Kami editor orangperak.com ada turut serta dalam program ziarah korporat 2017 oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAiPK) pada 31 Oktober dan 1 November 2017 yang lalu dengan melibatkan melibatkan wakil daripada pelbagai agensi seperti syarikat korporat, GLC, NGO, para media, blogger dan tetamu khas.
Untuk dapatkan maklumat serta kisahnya dengan lebih mendalam berkenaan dengan program yang baik ini, anda boleh semak semula artikel lama kami di Konvoi Dan Ziarah Asnaf, Program Korporat Oleh MAIPk yang telah kami terbitkan di laman orangperak.com pada Oktober 2017 yang lalu.
Berbalik kepada tajuk artikel yang ingin disampaikan kepada anda semua ini, kami team editor orangperak.com bertuah kerana dapat berada dalam 1 kumpulan dan melihat sendiri seorang hartawan cina di negeri Perak yang gemar melibatkan diri dengan pelbagai program-program yang dianjurkan oleh oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAiPK).
Nama beliau adalah James Lim dan daripada penampilan beliau yang bersahaja, tidak akan ada siapa yang sangka bahawa beliau adalah pemilik kepada sebuah kilang elektronik yang terkemuka di tanah air kita iaitu Salutica Allied Solutions Sdn. Bhd.
Sewaktu kami sedang melawat ke rumah asnaf
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Salutica Allied Solution Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat kilang elektronik di Malaysia yang terletak di Ipoh, Perak sejak tahun 1990. Mereka pakar dalam mereka bentuk, membangun dan menghasilkan produk elektronik kepada pengguna seperti alat dengar stereo bluetooth, jam tangan pintar dan banyak lagi.
Cukuplah secara ringkas berkenaan siapakah individu berbangsa cina yang bernama James Lim ini dan teruskan membaca untuk ketahui kenapa kami ingin berkongsi cerita berkenaan beliau. Sepanjang kami bersama beliau dalam program tersebut, kami bertuah kerana sentiasa bersama dengannya secara tidak sengaja.
Ada masa kami makan bersama, sembang bersama, pergi ke rumah asnaf dan memberi sumbangan pada orang kampung pun bersama. Sehinggalah kami sampai di tempat penginapan di Royal Belum, barulah kami berpeluang untuk sembang santai semasa minum petang di sana. James Lim bukanlah anak kelahiran Perak, tetapi beliau adalah anak kelahiran dari Klang, Selangor.
Isteri beliau pula adalah seorang pesara guru di Sekolah Anderson dan banyak lagi kami bualkan kerana timbalan pengerusi orangperak.com yang turut serta program tersebut sebenarnya adalah bekas anak murid beliau. Kami ada tanyakan pada Encik James Lim tentang kenapa minat turut serta dengan program zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAiPK)? Dan jawapan yang diberinya sungguh tak disangka.
Encik James Lim bersama Isteri
“Wang bukan boleh bawa mati, ini semua sementara. Lagipun saya ada banyak duit pun buat apa? Baik saya tolong orang selagi yang termampu. Kalau profit 1 million, saya bagi 100k pun its ok. Janji everybody around me happy and bila saya tengok mereka happy, I pun happy.. Human should love each other!”, James Lim.
Ada satu kisah yang dikongsikan bersama sewaktu kami minum petang disana apabila seorang pekerja wanita melayu di kilangnya menangis seharian di tempat kerja. Dan beliau pergi bertanyakan apa hal yang terjadi dan dijawabnya wanita itu suaminya perlu pembedahan segera untuk jantung dan memerlukan kos melebihi RM100,000.
Apa yang amat mengharukan, pemilik kepada Salutica Allied Solutions Sdn. Bhd. ini iaitu James Lim membantu suami wanita tersebut dengan membayar kos keseluruhan pembedahan. Ternyata masih ada insan disekeliling kita yang punyai hati bersih dan murni dalam berbakti sesama manusia tidak kira agama dan bangsa. Semoga Encik James Lim sentiasa sihat dan teruskan legasi dalam menabur bakti sesama manusia!
Diharap agar ramai lagi hartawan yang ada diluar sana dapat mengikut jejak langkah seperti Encik James Lim. Walaupun pertemuan kami editor orangperak.com bersama dengan keluarga Encik James Lim singkat, tapi riuhnya kami bersembang umpama dah kenal lama dan kami sedikit pun tidak terasa kerdil apabila dilayan baik dengan seorang individu hebat ini.