Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir Perak ialah antara jawatan paling penting untuk Kerajaan Negeri Perak.
Menurut perlembagaan negeri yang dimaktubkan, kedudukan Raja Di-Hilir adalah yang ketiga paling tinggi selepas jawatan Sultan Perak dan jawatan Raja Muda Perak.
Kali ini, kami dari warga orangperak.com ingin memperkenalkan pada anda semua pembaca setia orangperak.com tentang siapakah yang memegang jawatan Raja Di-Hilir Perak sekarang pada tahun 2017 ini.
Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah II Afifurlah yang memegang jawatan Raja Di-Hilir Perak sekarang ini dilahirkan pada 8 Februari 1955 di No 1, Race Course Road Ipoh (kini dikenali sebagai Istana Firuz Jalan Lumba Kuda Ipoh). Baginda Tuanku Raja Iskandar adalah merupakan anakanda kedua baginda bongsu dan putera sulung kepada Paduka Seri Sultan Idris Shah (Sultan Perak yang ke 33) dan Raja Muzwin.
Raja Iskandar Dzulkarnain menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford yang terletak di Kuala Kangsar, Perak. Kemudian, baginda melanjutkan pengajian ke London dan telah bertemu jodoh dan berkahwin dengan Tunku Soraya Binti Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah yang merupakan anak sulung kepada Sultan Kedah sekarang ini, Sultan Abdul Halim.
Baginda Raja Iskandar mempunyai 5 orang anak yang mana adalah 3 orang putera dan 2 orang puteri. Maklumat tambahan buat anda pembaca setia orangperak.com, Raja Iskandar Dzulkarnain telah dimahkotakan sebagai Raja Di-Hilir Perak sejak pada tarikh 20 Jun 2014 sehingga ke hari ini. Baginda kini bersemayam di Istana Firuz di bandar Ipoh, Perak.
Rakyat amat senang dengan kekerapan dan kehadiran Raja Di-Hilir Perak yang berjiwa rakyat ini. Baginda kerap hadir ke masjid-masjid di serata kawasan yang ada di seluruh negeri Perak secara rawak untuk menunaikan solat Jumaat berjemaah bersama-sama dengan rakyat.
Pada 14 April 2017 baru-baru ini, Raja Iskandar Dzulkarnain telah hadirkan diri dan menunaikan solat Jumaat bersama-sama dengan rakyat di Masjid Radiatul Mardhiah di Pekan Parit.