25 C
Ipoh
Saturday, 5 October 2024

Kitab Pemeliharaan Gajah Di Hulu Perak

- Advertisement -
- Advertisement -

Utara negeri Perak memiliki kedudukan geografi yang berbukit bukau dan berhutan tebal. Hal ini para pembaca setia orangperak.com boleh melihat di bahagian Gerik, Kroh, Pengkalan Hulu dan Kelian Intan.

Daerah paling utara di negeri Perak sangat mendapat perhatian para pemburu haiwan kerana dikatakan memiliki pelbagai haiwan eksotik dalam Hutan Belum. Sejak dari zaman silam, Hulu Perak menjadi tarikan para pemburu haiwan, terutama gajah, para sultan yang memerintah Perak juga tidak terkecuali, misalnya Sultan Iskandar Zulkarnain (1756-1770). Baginda sangat mahir dan dikatakan suka ‘bermain-main’ dengan gajah.

Ketika itu, Hulu Perak sangat masyhur dengan pemilikan gajah yang banyak, kerana hutan-hutannya yang menyelimuti geografi di kawasan tersebut. Misa Melayu menyebut Sultan Iskandar Zulkarnain telah bergerak menuju ke Pachat (sebuah daerah lama di Hulu Perak, yang pernah diperintahkan oleh Tok Temong). Dikatakan di Pulau Pachat itu, mengadakan persembahan gajah bagi sekadar hiburan raja-raja.

Memiliki gajah serta memberi nama ‘timang-timangan’ kepada gajah adalah satu kemestian bagi para sultan dan pemerintah. Misalnya Sultan Idris Shah II (1963-1984) yang memiliki gajah dan diberi nama ‘Mek Cik’ dan ‘Awang Majlis’. Dengan ini boleh ditakrifkan para pemerintah, terutama raja-raja memiliki hubungan yang akrab dengan gajah.

Kitab Pemeliharaan Gajah Di Hulu Perak

Gajah bernama ‘Awang Majlis’ yang merupakan gajah milik Sultan Idris Shah II.
[Sumber: Laman Instagram Raja Nazhatul Shima Idris/Anakanda Sultan Idris Shah II]

Bukan perkara yang mudah untuk mengendalikan gajah, yang terkenal sebagai haiwan yang memiliki kekuatan untuk menumbangkan pokok besar serta mampu meremukkan kereta. Maka, para sultan yang memiliki gajah akan memiliki juga seorang penjinak/penjaga atau Abdullah Munsyi menyebut sebagai pawang gajah. Takrif pawang gajah menurut penulis adalah individu yang berkebolehan mengubati sakit-sakit gajah (biasanya menggunakan kuasa-kuasa ghaib). Abdullah Munsyi menyebut

‘Maka adalah sedikit hari ia di Melaka, maka masyhurlah namanya Pawang Gajah yang tahu akan ubat-ubat. Maka adalah halnya itu pada tiap-tiap hari mengelilingi hutan rimba jua adanya’ – (Zahari A. Rashid, Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi, 2008)

Pawang gajah seorang yang maklum tentang segala tentang gajah ini, meliputi soal mengendalikan gajah, menjinakkan gajah, mengubati sakit-sakit gajah dan menghalau hantu jembalang rimba (semasa proses untuk menangkap gajah).

Kitab Pemeliharaan Gajah Di Hulu PerakKitab Pemeliharaan Gajah Di Hulu PerakKitab Pemeliharaan Gajah Di Hulu Perak

[Muka Hadapan Manuskrip Mantra Gajah (Kitab Perubatan, Petua, Mantera, Azimat dan Isim bagi gajah), koleksi peribadi penulis yang diperolehi daripada Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia.]

Ilmu-ilmu berkenaan gajah dan bagaimana cara pawang gajah mengendalikannya ini telah diabadikan dalam manuskrip berjudul Mantra Gajah. Tujuan artikel ini diketengahkan adalah bagi mengenalkan manuskrip ini kepada pembaca setia orangperak.com yang merupakan satu-satunya manuskrip yang mengetengahkan tentang cara mengendalikan haiwan (gajah).

Manuskrip yang wujud di Hulu Perak dan dikatakan pernah dimiliki oleh Dato Seri Andika Raja Hulu Perak yang dikenali sebagai Orang Kaya-kaya Seri Andika Raja. Mantra Gajah boleh dikelaskan sebagai ‘kitab perubatan’ untuk mengendalikan gajah. Penulis boleh meringkaskan bahagian-bahagian dalam Mantra Gajah terbahagi kepada 4 bahagian.

  1. Jampi-jampi serapah yang digunakan untuk melembutkan hati gajah serta menjinakkan gajah liar.
  2. Pelbagai perkongsian dan jenis-jenis perubatan herba yang digunakan oleh pawang gajah untuk mengubati sakit-sakit gajah.
  3. Petua-petua untuk memelihara gajah supaya sentiasa sihat, berani, gemuk serta memiliki gading yang cantik.
  4. Ilmu serta petua untuk menghalau hantu jembalang rimba di dalam hutan (semasa proses untuk menangkap gajah).

Kitab mantra ini telah memudahkan cara mengendalikan gajah, dan sangat praktikal untuk digunakan pada zaman silam. Mungkin sebilangan dari kita yang akan mempersoalkan kerelevanan kitab ini, tapi dalam zaman silam terutama pawang gajah yang benar-benar menguasai ilmu Mantra Gajah ini dapat menemui kebenarannya.

Selain digunakan untuk tujuan ‘bermain-main’ atau pertunjukan kepada para sultan, gajah juga dijadikan sebagai kenderaan. Banyak catatan-catatan silam yang menggunakan gajah dalam kehidupan seharian, bukan haya melibatkan sultan, malah kadang kala rakyat biasa juga turut menggunakan dan memilikinya. Isabellah Bird (seorang pengembara silam) yang pernah sampai ke Perak telah disambut dengan kenaikannya adalah gajah milik Sultan Abdullah.

Bagi para pemilik gajah, kesihatan gajah adalah sangat penting, terutama untuk melakukan kegiatan harian, serta dijadikan kenaikan rasmi para sultan dan pembesar. Seperti yang disebut oleh J.M Gullick di utara Perak terdapat seorang dikenali sebagai Syed Zain dan memiliki gajah. Kesihatan gajah penting, termasuklah gading nya yang dikatakan sangat berperanan besar dalam aspek perubatan.

Bahasa yang digunakan dalam kitab mantra menerima pengaruh Hindu-Buddha, dan digarap dengan menggunakan campuran bahasa Melayu dan bahasa Sankrit. Mungkin juga campuran ini adalah pengaruh dari kebudayaan Siam yang diterima oleh masyarakat Hulu Perak yang berhampiran dengan Siam.

Dalam hal-hal seperti ilmu gajah ini, hanya Perak mampu bersaing dengan Siam. Siam dikatakan kerap meminta gajah-gajah pelik dari hutan di negeri Perak. Bagi kewujudan kitab Mantra Gajah ini pula membuktikan kearifan lokal (local genius), dalam mengendali dan menguruskan gajah. terbukti kearifan ini bukan hanya untuk dikenang tetapi untuk dipraktikkan khazanah ilmunya bagi tatapan generasi kini.

Gajah Suatu Binatang yang Besar
Tempat Kediaman di Hutan Belukar
Berjalan Berhenti Telinga Berkibar
Nyamuk dan Lalat Sangatlah Gobar

Apabila Jinak Boleh Dikenderai,
Bebanan yang Berat Boleh Ditanggungi,
Beberapa Banyak Tiada Terasai
Perjalanan yang Jauh Boleh Dilalui

Kitab Pemeliharaan Gajah Di Hulu Perak

[Gajah yang berada di pekan lama Taiping, yang dikenali dengan nama Kelian Pauh ketika itu, Sumber: Koleksi peribadi penulis, yang diperolehi menerusi Malayan Information Agency, London, dalam simpanan Arkib Negara Malaysia)]

Rujukan:

  1. Raja Chulan. Misa Melayu. 1991. Pustaka Antara
  2. Jelani Harun. Umpama Sebuah Bahtera, Kajian Naskhah Melayu Sejarah Kesultanan Negeri Perak.2011. Arkib Negara Malaysia.
  3. Azharuddin Mohd Dali. 2014. ‘Gajah dalam Masyarakat Melayu: Penelitian Berdasarkan Mantra Gajah’. Kertas Kerja Siri Seminar Bulanan Naskhah Melayu.
  4. Nurul Izzati Md. Mustafa. 2017. ‘Naskhah Mantra Gajah Sebagai Lambang Sejarah Sosio-Budaya Masyarakat Melayu’. Persidangan Antarabangsa Pertama Historiografi Melayu (HISTIC2017). May 2017. Kuantan, Pahang.
- Advertisement -
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here