Anak Imam Masjid Kampung Kuak Luar, Satu-Satunya Pelajar Malaysia dalam 10 Terbaik Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar

Abu Bakar bin Kasimi, mahasiswa Tahun 3 Fakulti Usuluddin (Pengkhususan Aqidah dan Falsafah) Universiti Al-Azhar, Mesir, sekali lagi membuktikan kecemerlangannya dengan mengekalkan keputusan Mumtaz (cemerlang) untuk tahun ketiga berturut-turut. Kejayaan ini diumumkan susulan keputusan peperiksaan sesi pengajian 2024/2025 oleh pihak universiti.
Anak kepada seorang pesara guru KAFA yang kini berkhidmat sebagai imam Masjid Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu, ini merupakan penerima tajaan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) di bawah Skim Dermasiswa Luar Negara.
Yang lebih membanggakan, Abu Bakar merupakan satu-satunya pelajar Malaysia yang tersenarai dalam 10 pelajar terbaik Fakulti Usuluddin, mengatasi prestasi kira-kira 300 mahasiswa Tahun 3 di fakulti berkenaan.

“Semoga kecemerlangan yang ditunjukkan dapat diteruskan pada tahun akhir pengajiannya bagi sesi 2025/2026, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada para mahasiswa lain, khususnya anak-anak Perak,” harap MAIPk dalam kenyataan rasmi.
MAIPk turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembayar zakat Perak Darul Ridzuan atas sokongan dan komitmen berterusan dalam membantu pelajar-pelajar tajaan seperti Abu Bakar dan rakan-rakannya di Mesir.
Kejayaan Abu Bakar bukan sahaja membanggakan keluarga dan negeri Perak, malah menjadi bukti bahawa pelajar Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang pengajian Islam.
