23.9 C
Ipoh
Tuesday, 10 December 2024

Taman Rekreasi Gunung Lang

- Advertisement -
- Advertisement -

Taman Rekreasi Gunung Lang terletak 5 kilometer dari bandaraya Ipoh, adalah satu daripada beberapa gunung batu kapur yang banyak terdapat di negeri Perak, khususnya di Lembah Kinta. Pada tahun 1999, Gunung Lang telah dijadikan taman rekreasi oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan.

Taman ini dilengkapi dengan tiga buah tasik bauatan dari bekas lombong bijih timah. Tasik Gunung Lang juga dipenuhi dengan pelbagai spesis ikan air tawar seperti kelah, lampam, kap, talipia, dan juga keli.

Pengunjung juga berpeluang melakukan aktiviti memberi makan kepada pelbagai jenis hidupan didalam tasik tersebut. Sebanyak RM8.4 juta telah diperuntukkan untuk membangunkan Taman Gunung Lang melalui fasa pertama dan kedua sebagai taman rekreasi awam sepenuhnya pada 1999 di bawah Rancangan Malaysia ke Tujuh oleh Jabatan Landskap Negara.

Taman Rekreasi Gunung Lang ini menyediakan laluan pejalan kaki meliputi keseluruhan taman yang dilengkapi dengan menara pandang jauh, rumah tradisional Perak, dataran warisan, wakaf terapung, pergola, gerbang warisan, tandas dan surau.

Juga terdapat ladang rusa dan juga burung. Dengan kehijauan pulau yang kelihatan dari jauh, ia turut dipenuhi dengan spesies bunga ditanam seperti heliconia (sepit udang), musa (pisang) dan bougainvillea (bunga kertas).

tasik gunung lang

Fasa kedua taman ini menghimpunkan puluhan spesies Heliconia atau yang dikenali sebagai `sepit udang’ untuk menjadikannya taman terbesar yang pernah menghimpunkan spesies heliconia di Malaysia. Kebanyakan spesies bunga ini sukar didapati dan hanya tumbuh meliar di tengah hutan di luar negara.Spesies ini dijadikan tanaman hiasan kerana keunikannya yang pelbagai jenis dan mempunyai pelbagai saiz, warna dan bentuk yang mampu menarik minat terutama penggemar tanaman hiasan ini.

Spesies heliconia yang terdapat di sini :

  • Heliconia Caribea Gold (keemasan)
  • Rostrata Ruiz and Pavon (merah)
  • Psittacorum Sassy (jingga)
  • Psittacorum Rubra (kuning)
  • Spectabilis India Lamarck (merah jambu)
  • Angusta Vellozo Red Christmas (putih kemerahan)

Anda boleh menyelidiki spesies pisang hutan yang sukar didapati dan tidak pernah dilihat di tempat lain , antaranya :

  • Musa Laverder Pink
  • Lasiocarpo
  • Sumatrana
  • Coccina

Jenis pisang hutan turut ditanam dengan pelbagai jenis dan saiz yang mana kebanyakan spesies pisang hutan ini lebih kecil saiznya berbanding pokok pisang biasa. Manakala jenis daunnya pula bersaiz kecil, berlainan warna seperti warna kemerahan dan jantung pisang berwarna merah jambu, merah hati dan yang paling uniknya berwarna kuning. Selain dari itu, disini turut menyediakan  taman permainan kanak-kanak yang lengkap dan tapak perkhemahan. Tapak perkhemahan khas ini boleh memuatkan sehingga 600 pengunjung pada suatu tempoh masa bagi menjalankan pelbagai aktiviti termasuk kem motivasi, hari keluarga dan perkhemahan keluarga.

Dipintu masuk Taman Rekreasi Gunung Lang ini juga, pengunjung berpeluang menikmati percikan air dari air terjun buatan yang merupakan air terjun buatan manusia tertinggi di Malaysia. Terbaik bukan? Siapa kata negeri Perak tak menarik? Disini juga menjadi tempat kegemaran jurugambar dan pasangan pengantin untuk mengabadikan momen momen indah berlatarbelakang air terjun buatan ataupun tasik buatan.

Jika anda dari bandar Ipoh, anda perlu mengikuti Jalan Kuala Kangsar yang menuju ke Kuala Kangsar. Hanya 5 minit dari dari bandar Ipoh. Jika anda dari Kuala Lumpur, anda hanya perlu keluar dari Lebuh raya Utara Selatan di susur keluar Ipoh Utara 1 km dari situ anda akan temui papan tanda Taman Rekreasi Gunung Lang. Tempat letak kenderaan yang disediakan pula luas dan ianya percuma.

Tiket untuk menaiki bot untuk ke pulau buatan yang jaraknya kira-kira 300 meter pula cuma berharga RM3 bagi dewasa, RM1.50 untuk kanak-kanak dan warga tua. Jadi, apa kata anda senaraikan Taman Rekreasi Gunung Lang sebagai satu tempat yang perlu dikunjungi jika anda bercuti ke Negeri Perak darul Ridzuan. Selamat bercuti dan menikmati keindahan flora dan fauna di Taman Rekreasi Gunung Lang.

- Advertisement -
Muhammad Fadil
Muhammad Fadil
Lebih dikenali sebagai Fadilpenyu. Berasal dari Dungun, Terengganu. Menetap di Ipoh,Perak. Kacak dan mahir berbahasa Melayu.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here