
Dato Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja ke 5, Toh Ngah Abdul Ghaffar bin Dato Panglima Kinta ke 3, Toh Changkat Rembiah (ca 1790 – 1815) merupakan Pemerintah Daerah Kinta yang menjadi Ikon Mistik bagi masyarakat Melayu setempat pada zamannya berikutan kehilangannya yang penuh dengan misteri.
Beliau juga dikenali sebagai Ngah Gapor, Toh Putih, Toh Balai Senam dan Toh Hilang Di Jalan. Beliau memerintah Daerah Kinta berpusatkan Kampung Kepayang (Fair Park, Ipoh) sebagai pusat pemerintahannya.
Isteri beliau bernama Anjang Neh dan dikurniakan beberapa orang anak, antaranya adalah Orang Besar 8, Dato Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja ke 7, Ngah Abdul Jaafar dikenali sebagai Ngah Jabor (ca 1850 – 1876) dan Orang Besar 16, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa, Itam Dewi.
Beliau dipercayai telah pergi ke sebuah gunung batu kapur yang penuh dengan unsur misteri yang terletak di Tambun iaitu Gunung Datuk. Tujuan beliau adalah untuk berubat. Upacara penyembuhan dilakukan oleh seorang pawang dalam sebuah balai yang terletak di dalam gunung tersebut.
Beliau telah dipercayai hilang ketika upacara tersebut sedang dijalankan dan ghaib ke kawasan air panas dipercayai berkahwin dengan orang bunian yang bernama Puteri Bendang Air Hangat.
Sebuah kerusi yang mengadap kiblat dipercayai tempat beliau berubat masih lagi ada di dalam gunung ini sehingga ke hari ini. Oleh kerana beliau hilang secara misteri, beliau telah diberi gelaran Toh Hilang Di Jalan.
Sumber rujukan utama:
- Kinta Valley: Pioneering Malaysia’s Modern Development, tulisan Salma Nasution Khoo, Abdur-Razzaq Lubis.
- Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Di Raja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa, susunan Tuan Haji Fazil Shuhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3).
- Kenali Kampung Kepayang, arahan Mukriz Mahader terbitan Astro AWANI.
- Dokumentari Tanah Secupak: Kampung Kepayang, arahan Faizal Zainol terbitan Continuallybebas.
- Dokumentari Dato Panglima Kinta Pasak Kepayang yang Terakhir: Toh Ngah Abdul Jaafar atau Ngah Jabor, arahan Faizal Zainol terbitan Continuallybebas.
