Wanita Didakwa Lakukan Kekerasan Jenayah Terhadap Sultan Perak Ketika Sambutan Merdeka

Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ketika berlangsungnya Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada 31 Ogos lalu.
Tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41, didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, sekitar jam 8.20 pagi ketika acara rasmi sedang berlangsung.
Mengikut pertuduhan, tindakan itu diklasifikasikan sebagai kesalahan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon agar tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan laporan awal mendapati beliau menghidap penyakit skizofrenia. Susulan itu, pihak pendakwaan juga memohon supaya pemeriksaan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, dengan rujukan kepada Seksyen 11 dan 14 Akta Kesihatan Mental 2001, bagi menentukan tahap kewarasan tertuduh semasa kejadian.
Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan kemudian memerintahkan Nurhaswani menjalani rawatan serta pemerhatian selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) sebelum kes disebut semula pada 8 Oktober depan. Mahkamah turut memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.
Dalam prosiding itu, pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzah Farzana Mohd Tafkir, manakala tertuduh dibela oleh peguam M Saravanan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sebelum ini, media melaporkan insiden mengejutkan apabila seorang wanita berpakaian serba hitam tiba-tiba berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat ketika lagu kebesaran negeri dimainkan sempena sambutan merdeka di Ipoh.
