Kampung Di Dasar Tasik Temenggor, Gerik

Buat mereka yang pernah lalui sendiri apabila kampung halaman ditenggelami air tidak mungkin akan dapat dilupakan. Begitulah nasib penduduk asal di Kampung Temengor yang terletak di utara Gerik, Perak. Kisah penempatan tenggelam mereka ini berlaku pada sekitar tahun 1976 yang mana ia mencoretkan 1,001 kisah disetiap wajah mangsa yang berpindah ke penempatan baru.

Segalanya bermula apabila Lembaga Letrik Negara (LLN) yang kini dikenali dengan nama Tenaga Nasional Berhad (TNB) mula membina empangan stesen hidroelektrik di kawasan tersebut iaitu empangan Temenggor. Projek pembinaan empangan Temenggor ini amat penting kerana ia mampu untuk menyumbang sebanyak 348 megawatt keupayaan terpasang dan menghasilkan tenaga purata berjumlah 900 juta unit dalam masa setahun.

Pelaksanaan projek pembinaan empangan Temenggor ini bermula pada tahun 1973 dan mengambil masa selama lima tahun untuk siap sepenuhnya iaitu pada tahun 1978. Jumlah nilai harga projek pembinaan empangan adalah bernilai kira-kira RM340 juta. Disebankan oleh pembinaan empangan inilah punca berlakunya tragedi dimana Kampung Temenggor ditenggelami air secara keseluruhannya.

Maka pada 1976, terkuburlah Kampung Temenggor di dalam Tasik Temenggor secara keseluruhan termasuk rumah-rumah kayu beratapkan rumbia, masjid, sekolah, sawah, dusun dan kebun-kebun getah. Dengan tenggelamnya Kampung Temenggor, ia terus menandakan berakhirnya satu garisan zaman buat masyarakat yang tinggal di tebing sungai itu dikatakan sejak 300 tahun yang lalu.

Kampung Di Dasar Tasik Temenggor, Gerik

Penduduk iaitu mangsa di Kampung Temenggor terpaksa berpindah untuk menyelamatkan diri. Proses pemindahan melibatkan kira-kira 124 keluarga yang terdiri daripada 625 penghuni dari Kampung Temenggor. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Kampung Temenggor terdiri daripada beberapa kampung-kampung iaitu Kampung Panggas, Kampung Bukit, Kampung Mingkong dan Kampung Kertei.

Proses pemindahan mangsa-mangsa penduduk asal di Kampung Temenggor bermula pada awal pagi bertarikh 24 Jun 1976. Tiga buah helikopter Nuri berlepas dari pengkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan menuju ke Ayer Ganda di Gerik untuk melaksanakan Ops Pindah. Misi tersebut diketuai oleh Lt (U) Azmi Ibrahim bersama-sama dengan krewnya yang lain.

Misi pemindahan mangsa penduduk di Kampung Temenggor yang tenggelam itu dilaksanakan dengan jayanya oleh Lt (U) Azmi Ibrahim dan pasukan beliau. Ketiga-tiga helikopter Nuri kembali dan sampai ke pengkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuantan pada waktu maghrib setelah semuanya selamat dan Ops Pindah selesai dilaksanakan. Sekalung tahniah buat mereka yang terlibat dalam operasi Ops Pindah tersebut.

Kampung Di Dasar Tasik Temenggor, Gerik

Pihak Lembaga Letrik Negara (LLN) yang kini dikenali dengan nama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan penuh rasa tanggung-jawab telah menyediakan penempatan baru melalui kerajaan negeri Perak buat mereka iaitu kesemua mangsa penduduk Kampung Temenggor yang tenggelam itu. Mereka telah menyediakan kemudahan asas seperti jalanraya, air, elektrik, masjid, sekolah, klinik desa, dewan orang ramai dan banyak lagi seperti yang dijanjikan sebelum pemindahan dibuat.

Pihak kerajaan yang menyediakan tapak penempatan baru buat mereka seluas 0.5 ekar, kebun getah seluas 10 ekar dan dusun seluas 2 ekar untuk setiap ketua isi keluarga yang dipindahkan dengan tanpa bayaran 1 sen pun. Almarhum Sultan Idris II (Sultan Perak ke 33) yang memegang takhta pada waktu itu telah mengishtiharkan penempatan baru ini sebagai nama Kampung Ganda Temenggor yang diambil sempena nama sebatang sungai iaitu Sungai Ganda.

Almarhum Sultan Idris II (Sultan Perak ke 33) telah merasmikan Kampung Ganda Temengor dalam bulan Ogos 1976. Dengan bantuan dan atas keprihatinan daripada banyak pihak, nasib malang mereka yang kenangkan Kampung Temenggor, kampung asal mereka terbela.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.