Osman Hamzah atau lebih dikenali sebagai Pak Man Telo yang berasal dari Taiping, Perak merupakan penganjur kepada skim cepat kaya yang paling terkenal di Malaysia pada satu ketika dahulu.
Adakah anda masih ingat tentang Pak Man Telo? Atau adakah anda salah seorang dari mangsanya skim yang dianjurnya? Teruskan membaca untuk dapatkan maklumat berkenaan Pak Man Telo.
Pada tahun 1989, rumah Osman Hamzah telah diserbu oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan wang tunai hampir RM2 juta telah ditemui dirumah beliau. Pak Man Telo telah ditahan pada 11 April 1991 dan telah dibuang daerah di Kampung Terong, Kuala Berang, Hulu Terengganu di bawah Ordinan Darurat.
Kemudian, dia sekali lagi ditahan pada 17 Julai 1991 dan dituduh dibawah Akta Institusi Kewangan Dan Bank (Bafia) pada tahun 1989. Dalam perbicaraannya di mahkamah, Pak Man Telo telah mengakui bahawa dia sendiri tidak mengatahui jumlah sebenar modal yang telah dikutip oleh syarikatnya yang bernama Pertama Sdn Bhd kerana tiada siapa yang menjalankan urusan rekod setiap transaksi sepanjang mereka beroperasi.
Disini ada sedikit pengenalan biodata ringkas untuk anda mengenali Pak Man Telo atau nama sebenarnya adalah Osman Hamzah. Pada mulanya, Osman Hamzah adalah seorang wartawan sambilan di Taiping, Perak sebelum memulakan program skim cepat kaya.
Skim cepat kaya Pak Man Telo bermula sejak pada tahun 1972 lagi dan dipercayai telah membabitkan hampir 50,000 orang pelabur dengan dana sebanyak melebihi RM99 juta.
Orang ramai begitu marah terhadap Pak Man Telo akibat gagal membayar dividen yang dijanjikan dan telah menyebabkan sekumpulan enam lelaki bertindak ganas dengan menculik anak lelakinya pada tahun 1991.
Mereka telah mengurung anak lelaki Pak Man Telo di Hotel Tropicana, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sejak 28 Februari hingga 5 Mac 1991 kerana hendak memaksa Pak Man Telo mengembalikan wang sebanyak RM426,767 yang telah dilaburkan dalam skim tersebut. Enam lelaki tersebut telah ditahan polis akhirnya dan dihadapkan ke mahkamah.
Ada juga yang mengambil tindakan saman terhadap Pak Man Telo. Seramai 175 orang pelabur telah memulakan tindakan saman terhadap Pak Man Telo pada Mac 1991. Diikuti seramai 284 pelabur pada April 1991 betindak terus menyaman Pak Man Telo dan ramai lagi yang terus bertindak sedemikian rupa.
Pak Man Telo menjalani hukuman penjara di penjara Taiping selama 2 tahun dan dibebaskan pada 17 November 1992. Kemudian, Pak Man Telo dibawa ke Kuala Berang, Terengganu untuk perintah buang daerah.
Selepas itu, kisah Pak Man Telo mula tenggelam dan orang ramai semakin melupakannya. Pak Man Telo mula menyepikan diri bersama isteri kedua dan seorang anak lelakinya di Terengganu.
Dia mulakan hidup baru disana dan menyara hidup dengan membaiki radio dan televisyen. Pada usia 70 tahun, Pak Man Telo telah meninggal dunia akibat sakit tua pada 22 Disember 1997 sekali gus berakhirlah riwayat seorang lelaki yang menjadi antara pelopor skim cepat kaya di negara ini.
Kesan skim cepat kaya Pak Man Telo berkenaan menyebabkan ia terus diingati sehingga kini dan mungkin akan dikenang sebagai antara pelopor kewujudan skim cepat kaya dalam sejarah Malaysia.
Sekadar untuk mengingatkan kita tentang perkara yang telah lepas agar dapat menjadi satu iktibar buat kita semua. Tidak ada perkara mudah untuk menjadi kaya dengan sekelip mata. Bukannya senang untuk senang, bukannya susah untuk susah.