandar Thani.

Lantas, Sultan Muzaffar Shah II memberi kebenaran kepada kompeni Belanda untuk berniaga dan membeli timah di negeri Perak. Orang Belanda telah membina rumah di tempat mereka berniaga berhampiran dengan kuala sungai Perak.

Sejak itu, perniagaan orang Belanda di negeri Perak berjalan dengan baik sehinggalah ke tahun 1641. Dalam tahun 1641, Sultan Iskandar Thani telah mangkat dan balunya iaitu Puteri Safiatuddin yang merupakan puteri kepada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah diangkat menjadi Raja Acheh untuk menggantikan suaminya.

Puteri Safiatuddin menjadi Raja Acheh dengan memakai gelaran Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah. Namun zaman kegemilangan kerajaan Acheh kemudian mula merudum dan beransur lemah ekoran daripada punyai seorang pemerintah perempuan yang mungkin kurang pengalaman.

Sultan Muzaffar Shah II (Sultan Perak ke 10)

Lakaran Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah

Sejak itu, kuasa dan jajahan takluk kerajaan Acheh di Semenanjung Tanah Melayu mula beransur lemah dan dilepaskan satu demi satu sehinggalah tinggal satu-satunya negeri yang masih berada di bawah naungan Acheh bertahun lamanya iaitu negeri Perak.

Sewaktu dalam pertengahan tahun 1641, seorang saudagar Belanda yang bernama Jan Dircxen Puijit telah datang ke negeri Perak dengan membawa banyak barang dagangan untuk diniagakan di negeri Perak.

Jan Dircxen Puijit telah masuk menghadap bertemu dengan Sultan Muzaffar Shah II dan telah menyampaikan surat serta hadiah daripada Gabenor Belanda (Johan van Twist) yang berada di Melaka.

Dalam surat daripada Gabenor Belanda ada menyatakan cadangan kepada Sultan Perak berkenaan dengan menghentikan saudagar daripada bangsa lain daripada datang untuk membeli timah di negeri Perak.

Selain itu, Gabenor Belanda juga mencadangkan untuk negeri Perak hanya menjual hasil timah hanya kepada Belanda sahaja. Sultan Muzaffar Shah II menyambut baik dan membalas hadiah yang dibawa oleh Jan Dircxen Puijit dengan sebilah pedang dan sebilah keris serta mengurniakan gelaran Seri Johan Pahlawan kepadanya.

Tidak cukup dengan itu, Sultan Muzaffar Shah II turut memberi sebuah rumah kepada Belanda untuk menggantikan rumah mereka yang sudah usang dan menanti rebah yang ada di tempat orang Belanda berdagang.

Sultan Muzaffar Shah II turut menyatakan bahawa baginda merasa amat berbesar hati untuk membeli barang dagangan daripada Belanda dengan syarat setiap belian dibenarkan hutang.

Namun, cadangan yang diberi oleh Gabenor Belanda kepada Sultan Perak untuk melarang bangsa lain daripada membeli hasil timah masih lagi tergantung keputusannya. Baginda Sultan Perak hanya menyatakan bahawa perkara itu akan dibawa ke mesyuarat dengan orang-orang besar negeri Perak terlebih dahulu.

Setelah sekian lama dan Sultan Perak terus didesak oleh Gabenor Belanda untuk menghalang bangsa lain daripada membeli hasil timah di negeri Perak, namun baginda Sultan Muzaffar Shah II tetap berpendirian untuk tidak menghalang bangsa lain dari membeli timah di negeri Perak.

Sehinggalah sampai satu tahap Sultan Perak memberi amaran untuk menarik balik rumah yang telah diberikan kepada orang Belanda sewaktu kehadian Jan Dircxen Puijit dahulu.

Oleh kerana Sultan Perak tidak mahu mengalah dengan permintaan Belanda, pihak Belanda mula mencari jalan ikhtiar untuk menyekat orang Jawa, Cina, India daripada datang untuk berdagang ke negeri Perak.

Beberapa kapal Belanda telah disediakan untuk menjaga di kuala sungai Perak hanya kerana hendak menyekat kemasukan bangsa-bangsa lain daripada masuk ke negeri Perak untuk berdagang.

Sekatan yang telah dibuat oleh orang Belanda di kuala sungai Perak kemudian telah dibantah oleh kerajaan negeri Perak. Tidak cukup dengan itu, orang Belanda kemudian ke Acheh untuk menerangkan hal sekatan mereka di negeri Perak dan cadangan untuk menyekat bangsa-bangsa lain daripada membeli timah di negeri Perak.

Kerajaan Acheh kemudian tidak mengarahkan kerajaan negeri Perak untuk menghalang bangsa lain daripada membeli hasil timah di negeri Perak. Hal ini kerana Belanda sebenarnya masih dapat membeli hasil timah yang paling banyak daripada yang lain dari negeri Perak.

Dalam tahun 1650, Gabenor Jeneral Kompeni Belanda di Betawi yang bernama Cornelis van de Lijn telah menghantar wakil bernama Joan Truijtman ke negeri Acheh.

Apabila wakil dari Belanda itu sampai ke Acheh, Belanda telah memaksa Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah untuk membuat perjanjian dengan Belanda yang mana hanya membenarkan Belanda sahaja membeli hasil timah di negeri Perak.

Sultan Muzaffar Shah II (Sultan Perak ke 10)

Air Mati berdekatan Makam Sultan Muzaffar Shah II

Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah kemudian menerima perjanjian tersebut lantas telah mengarahkan kerajaan negeri Perak untuk taat terhadap perintahnya. Waktu itu negeri Perak yang masih lagi dibawah naungan negeri Acheh terpaksa akur dan taat terhadap permintaan kerajaan Acheh.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada 15 Ogos 1650. Setahun selepas itu, loji Belanda di Kuala Perak telah diserang dan dibinasakan oleh orang-orang Melayu.

Tidak cukup dengan itu, ramai orang-orang Belanda telah terkorban akibat daripada serangan tersebut. Pada saat itulah Kampeni Belanda berhenti dan tidak lagi berdagang di negeri Perak.

Sultan Muzaffar Shah II (Sultan Perak ke 10) telah memerintah negeri Perak selama 17 tahun. Baginda telah mangkat (diberi gelaran Marhum Jalilulah) dalam tahun 1653 dan telah dimakamkan di Air Mati, Perak Tengah.

Rujukan:

  • Sejarah Perak, Buyung Adil, m/s 16

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here