Semua orang tahu betapa kayanya bandar Taiping dengan kesan tiggalan sejarah yang amat banyak berbanding dari kawasan lain. Kesan tinggalan binaan seni bina British sewaktu jajahannya ini boleh dilihat dengan begitu banyak di sekitar Taiping dan ia dapat membuktikan bahawa Taiping adalah satu bandar terancang yang paling tua di tanah Malaysia ini.
Segalanya bermula pada tahun 1927 dimana apa yang berlaku pada waktu itu adalah terdapat cadangan yang ditimbulkan untuk memindahkan segala pusat pentadbiran yang ada di bandar Taiping ke bandar Ipoh. Cadangan ini ditimbulkan dengan alasan kerana ekonomi Ipoh pada waktu itu meningkat semakin maju dan makin berkembang.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, cadangan memindahkan pusat pentadbiran negeri Perak dari bandar Taiping ke bandar Ipoh yang diceritakan sebentar tadi sebenarnya telah dicadangkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang bernama Sir Hugh Charles Clifford sewaktu bermesyuarat di Majlis Persekutuan.
Sejak dari cadangan itu disebut dalam mesyuarat pada tahun 1927, namun tidak ada langsung sebarang tindakan susulan yang dijalankan untuk membuat perancangan pemindahan pusat pentadbiran negeri Perak ke lokasi baru di bandar Ipoh. Ramai yang menganggap cadangan itu ditolak kerana mendapat tentangan dari penduduk di sekitar bandar Taiping.
Sir Hugh Charles Clifford
Selepas 10 tahun berlalu iaitu pada tahun 1937, cadangan yang dicadangkan oleh Sir Hugh Charles Clifford untuk memindahkan pusat pentadbiran negeri Perak di bandar Taiping ke bandar Ipoh tiba-tiba menjadi nyata.
Perancangan telah dijalankan dan pemindahan akan dijalankan sedikit demi sedikit dan dijangkakan proses pemindahan akan mengambil masa selama tujuh tahun lamanya.
Rancangan ini dianggap sebagai berita buruk buat penduduk di sekitar bandar Taiping yang sudah selesa dengan keadaan pusat pentadbiran negeri Perak ada dikawasan mereka.
Mereka yang berpelajaran tinggi dan fasih berbahasa Inggeris lantang bersuara mewakili hampir keseluruhan penduduk Taiping yang tidak berpuas hati dengan keputusan untuk pemindahan tersebut direalisasikan.
Bantahan demi bantahan oleh penduduk bandar Taiping tidak diendahkan oleh pihak British sehinggakan terwujudlah sebuah akhbar tempatan bernama Taiping Weekly Record.
Segala bantahan dan rasa tidak puas hati mereka penduduk bandar Taiping disalurkan melalui akhbar tersebut. Yeoh Teng Khoo adalah individu yang memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk menerbitkan Taiping Weekly Record.
Dalam masa yang sama, penduduk di bandar Ipoh juga mendesak pihak British untuk mempercepatkan proses pemindahan tersebut kerana mereka nampak pemindahan ini adalah satu peluang yang besar dan lubuk emas baru dalam ekonomi mereka.
Mereka di bandar Ipoh juga telah menerbitkan sebuah akhbar tempatan yang bernama TImes of Malaya untuk menyuarakan pendapat mereka tentang kebaikan jika pemindahan pusat pentadbiran itu berlaku.
Antara hujah-hujah yang dinyatakan untuk mengukuhkan bantahan penduduk di Taiping tentang hal pemindahan pusat pentadbiran negeri Perak ini adalah seperti berikut:
- Taiping adalah yang pertama dan asas kepada pusat pentadbiran yang tersusun.
- Taiping mempunyai banyak perniagaan yang maju.
- Taiping mempunyai penduduk berbilang kaum dan hidup aman damai.
- Taiping adalah bandar paling kanan dan lokasinya paling strategik di negeri Perak.
- Taiping melambangkan keamanan, kedamaian, kemakmuran (keamanan abadi) yang membawa maksud perkataan Taiping itu sendiri.
Penduduk di Taiping juga menekankan tentang hak dari segi perlembagaan, sejarah dan ekonomi yang menjadikan bandar Taiping layak dan wajar dikekalkan sebagai bandaraya pertama di Perak lantas terus menjadi pusat pentadbiran di negeri Perak tanpa ditukarkan lokasinya.
Menurut penduduk disekitar bandar Taiping lagi, walaupun ekonomi di Ipoh semakin meningkat, namun sektor ekonominya hanya berlandaskan timah semata dan lambat laun akan merosot dan bakal menjadi sebuah pekan yang mati sepertimana yang berlaku di kebanyakan lokasi lain.
Tokoh besar seperti Dato’ Toh Eng Hoe yang merupakan ahli Majlis Negeri juga berkali-kali membahaskan bantahan mengenai isu yang merunsingkan penduduk di Taiping ini. Namun, semua bantahan dan usaha penduduk di Taiping tetap gagal dan tidak berhasil kerana rancangan pemindahan itu tetap berjalan.
Akhirnya, proses pemindahan pusat pentadbiran negeri Perak dari bandar Taiping ke bandar Ipoh pun bermula pada tahun 1937 dan pada waktu itu, perang dunia ke dua dan penjajahan Jepun sedang berlaku. Walaupun peperangan sedang berlaku, proses pemindahan cuma sedikit terganggu dan tetap diteruskan juga oleh pihak British.
Apabila tamat zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1945, proses pemindahan pusat pentadbiran telah dijalankan sepenuhnya ke bandar Ipoh.
Sejak dari hari itu, bandar Taiping secara tidak langsung terus menjadi bandar kedua yang paling penting di dalam negeri Perak sehingga ke hari ini.
Pejabat pos Taiping
Untuk pengetahuan anda pembaca setia orangperak.com, terdapat banyak tinggalan yang masih wujud dan boleh dilihat sewaktu bandar Taiping menjadi ibu kota negeri Perak.
Walaupun kebanyakan daripadanya sudah lapuk ditelan zaman dan tidak digunakan lagi, namun itulah bukti-bukti yang ada untuk membuktikan kegemilangan bandar Taiping pada satu ketika dahulu.