Sebelum negara memperoleh kemerdekaan iaitu pada tahun 1905, ramai orang-orang melayu yang enggan menyertai pasukan polis di negeri-negeri Melayu bersekutu. Hal yang demikian telah menjadi satu batu penghalang yang cukup besar dan serius untuk sebuah negara terus maju.
Dalam tahun 1905, Kapten A. McD Graham dilantik sebagai adjutant untuk sebuah pengkalan polis baru di Kuala Lumpur. Sebelum perlantikan tersebut, Kapten A. McD Graham telah berkhidmat di negeri Perak selama 10 tahun iaitu dengan Sikh Perak dan kemudiannya dengan Malay State Guides (M.S.G).
Kapten A. McD Graham adalah individu yang menyuarakan pandangan serta cadangan tentang perlu ada penglibatan seorang ahli keluarga dari kerabat diraja Melayu dalam pasukan polis. Hal ini secara tidak langsung ia dapat memupuk semangat orang-orang Melayu untuk berkhidmat sebagai seorang anggota polis.
Sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28), nama Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) yang mana pada waktu itu baginda memegang raja bergelar adalah individu yang telah dicadangkan oleh Kapten A. McD Graham kepada Sir Frank Swettenham, Residen Jeneral pertama untuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Cadangan tersebut adalah hasil perbincangan dan mendapat persetujuan serta perkenan pemerintah negeri Perak, Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28). Maka, pada 1 Ogos 1905, bermulalah satu sejarah baru dalam lembaran pasukan polis yang mana Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) telah dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Polis.
Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) dipertanggung-jawabkan untuk merekrut orang-orang melayu dalam menyertai pasukan polis di depot polis, Bluff Road, Kuala Lumpur. Perlantikan baginda juga secara tidak langsung telah membuka mata dan membakar semangat orang-orang melayu untuk turut menyertai pasukan polis.
Pada mulanya, baginda Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) mulakan tugas untuk mencari dan memupuk semangat orang-orang melayu menyertai pasukan polis secara meluas di negeri Perak dan kemudiannya ke tiga negeri Melayu Bersekutu yang lain iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Segala usaha dan penat lelah Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) dalam gerakan kempen yang baginda anjurkan telah membuahkan hasil. Semakin hari, semakin ramai orang-orang melayu bersemangat dan berminat untuk menyertai pasukan polis.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, baginda Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) adalah individu yang telah merancang untuk pakaian seragam baru (bersongkok hitam) yang dipakai oleh Polis Melayu sehingga tahun 1941.
Baginda Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) cukup aktif dan tidak pernah melepaskan peluang dalam pelbagai acara sukan yang diadakan di depoit polis tempat baginda bertugas. Selepas kemangkatan ayahandanya iaitu Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) pada tahun 1916, baginda Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) kembali pulang ke negeri Perak dan menjadi Raja Bendahara negeri Perak.
Pada tahun 1918, Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) naik takhta menjadi pemerintah utama sebagai seorang sultan buat negeri Perak. Jawatan Penolong Pesuruhjaya Polis yang dipegang oleh baginda telah dilepaskan dan baginda mengekalkan kepentingan dengan tidak berkuasa dalam pasukan polis sehingga mangkat pada tahun 1938.
Sumber dan rujukan:
- Sheppard M. The first Malay Assistant Commissioner of Police. Malaysia In History 1970