Mengenang sejarah lampau yang mana gajah amat soninom dengan kesultanan negeri Perak satu ketika dahulu. Seekor gajah bernama Kulup Chandan pernah dibela oleh Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) dan gajah tersebut digembala oleh Kulup Said.
Kulup Chandan hidup dalam zaman pemerintahan Almarhum Sultan Yusuf (Sultan Perak ke 27) sehingga ke zaman Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28). Gajah tersebut pernah menjadi haiwan tunggangan kepada 2 orang Sultan Perak.
Gajah ini punyai keistimewaannya yang tersendiri sehinggakan namanya diabadikan pada sebuah bukit yang kini tersergam indah dan Istana Iskandariah yang menjadi kediaman rasmi setiap Sultan Perak sehingga ke hari ini.
Berdasarkan kisah lampau sewaktu Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) bergelar Raja Muda dan kononnya terdapat kisah suatu hari gajah kesayangan Sultan Yusuf (Sultan Perak ke 27) terlepas ke dalam hutan dan terdapat satu usaha mencarinya semula secara besar-besaran.
Almarhum Sultan Idris I
Semasa mencari di dalam hutan, Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) yang mana pada masa itu bergelar Raja Muda Perak berjaya menemui gajah berkenaan di kaki Gunung Bubu. Hendak dijadikan cerita, baginda Almarhum telah bertemu seorang lelaki tua berjubah putih dan berjanggut panjang disana.
Difahamkan orang tua berkenaan kemudian memberitahu Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) bahawa baginda bakal ditabalkan menjadi Sultan Perak yang seterusnya dengan syarat Kulup Chandan perlu dilepaskan selepas tujuh hari pertabalan dan sebuah istana baru perlu dibina di Seri Andalan (kini dikenali sebagai Bukit Chandan).
Kisah ini mungkin benar-benar berlaku namun hakikatnya gajah tersebut tidak dilepaskan ke hutan. Hal ini dapat dibuktikan dengan rekod yang ditemui dalam surat khabar lama Berita Harian bertarikh 28 Ogos 1964 yang ada menyebut nama gajah Kulup Chandan milik Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) dalam peristiwa pada tahun 1913. Anda boleh rujuk artikel Sejarah Disebalik Pembinaan Masjid Ubudiah Di Bukit Chandan untuk bacaan lanjut.
keratan akhbar Berita Harian 28 Ogos 1964
Upacara meletakkan batu asas Masjid Ubudiah telah diadakan pada tahun 1913 yang mana ia dijalankan sendiri oleh Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28). Sewaktu pembinaan Masjid Ubudiah di Bukit Chandan dijalankan, terdapat upacara pertembungan antara dua ekor gajah yang dilangsungkan selama beberapa jam dalam sebuah kenduri berkhatan diraja.
Raja Chulan (kiri) dan Almarhum Sultan Idris I (kanan)
Seekor daripadanya bernama Kulup Chandan yang dimiliki oleh Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) dan digembala oleh Kulup Said. Manakala seekor lagi lawannya adalah gajah yang bernama Kulup Gangga yang dimiliki oleh Raja Chulan dan digembala oleh Uda Dabok.
Sewaktu kedua-dua ekor gajah tersebut sedang bertempur, mereka melarat sehingga ke kawasan pembinaan masjid yang terletak tidak jauh dari kawasan kenduri. Pada waktu itulah sebilangan besar bahan-bahan pembinaan untuk Masjid Ubudiah termasuk batu marmar yang di import khas dari negara Itali telah rosak dan binasa.
Pertembungan dua gajah jantan itu dihentikan oleh Raja Chulan sebelum keadaan menjadi tidak terkawal dan untuk mengelakkan kerosakan yang lebih teruk. Oleh yang demikian, bahan-bahan binaan baru terpaksa ditempah semula dari negara Itali untuk gantikan bahan-bahan yang telah rosak.
Selepas Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) mangkat, gajah yang bernama Kulup Chandan dibela oleh anakandanya dengan menggantikan takhta Sultan Perak iaitu Almarhum Sultan Abdul Jalil sebagai Sultan Perak ke 29.
Sumber dan rujukan:
- Berita Harian 28 Ogos 1964
- https://www.orangperak.com/sejarah-disebalik-pembinaan-masjid-ubudiah-di-bukit-chandan.html