25.5 C
Ipoh
Wednesday, 12 February 2025

Lagenda Tok Kuala Bidor Yang Terkenal Di Teluk Intan

- Advertisement -
- Advertisement -

Tok Kuala Bidor? Di hujung Kampung Bahagia, Teluk Intan, disekitar kawasan Kunci Air Sungai Suli terdapat perkuburan lama yang berada disebuah ‘pulau’ di tengah sungai. Perkuburan ini menempatkan jasad penduduk-penduduk awal Teluk Intan termasuklah seorang tokoh yang digelar sebagai Toh Kuala Bidor.

Pada masa dahulu, pelawat yang ingin ke kawasan perkuburan ini hanya boleh berbuat demikian menggunakan motorbot atau perahu sahaja kerana tiada jalanraya yang sampai kesitu. Namun kini setelah terbinanya kunci air penebat banjir, akhirnya terdapat jambatan dan jalan raya yang merintangi sungai sekaligus memudahkan untuk penduduk tempatan ke Sungai Tungku mahupun menziarahi kawasan perkuburan ini.

Batu Nesan Keramat Kuala Bidor

Terdapat banyak cerita mengenai Tok Kuala Bidor atau Toh Kuala Bidor ini. Ada sesetengah ahli sejarah yang menganggap beliau sebagai Panglima Bugis yang bernama Latata Ambralla yang menyamar diri sebagai Nakhoda Hitam. Nakhoda Hitam ini juga dikenali oleh orang Belanda sebagai Ketua Lanun yang mengganas di Kuala Perak (muara Sungai Perak yang bertemu Selat Melaka).

Pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah III (1728-1756), Tok Kuala Bidor dikatakan telah dilantik sebagai Orang Besar Perak bergelar Laksamana dan beliau menguasai kawasan perairan dari Kuala Bidor sehingga Kuala Sungai Perak.

Kisah lagenda berkenaan dengan Tok Kuala Bidor ini pernah direkodkan oleh Sir William Edward Maxwell, seorang pentadbir Inggeris yang pernah menjawat jawatan sebagai Residen British Selangor, Setiausaha Kolonial Negeri-Negeri Selat, pemangku Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Gabenor Gold Coast, Australia. Berikut merupakan kajian beliau berkenaan Tok Kuala Bidor yang diterbitkan di “Straits Branch of Royal Asiatic Society”.

Sir William Edward Maxwell

“Pada masa dahulu terdapat seorang nelayan miskin yang berasal dari Pasai, Sumatera dan telah berhijrah ke Semenanjung Melayu serta tinggal bersama isterinya di Sungai Perak. Dia (bekerja dengan) menangkap ikan menggunakan pelbagai jenis alatan (seperti belat, gerogok, bubu dan sebagainya), tetapi hidupnya tetap sukar untuk memperoleh mata pencarian.

Dia dan isterinya sangat miskin sehingga mereka hanya mempunyai satu pakaian di antara mereka, dan ketika seorang diantara mereka pergi keluar, yang lain diwajibkan tinggal di rumah di dalam kelambu nyamuk di rumah mereka itu. Air pasang pada masa itu kadangkala sampai ke Bandar Tuah, dan berhampiran tempat ini suami itu pergi memancing.

Dia perasan bahawa perangkapnya itu telah diganggu orang lain bebeberapa kali. Jadi dia tekad untuk melakukan intipan. Selepas beberapa waktu, beliau ternampak Jin berpakaian jubah hijau seperti seorang Haji serta memakai serban hijau, telah turun ke air. Nelayan itu dengan segera menyelam ke dalam air dan menangkap kaki Jin tersebut.

Jin itu kemudian merayu agar dilepaskan dan akan menunaikan permintaan nelayan itu jika dia berbuat demikian. Nelayan itu kemudian memohon agar beliau dikeluarkan dari kemiskinannya itu. Jin tersebut kemudian meminta agar beliau menelan sesuatu dan kemudian meludah ke dalam mulutnya. Jin kemudian berkata, “Kamu akan menjadi pembesar yang hebat di negeri Perak ini dan keturunan kamu selama tujuh generasi akan menjadi makmur.”

“Selepas dari peristiwa itu, nelayan tersebut pun dilimpahi kemakmuran serta bertambah kaya dan akhirnya dinaikkan menjadi Laksamana Negeri Perak. Dia dipanggil oleh orang-orangnya sebagai Toh Kuala Bidor, oleh kerana kediamannya yang berada di Kuala Sungai Bidor. Anak-anak Laksamana Datok Muhammad Amin, yang merupakan tahanan negeri di Seychelles, mendakwa merupakan keturunan ke-7 daripada Toh Kuala Bidor. “

Menurut tulisan Megat Iskandar At-Terawis dalam blog Orang Dua Belas, kajian salasilah dari keluarga Daeng Selili mendakwa Nakhoda Hitam merupakan adik bongsu kepada Daeng Selili (Orang Kaya-Kaya Maharaja Lela Tan Putera Pancung Tak Bertanya, Dato Maharajalela Pertama). Selain itu ada juga dakwaan yang menyatakan bahawa Nakhoda Hitam merupakan kekanda tiri kepada Daeng Selili.

Jawatan OKK Laksamana Raja Mahkota dari awal kewujudannya sehinga kini merupakan jawatan yang diduduki oleh keturunan Tok Kuala Bidor. Kini jawatan tersebut disandang oleh OKK Laksamana Raja Mahkota Dato’ Meor Redwan Bin Mahyudin. Beliau juga merupakan Orang Besar Jajahan Hilir Perak.

Begitulah lagenda Tok Kuala Bidor. Kuburnya berada di Kampung Bahagia, Teluk Intan. Namun terdapat juga dakwaan yang mengatakan kuburnya telah dipindahkan ke Masjid Kampung Batak Rabit di Teluk Intan. Makamnya di Kampung Bahagia itu juga dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor.

Disepanjang pemerhatian team Orang Perak yang pernah melawat makam ini beberapa tahun lepas, kawasan pemakaman ini dipercayai menempatkan kubur-kubur kerabat OKK Raja Laksamana dari beberapa keturunan. Keramat Tok Kuala Bidor menggunakan batu nisan aceh yang menarik. Namun sayangnya sebahagian besar batu nisan aceh ini sudah musnah mungkin disebabkan faktor pendedahan terhadap cuaca yang terlalu lama.

Team Orang Perak menjejaki Keramat Kuala Bidor pada tahun 2019

Kawasan pemakaman ini juga dipenuhi dengan semak. Diharapkan ahli waris dan keluarga Laksamana dapat bertindak untuk membersih serta memulihara kawasan ini. Juga mungkin boleh diletakkan sebuah papan tanda informasi mengenai sejarah Tok Kuala Bidor agak kisahnya dapat diikuti oleh masyarakat pada masa kini.

Rujukan :

  1. Maxwell W (ed). Notes and Queries. Malaysian Branch Royal Asiatic Society (MBRAS). Reprint 15. 1997. p61.
  2. Tempat-tempat Bersejarah di Negeri Perak, N.A. Halim
  3. FB Page – Jejak Warisan Teluk Intan
  4. Blog Orang Dua Belas – Megat Iskandar Terawis
  5. Fb – Iskandar Zulqarnain

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here