Bagi penduduk Ipoh khususnya di Eco Park, nama Bandar Seri Botani tentunya sudah tidak asing lagi. Satu taman rekreasi yang sesuai untuk beriadah bersama keluarga pada hujung minggu dan cuti am. Eco Park, Bandar Seri Botani atau lebih dikenali dikalangan penduduk setempat sebagai Taman Botani.
Taman Botani terletak di sekitar Simpang Pulai ini menjadi tumpuan keluarga tidak kira untuk berjoging, berkelah, mengadakan jamuan makan-makan bersama keluarga. Disini juga adanya sebuah tasik yang luas dan dipenuhi dengan ikan dari spesis keli, talapia dan beberapa spesis yang lain. Juga terdapat banyak kura-kura ataupun labi labi yang turut ada di tasik ini.
Selain dari aktiviti sihat yang boleh dilakukan, salah satu aktiviti menarik yang digemari oleh keluarga khususnya anak kecil adalah memberi ikan makan. Pastinya anak kecil ini teruja dan seronok melihat kelibat dan kocakan air tasik aapabila makanan dilemparkan pada ikan-ikan tersebut. Anda jangan bimbang jika tidak membawa makanan untuk diberikan kepada ikan, kerana ada peniaga yang menjual roti yang setiap satunya berharga diantara RM1 hingga RM2. Selain roti untuk ikan, mereka juga menjual snek dan air minuman yang lain.
Sekiranya anda berkunjung ke sini, anda perlu meletakkan kenderaan anda di kawasan yang disediakan. Tiada bayaran dikenakan kepada setiap pengunjung. Masuk juga adalah percuma. Disini, terdapat sebuah titi atau pelantar kecil yang menjadi lokasi sesuai untuk anda memberi makan ikan.
Cuma, anda hanya perlu berjalan jauh sedikit untuk ke pelantar kecil tersebut. Tidak menjadi masalah bukan? Bolehlah anda beriadah berjalan sambil menyihatkan badan. Bagi yang membawa anak-anak, anda juga boleh membawa anak bermain di taman permainan yang ada disediakan. Tapi rasanya, anak-anak lebih suka sekiranya mereka dapat memberi ikan-ikan makan. Kami juga kerap ke Taman Botani ini pada hujung minggu atau cuti am untuk melepaskan penat lelah bekerja. Jika tidak membuat apa apa aktiviti, boleh sahaja memerhati telatah dan aktiviti pengunjung yang lain.
Taman Botani juga menjadi salah satu tempat popular buat pasangan pengantin baru dan jurugambar untuk mengabadikan kenangan (photo-shoot outdoor). Suasana hijau yang penuh dengan pokok, tasik dan kawasan yang luas. Apabila tibanya waktu senja, anda juga dapat menikmati satu permandangan yang indah. Jika anda berkunjung ke Perak, anda jangan lupa singgah ke Eco Park, Taman Seri Botani. Anda boleh juga menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk mendapatkan arah ke sini.
Selamat berkunjung dan beriadah bersama keluarga.