Pernahkah anda mendengar tentang Panglima Hitam? Rata-rata tidak tahu pun akan kewujudan Panglima Hitam kerana zaman sekarang, kisahnya tidak diwar-warkan sepertimana kisah lagenda lima pendekar bersaudara di Melaka pada satu ketika dahulu. Mungkin 50 tahun akan datang, jika ada yang mendengar nama Panglima Hitam, ia akan dianggap sebagai mitos sepertimana yang berlaku pada kisah lagenda pendekar Hang Tuah pada hari ini.
Jadi, terselit kisah berkenaan dengan gerangan Panglima Hitam ini di catatan orangperak.com adalah untuk memberitahu atau mengingatkan kembali pada semua tentang Panglima Hitam sebelum ia terus dilupakan dan akan hilang kisahnya ditelan arus zaman moden.
Untuk makluman anda, Panglima Hitam bukanlah nama individu, tetapi ianya adalah nama buat gelaran kepada jawatan yang dipegang oleh individu yang memegang jawatan tersebut.
Dalam lagenda kisah orang melayu kita, mereka terpilih untuk memegang gelaran Panglima Hitam ini dikatakan benar-benar hebat dalam ilmu persilatan dan sangat handal dalam pertempuran. Panglima Hitam ditugaskan khas untuk menjadi pengawal peribadi buat Sultan.
Setiap sultan akan mempunyai Panglima Hitamnya yang tersendiri sejak pada abad yang ke 18. Antara yang tersohor dan masih ada dalam rekod adalah seperti dibawah.
- Panglima Hitam (Taiping, Perak)
- Panglima Hitam (Kuala Selangor, Selangor)
- Panglima Hitam (Jugra, Selangor)
- Panglima Hitam (Muar, Johor)
- Panglima Hitam (Segamat, Johor)
Yang paling terkenal sekali adalah Panglima Hitam di negeri Perak yang bernama Tengku Daeng Kuning. Tengku Daeng Kuning adalah merupakan anak kepada Raja Bugis dari Makassar, Sulawesi. Gelaran Panglima Hitam yang dipegangnya amat sesuai dengan dirinya yang berilmu dengan seni persilatan yang tinggi dan sentiasa memakai pakaian yang berwarna hitam. Tengku Daeng Kuning atau Panglima Hitam sampai ke kepulauan Tanah Melayu pada 1813.
Tengku Daeng Kuning bersama-sama dengan enam saudara yang lain datang ke kepulauan Tanah Melayu dan apabila sampai ke kepulauan Tanah Melayu, mereka masing-masing membawa haluan sendiri mengikut ilmu dan firasat masing-masing mencari kawasan baru. Maka mereka bertujuh berpecahlah disana dan Tengku Daeng Kuning memilih untuk ke Taiping di negeri Perak dan yang lain-lain ada yang ke Pahang, Kedah, Terengganu, Johor, Selangor dan Melaka.
Jadi harapnya kini anda sudah tahu serba ringkas berkenaan tentang Panglima Hitam. Ia adalah simbol kepada seseorang yang tinggi ilmunya dalam persilatan dan mempunyai keberanian yang tinggi serta kesetiaan yang teguh kepada raja dan negara dan Panglima Hitam di negeri Perak yang bernama Tengku Daeng Kuning adalah yang paling terkenal dari yang lain. Gelaran Panglima Hitam kini telah diguna pakai oleh Pasukan Khas Laut (Paskal), TLDM sebagai Kapal DiRaja (KD) Panglima Hitam.
Kenalkah anda pada Dato’ Meor Abdul Rahman? Beliau adalah cicitnya Daeng Kuning. Untuk makluman anda semua pembaca orangperak.com, pihak kerajaan bersama-sama dengan Jabatan Muzium telah membina semula Makam Panglima Hitam di Taiping yang sebelum ini agak usang ditelan zaman dan telah digazetkan dibawah akta pendaburba sebagai suatu simbol sejarah negara. Ini adalah satu usaha yang wajar dipuji dan sepatutnya dihargai oleh semua orang kerana ia akan menjadi satu-satunya bukti dan rujukan untuk anak cucu kita pada masa yang akan datang.
Dia mungkin berasal dari Jeneponto l, sebab banyak orang dari Jeneponto yang ikut ke Malaysia bersama bangsawan2 kesultanan Gowa.