Jika anda berkunjung ke Kampar, jangan lepaskan peluang untuk ke salah satu lokasi yang menarik iaitu Bandar Agacia yang terletak kira-kira 15 minit dari Bandar Kampar.
Bandar Agacia atau dikenali sebagai The Trails of Kampar merupakan satu kawasan pembangunan baru yang terletak berhampiran dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan juga Sekolah Antarabangsa Westlake.
Untuk makluman pembaca orangperak.com, daerah Kampar yang terletak dalam lingkungan Lembah Kinta ini sememangnya pernah terkenal dengan lokasi yang kaya dengan hasil bumi iaitu bijih timah dan pernah menjadi tumpuan pelbagai golongan seperti pedagang daripada Indonesia, pelombong daripada negara China dan Eropah.
Jadi, Bandar Agacia ini terletak di antara tasik-tasik yang menarik di Kampar, yang merupakan kesan daripada tinggalan aktiviti perlombongan yang pesat pada suatu masa dahulu.
Uniknya bandar ini ia dibina dengan konsep yang tersendiri. Pihak pemaju telah mengambil inspirasi daripada ‘The Trails of Redmond’ iaitu satu bandar di Washington, Amerika Syarikat.
Menurut pihak pemaju, Bandar Agacia ini merupakan satu-satunya bandar yang mempunyai konsep sebegini di Asia. Bandar ini juga dibina dengan konsep villa-resort yang unik dan ceria berdasarkan kartun animasi dan juga fantasi terutamanya di “University Square Kampar”. Setiap unit bangunan mempunyai ciri dan rekabentuk tersendiri serta berbeza antara satu sama lain.
Nama setiap lorong di Bandar Agacia ini juga dinamakan dengan nama yang unik berdasarkan konsep bangunan yang terdapat di lorong tersebut. Nama seperti “Disney Avenue”, “Castle Avenue” dan “Pavilion Avenue” diberikan untuk menambahkan lagi nilai estetik yang ada.
Bandar Agacia merupakan salah satu lokasi yang wajib anda datang jika anda sukakan destinasi yang berwarna-warni di samping melewati pelbagai deretan kedai dengan konsep kartun Disney yang ada di sini. Moh komer..!