Sejarah semakin hilang ditelan peredaran zaman, itulah hakikat yang terpaksa dihadap dan terpaksa diterima walaupun sukar untuk menerimanya. Kampung Bandar Baharu atau lebih dikenali dengan nama Bandar Baru oleh penduduk tempatan terletak di Kampung Gajah, Perak. Lokasi kawasan ini terletak benar-benar di tepi tebing kanan Sungai Perak yang pada satu ketika dahulu menjadi nadi untuk jalan utama ke hulu dan ke hilir dalam serata negeri Perak dan menyimpan rahsia yang besar pada zaman dahulu.
Seberang sungai dari kawasan Kampung Bandar Baharu ini ada satu kampung yang namanya Kampung Air Mati. Untuk pengetahuan anda, Kampung Bandar Baru pernah menjadi lokasi pentadbiran J.W.W. Birch pada tahun 1875 yang dulu. Apa yang menarik di kampung ini adalah masih terdapat 4 buah kubur tentera British yang terkorban semasa Perang Perak pada tahun 1875 sehingga ke hari ini dan terdapat juga beberapa kubur dan makam penting serta bangunan lama. Lantas, ia terus menjadi tanda tanya apakah disebalik kawasan kampung itu pada satu ketika dahulu?
Dahulu terdapat sebuah masjid lama dengan senibina Melayu yang jauh ke dalam dikawasan ladang kelapa sawit. Tidak jauh dari masjid tersebut, ada makam Sultan Perak yang ke 19 iaitu Sultan Abdul Malik yang memerintah pada tahun 1806 hingga tahun 1825. Kemudian, ada juga kubur Residen British yang pertama di negeri Perak iaitu J.W.W. Birch yang telah dibunuh oleh orang-orang Datuk Maharajalela pada tahun 1875. Kini masjid tersebut telah dipindahkan, semak Kisah Masjid Usang 107 Tahun Di Kampung Teluk Memali.
Menjadi tanda tanya tentang jika terdapat makam individu penting yang bergelar Sultan Perak, masjid melayu lama yang ditinggalkan dan ada juga kubur Residen British yang pertama di dalam satu kawasan, apakah rahsia yang tersingkap di sebalik kawasan ini pada satu ketika dahulu? Dipercayai, itulah kawasan penempatan orang-orang Melayu dan secara tidak lansung, disitulah lokasi ibu negeri Perak sewaktu zaman pemerintahan Sultan Abdul Malik pada satu ketika dahulu.
Nama Kampung Bandar Baharu diberi kerana tidak jauh dari kawasan tersebut diseberang sungai Perak, wujud juga sebuah penempatan besar yang lebih lama dari penempatan di kawasan Kampung Bandar Baharu pada ketika dahulu. Jadi, gelaran dari penduduk di seberang memanggil kawasan Kampung Bandar Baharu kerana ianya adalah kawasan yang baru dibuka jika berbanding dengan penempatan di seberang yang lebih lama daripadanya.
Sebagai pusat pemerintahan negeri Perak oleh kesultanan Melayu Perak pada awal abad yang ke 19, sudah pastilah wujud istana raja untuk bersemayam mentadbir negeri di Kampung Bandar Baharu tersebut. Namun, apa yang ada kini hanya sebuah bangunan masjid lama yang ditinggalkan tidak berguna dan kian usang diamah masa (kemaskini terbaru: masjid tersebut telah dipindahkan, semak Kisah Masjid Usang 107 Tahun Di Kampung Teluk Memali). Pihak British juga pernah mengambil alih kawasan ini dan dijadikan sebagai pusat pemerintahan British yang diketuai oleh J.W.W. Birch sejurus selepas perjanjian Pangkor dimanterai pada tahun 1874.
Jadi teori ini dikukuhkan lagi dengan persoalan tentang kenapa J.W.W. Birch ditanam di situ walhal dia telah dibunuh di Pasir Salak yang mana lokasinya terletak di seberang sungai Perak dan jauh dari kawasan kuburnya hari ini. Segalanya bermula selepas kematian J.W.W. Birch dan pihak British terus melaksanakan “program social engineering” secara besar-besaran untuk menjatuhkan terus martabat dan kekuasaan orang Melayu.
Sejak dari itu, bandar-bandar Melayu seperti Bandar Baharu telah dilenyapkan oleh pihak British dengan dijadikan estet pertanian untuk menghilangkan kesan dan sejarah kebanggaan orang Melayu untuk tatapan anak cucu. Pada masa yang sama, bandar-bandar baru dengan aktiviti ekonomi berpaksikan kekuatan bangsa lain seperti bandar Taiping dinaikkan. Orang-orang melayu sejak dari hari itu mula hilang arah dan sejak itulah asal usul sejarah digelapkan agar dilupakan sepenuhnya.
Hari ini, ada juga segelintir orang melayu kini sangat dahagakan saki-baki tinggalan sejarah yang semakin menghilang sepertimana anda pembaca setia orangperak.com yang sentiasa menunggu terbitan artikel baru. Namun ramai juga yang tidak berminat untuk ketahui kerana pemikiran kita telah dibasuh oleh arus pemodenan yang secara teorinya dikatakan adalah agenda pihak barat untuk menakluk dunia melalui teknologi. Seharusnya kita pada hari ini kena sedar dan wajar untuk menaikkan kembali martabat bangsa melayu yang sememangnya amat gah di tanah sendiri.