25.5 C
Ipoh
Saturday, 7 September 2024

Sejarah Nama Tapah

- Advertisement -
- Advertisement -

Adakah anda tahu yang nama tempat Tapah di Perak berasal dari nama seekor ikan? Ya, nama ikan tersebut adalah ikan Tapah yang merupakan satu spesies ikan duri air tawar dalam keluarga Siluridae yang hidup di bahagian selatan Asia dari Pakistan ke Vietnam, Malaysia hingga ke Indonesia. Ikan ini juga dilaporkan terdapat di Afghanistan. Menarik bukan?

peta tapah

Bandar Tapah di Perak dinamakan sempena ikan ini kerana pada masa zaman pemerintahan Sultan Mukkaddam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah (Sultan Perak yang keenam, 1603-1619), ada seorang Dato’ tinggal di sebatang anak sungai Batang Padang ini. Dato’ itu telah memberi nasihat kepada Dato’ Bendahara Garang, dalam usaha dan ikhtiarnya untuk membawa pulang Puteri Limau Purut dari luar negeri. Kerana jasa-jasa tersebut, Dato’ itu telah digelar Toh Tua Sakti.

Pada zaman itu termasya permainan menyabung ayam sangat disukai ramai. Di setiap gelanggang penuh sesah dengan para hadirin dari golongan raja dan rakyat yang berjudi dengan cara tersebut. Dalam satu termasya seperti itu, Tok Tua Sakti telah tewas telah tewas dan habis kampung halamannya tergadai. Tok Tua Sakti sangat menyesal lalu bertaubat. Pada waktu malam pada hari yang sama, Tok Tua Sakti telah bermimpi ketika dalam tidurnya.

ikan tapah

Dalam mimpi tersebut ada menyatakan pada esoknya, akan ada seekor Ikan Tapah sebesar manusia akan terdampar diatas pasir di kuala anak sungai tersebut. Di dalam perutnya terdapat beberapa keping emas yang akan menolong Dato’ itu. Dato’ itu hendaklah membelah perut ikan itu dengan menggunakan sembilu buluh dan menjahitnya semula menggunakan sundang lalang sebagai jarum dan ijok kabung sebagai benang.

Sebagaimana yang dikatakan didalam mimpi itu telah dilaksanakan oleh Dato’ tersebut. Kerana mengingati jasa baik Ikan Tapah itu, maka Ikan Tapah telah menjadi pantangan kepada Tok Tua Sakti dan keturunannya buat selama-lamanya. Anak sungai di kampung Dato’ itu yang mengalir masuk ke sungai Batang Padang telah dinamakan Sungai Tapah. Toh Tua Sakti dan keturunannya adalah pasak Tapah ini. Bersempena dengan peristiwa tersebut, bandar ini telah dikenali sebagai Bandar Tapah. Tidak diketahui akan kesahihan apa yang berlaku ketika Tok Tua Sakti terjumpa ikan Tapah tersebut.

Disini, ada sedikit maklumat ringkas berkenaan ikan Tapah. Badan Ikan Tapah panjang dan amat padat serta ia boleh membesar sehingga 2.4 meter (8 kaki) panjang. Kepalanya lebar, dengan mulut yang besar dan melekuk. Sudut-sudut mulutnya menjangkau ke belakang matanya. Gigi ikan ini amat tajam dan boleh menggigit manusia. Sai mata ikan Tapah ini kecil dan ia mempunyai dua pasang duri, dengan sirip dorsal yang kecil dan sirip belakang yang amat panjang.

sungai tapah

Tapah kini antara bandar yang terkenal kerana kedudukannya di kaki bukit banjaran Gunung Titiwangsa. Ramai pelancong dari dalam dan luar negeri yang berkunjung ke Cameron Highlands pasti akan lalu dan berhenti rehat di bandar ini. Sungai Batang Padang yang mengalir di tengah-tengah bandar Tapah telah memainkan peranan yang penting dalam sejarah bandar ini. Bahkan pada zaman sebelum bandar Tapah ini wujud, tempat ini dipanggil Batang Padang sahaja bersempena dengan nama sungai ini.

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here