Setelah berita kemangkatan Sultan Mansur Shah I (Marhum Kota Lama Kanan, Sultan Perak ke 2), orang-orang besar di negeri Perak telah pergi ke negeri Acheh dan masuk menghadap sultan Acheh.
Sultan Acheh pada waktu itu adalah putera sulung kepada Almarhum Sultan Mansur Shah I (Sultan Perak ke 2) yang bernama Sultan Alauddin Mansur Shah dan orang-orang besar negeri Perak memohon seorang raja untuk dijadikan sultan di negeri Perak.
Sultan Alauddin Mansur Shah kemudian perkenan dan menghantar adinda baginda yang bernama Raja Ahmad untuk dijadikan sebagai sultan di negeri Perak yang baru yang kemudian menggunakan gelaran sebagai Sultan Ahmad Tajuddin Shah (Sultan Perak ke 3).
Pada waktu itu, negeri Perak tetap berada dibawah taklukan Acheh. Selepas mendapat takhta kerajaan negeri Perak, Sultan Ahmad Tajuddin Shah mula bersemayam di satu tempat yang bernama Julang (Jalong).
Namun oleh kerana kawasan tersebut kerap dilanda banjir, baginda telah berpindah dan bersemayam ke satu lokasi baru yang lain bernama Geronggong yang terletak dalam mukim Pulau Tiga.
Baginda Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Shah (Sultan Perak ke 3) memerintah negeri Perak cuma lebih kurang tujuh tahun lamanya dan mangkat dalam tahun 1584 lantas diberi gelaran Marhum Muda.
Putera Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Shah yang ditinggalkan pada waktu itu bernama Raja Inu yang bergelar Raja Kecil Lasa. Lebih kurang selepas setahun baginda Sultan Perak mangkat, Sulan Alauddin Mansur Shah (Sultan Acheh) pula yang mangkat.
Bonda serta saudara-mara baginda yang dibawa ke Acheh dahulu kemudian berangkat pulang ke negeri Perak. Sejak dari itu, kuasa kerajaan Acheh terhadap negeri Perak mula menghilang sedikit demi sedikit.
Lokasi makam Sultan Ahmad Tajuddin Shah (Sultan Perak ke 3) terletak di Kampung Jawa yang berdekatan dengan Kampung Gajah. Berdekatan dengan makam makam Sultan Ahmad Tajuddin Shah juga terdapat makam Sultan Perak ke 11 dan makam Sultan Perak ke 12.
Rujukan
- Sejarah Perak, Buyung Adil, m/s 11 hingga 12