Dato Seri Zaini Mohd Said adalah individu yang berpangkat Leftenan Jeneral dan kini telah bersara dari Tentera Darat Malaysia. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, beliau amat terkenal dengan penglibatannya dalam Ops Subuh menyerbu Al-Ma’unah pada tahun 2000 di Bukit Jenalik, Kuala Kangsar.
Selepas berlaku peristiwa dalam Ops Subuh untuk menyerbu Al-Ma’unah, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said tidak pernah kembali lagi menjejakkan kaki ke Bukit Jenalik yang terletak di Kuala Kangsar. Lokasi tersebut bukan sahaja menjadi sejarah hitam dalam hidupnya, malah buat negara juga!
Memori hitam yang berlaku di sana membuatkan seorang individu pesara Leftenan Jeneral sentiasa terngiang-ngiang akan peristiwa yang telah berlaku di tanah Kuala Kangsar tersebut. Pada 15 Mac 2011, selepas kira-kira 10 tahun peristiwa tersebut berlalu, maka Dato Seri Zaini Mohd Said menjejakkan semula kakinya ke Bukit Jenalik.
Adakah anda pembaca setia orangperak.com tahu akan apa peristiwa yang telah berlaku di Bukit Jenalik pada tahun 2000? Inilah penceritaan tentang bekas Panglima Medan Tentera Darat pada waktu itu mencatat namanya sebagai wira dalam satu peristiwa menggemparkan negara ketika itu.
Apa yang berlaku di atas Bukit Jenalik, Kuala Kangsar pada tahun 2000 adalah dimana Dato Seri Zaini Mohd Said bergelut dan menewaskan seorang lelaki berbahaya yang bernama Mohd Amin Mohd Razali iaitu ketua kepada Al-Ma’unah yang berkubu di Bukit Jenalik.
Mereka dari Al-Ma’unah ini telah merompak 105 senjata automatik dan lebih 5,000 butir peluru di Kem Batalion 304 Askar Wataniah (AW) yang terletak di Gerik iaitu dalam empat hari sebelum berlakunya peristiwa pergelutan yang diceritakan ini.
Selepas rompakan tersebut berlaku dan seperti sudah sedia maklum, Al-Ma’unah berniat menggunakan senjata yang dirompaknya itu untuk mencetuskan huru-hara dan menggulingkan kerajaan yang sedia ada. Mereka kemudian berkubu di Bukit Jenalik sebagai persediaan awal.
Pengkhianatan Mohd Amin dan kumpulan Al-Maunah itu membuatkan Zaini memberanikan diri dan dengan lantas mempertaruhkan nyawanya sendiri berdepan dengan mereka untuk menyelesaikan permasalahan ini.
Dalam pergelutan yang dramatik kira-kira seminit dengan Mohd Amin yang bersenjatakan semi-mesingan M203, lelaki itu akhirnya berjaya ditumpaskan. Kejayaan Zaini yang terlatih sebagai komando itu, sekali gus menamatkan krisis keselamatan tersebut dan juga operasi empat hari pasukan polis dan tentera di bukit itu serta kawasan sekitarnya.