Insiden Rusuhan Di Papan Pada 1887

Kurun ke 19 dianggap sebagai zaman yang kucar-kacir di negeri Perak. Ini kerana pada kurun tersebutlah berlakunya perbalahan diantara raja-raja dan pembesar-pembesar negeri Perak dalam merebut kuasa dan pengaruh.

Dalam masa yang sama juga, ketibaan ramai imigran Cina ke negeri Perak untuk berkerja sebagai buruh di pusat-pusat perlombongan di kawasan Larut dan Lembah Kinta juga memburukkan lagi keadaan kerana ramai diantara buruh ini menjadi ahli kepada kumpulan kongsi gelap tertentu.

Pada kali ini orangperak.com akan mengupas mengenai insiden rusuhan di Papan pada 1887 yang menjadi insiden penting dalam negeri Perak dan kepentingan insiden ini dalam mengubah dasar keselamatan yang dijalankan oleh pihak pentadbiran negeri Perak pada masa itu.

Kekacauan besar seperti Perang Larut, Perang Saudara Klang dan Rusuhan di Pulau Pinang dalam tahun 1880 an sehingga 1890 an telah membuatkan kumpulan kongsi gelap Tok Pek Kong menguasai kuli-kuli dan perdagangan di kawasan persisiran pantai di Pulau Pinang, dan kumpulan kongsi gelap Hai San pula menguasai kawasan yang kaya dengan hasil bijih timah di Perak dan Selangor.

Manakala kumpulan kongsi gelap Ghee Hin yang kalah (namun kumpulan ini yang mempunyai ahli paling ramai) bertaburan di kawasan yang paling miskin dan tidak membangun, sehinggalah ramai ahli kumpulan Ghee Hin yang kalah dalam Perang Larut dan Perang Klang berpindah ke Kinta dan menjumpai hasil bijih yang lebih banyak daripada kawasan lain di Perak.

Di kawasan pendalaman pada kurun ke 19 di Perak, golongan imigran Cina tiada pilihan melainkan untuk menyertai kumpulan yang digelar oleh pihak British sebagai kongsi gelap. Mereka menyertai kumpulan kongsi ini bertujuan untuk mendapatkan perlindungan peribadi dan keluarga serta memperoleh keselamatan untuk berniaga.

Ahli kumpulan kongsi yang setia kepada Ghee Hin dan Hai San serta kumpulan-kumpulan lain boleh dijumpai berada berdekatan diantara satu sama lain di kawasan penempatan Cina di Kinta. Ketegangan akibat perseteruan lama di Larut akhirnya dibawa ke Kinta.

Sejak daripada Perang Perak dan kemudian apabila pihak British berjaya menguatkan cengkaman dalam pentadbiran Perak, pentadbiran British mengambil langkah untuk mengawal keselamatan dengan menubuhkan Pasukan Polis Bersenjata Perak.

Namun sehingga tahun 1879, balai polis telah dibina di Ipoh dan Gopeng sahaja. Tujuh tahun selepas itu, anggota polis Perak Sikh seramai 149 orang telah berkhidmat dan dihantar ke tujuh balai polis diserata Kinta.

polis sikh

Namun jumlah ini masih belum cukup untuk mengawal undang-undang di daerah tersebut. Pada tahun tersebut juga berlakunya kejadian kebakaran di Lahat dan Papan. Sebagai langkah berjaga-jaga, pekedai-pekedai di Papan dan Gopeng telah meminta Pasukan Polis Perak Sikh untuk berkawal di kampung-kampung dan mereka juga telah membiayai pembinaan balai polis di Papan.

Namun begitu, ketegangan yang semakin meningkat diantara kumpulan kongsi gelap Ghee Hin dan Ho Seng (kumpulan yang bersekutu dengan kumpulan konsi Hai San), menyebabkan berlakunya insiden rusuhan yang paling teruk pernah berlaku di Kinta.

Pada 29 November 1887 berlakunya  pergaduhan di dalam rumah perlacuran di Papan yang akhirnya bertukar menjadi rusuhan besar diantara ahli kumpulan Ghee Hin dan Ho Seng, yang pada malam sebelumnya telah memangil ratusan ahli mereka untuk berkumpul.

Jika tidak kerana tindakan pantas daripada majistret dan pegawai-pegawai beliau serta dibantu oleh pasukan polis serta orang-orang Melayu dikawasan sekitar, sudah tentu kekacauan ini akan merebak ke seluruh daerah Kinta.

Perusuh-perusuh terbabit bersenjatakan lembing, pisau serta membawa sepanduk. Mereka juga ada membawa gong dan dibunyikan disepanjang perarakan. Ahli kumpulan kongsi Ghee Hin mengikat kain merah di lengan mereka dan ahli kumpulan Ho Seng mengikat kain putih di lengan dan kepala mereka. Kira-kira 500 ahli kumpulan kongsi gelap Ghee Hin tiba daripada Lahat pada awal pagi tersebut dan dengan serta-merta terus menyerang dan merompak kumpulan kongsi yang berseteru dengan mereka dan mencederakan 6 orang. Seorang daripada mangsa serangan kemudiannya maut setelah tidak berapa lama tiba di hospital.

Dalam penceritaan oleh Baxendale, beliau menceritakan kisah daripada sahabatnya H.R. Baldwin yang terperangkap dalam Rusuhan Papan dan bagaimana Majistret J.B.M Leach mendapat gelaran “Orang Kuat Kinta” selepas rusuhan tersebut.

Pemimpin kedua-dua kumpulan telah dipanggil untuk berjumpa dengan Majistret Daerah, Mr J.B.M Leach dan mereka menjelaskan kepada Leach bahawa pergaduhan yang berlaku bersifat persendirian dan menyebut yang mereka mempunyai ahli seramai 9,000 orang dan 8,000 orang di pihak yang lain.

Mereka juga mengingatkan Leach bahawa hanya ada 40 orang eropah dan 30 anggota polis Sikh di Kinta dan mereka berjanji jika pihak berkuasa tidak campur tangan, nyawa dan harta pihak berkuasa tidak akan disentuh atau dimusnahkan.

Leach kemudiannya membalas yang beliau tidak peduli jika mereka ingin berbunuhan, namun telah menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan keamanan serta undang-undang sentiasa tertegak di Kinta dan untuk itu beliau sanggup berkorban untuk mempertahankannya.

Pertempuran kemudiannya tercetus dan dalam masa yang sama pasukan bantuan pimpinan Sir Hugh Low masih dalam perjalanan dari Taiping ke Papan. Leach dan pasukan polis bertindak menyerang kedua-dua belah pihak untuk menghalang mereka daripada membakar penempatan satu sama lain.

Kemudian Baldwin dibantu dengan 3 polis Sikh telah diarahkan untuk memintas 800 orang kongsi yang telah membakar Lahat. Kemudian apabila pasukan pimpinan Sir Hugh Low tiba, rusuhan tersebut dengan segera berjaya diatasi. Beberapa orang Cina telah terbunuh namun tiada kerosakan atau kecederaan pada pihak berkuasa.

Majistret, pegawai-pegawai beliau dan pasukan polis kemudiannya tiba tepat pada masanya dan berjaya menghalang daripada berlakunya pergaduhan yang lebih besar. Walaubagaimanapun, seorang perusuh telah terbunuh dan beberapa orang cedera dalam pertempuran yang berlaku di atas jalan di Papan. Ramai daripada perusuh yang membawa senjata telah dipukul dengan cota oleh pihak polis dan perusuh-perusuh tersebut segera beredar dan rusuhan tersebut berjaya dihentikan.

Manakala pemimpin rusuhan tersebut telah dibawa ke muka pengadilan di hadapan Paduka Seri Sultan Perak, Residen Perak dan Panglima Kinta beberapa hari selepas insiden itu berlaku. Dua orang ahli kongsi telah didapati bersalah atas kesalahan membunuh dengan niat dan dijatuhi dihukum gantung sampai mati. Hukuman tersebut telah dijalankan di Taiping. Manakala sembilan orang ahli kongsi telah dijatuhi hukuman penjara diantara enam bulan sehingga dua tahun mengikut kesalahan masing-masing.

Manakala dua belas ahli kongsi telah didenda dengan denda sebanyak $36 sehingga $5000 dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak $11,916, dan ikat jamin sebanyak $1,500 telah dikenakan keatas seorang taukey sebagai jaminan untuk memastikan tidak berlaku lagi kekacauan dikawasan tersebut.

Rusuhan Papan telah berjaya dikawal sepenuhnya oleh Pasukan Polis Perak Sikh yang merupakan pasukan separa tentera terdiri daripada orang Sikh, Pathan, dan Punjabi dibawah pimpinan Leftenan Kolonel R.S.F Walker.

Selepas berlakunya Rusuhan Papan, kerajaan negeri Perak telah menggugut untuk melaksanakan hukuman mati sebagai denda buat mereka yang menyertai kumpulan kongsi gelap, namun arahan itu kemudiannya ditarik balik. Pada 1890, satu akta bagi membendung kumpulan kongsi gelap telah dikeluarkan.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here