26.3 C
Ipoh
Thursday, 17 July 2025

Sultan Azlan Shah, Pemimpin Bijaksana Yang Memayungi Rakyat

- Advertisement -
- Advertisement -

Sultan Azlan Shah, Pemimpin Bijaksana Yang Memayungi Rakyat

Pada 28 Mei 2014, negara Malaysia khususnya negeri Perak Darul Ridzuan telah digemparkan dengan berita pemergian seorang raja yang amat dihormati—DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah. Baginda mangkat pada usia 86 tahun, meninggalkan legasi yang tidak ternilai dalam sejarah perundangan, ketatanegaraan, dan pemerintahan negeri Perak.

Pemergian baginda bukan sahaja dirasai oleh keluarga diraja tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Perak yang begitu menyayangi dan menghormati kepimpinan baginda. Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun binti Mohamad Ali, seorang putera iaitu Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, serta tiga orang puteri, Raja Dato’ Seri Azureen, Raja Dato’ Seri Eleena, dan Raja Dato’ Seri Yong Sofia.

Anakanda ketiga baginda, Raja Dato’ Seri Ashman, telah lebih dahulu mangkat pada 30 Mac 2012. Jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah kemudiannya dimakamkan dengan penuh istiadat di Makam Diraja Al-Ghufran, Kuala Kangsar, Perak.

Permulaan Hidup dan Pendidikan

Raja Azlan Shah diputerakan pada 19 April 1928 di Kampung Manggis, Batu Gajah, Perak, ketika negeri itu masih di bawah pemerintahan British. Baginda merupakan cucu kepada Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ke-30. Sejak kecil, baginda telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan.

Pendidikan awal baginda bermula di Sekolah Inggeris Kerajaan (kini dikenali sebagai SMK Sultan Yussuf) di Batu Gajah, sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sebuah institusi pendidikan elit yang melahirkan ramai pemimpin negara. Minatnya yang mendalam terhadap bidang undang-undang membawa baginda ke Universiti Nottingham, United Kingdom, di mana baginda berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1953. Pada 23 November 1954, baginda secara rasmi diterima masuk ke Lincoln’s Inn, salah sebuah institusi peguam tertua di England, sekaligus melayakkan baginda menjadi peguam bertauliah.

Kerjaya dalam Bidang Kehakiman

Sebelum menaiki takhta kerajaan Perak, Sultan Azlan Shah telah membina kerjaya cemerlang dalam bidang kehakiman. Pada 12 November 1982, baginda dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Malaysia yang kelima, menggantikan Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim. Perlantikan bersejarah ini disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-7, Tuanku Ahmad Shah, di Istana Tetamu, Kuala Lumpur, dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebelum memegang jawatan tertinggi dalam sistem kehakiman Malaysia, baginda telah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dari tahun 1979 hingga 1982. Kepakaran dan integriti baginda dalam bidang perundangan telah memberi sumbangan besar dalam pembentukan sistem keadilan negara.

Kenaikan Takhta Kerajaan Perak

Perjalanan hidup Raja Azlan Shah menuju takhta kerajaan Perak bermula dengan perlantikannya sebagai Raja Kecil Bongsu pada tahun 1962, menggantikan Raja Kamarulzaman, Raja Di-Hilir Perak yang telah mangkat. Pada tahun 1963, selepas kemangkatan ayahandanya, Sultan Yussuf Izzuddin Shah, baginda dinaikkan pangkat sebagai Raja Kecil Tengah.

Pada tahun 1970-an, nasib sekali lagi mengujinya dengan kemangkatan kekandanya, Raja Ekram, Raja Di-Hilir Perak, serta ayahanda saudaranya, Raja Lope Nur Rashid, Raja Kecil Sulong Perak. Ini menyebabkan baginda dinaikkan ke pangkat Raja Kecil Besar (Pewaris Ketiga Takhta Kerajaan Perak).

Peristiwa penting seterusnya berlaku pada 1 Julai 1983, apabila baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Perak oleh Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah II, menggantikan Raja Muda Musa II yang telah mangkat. Pelantikan ini berlaku dalam keadaan unik di mana Raja Di-Hilir Perak ketika itu, Raja Ahmad Hisham, menolak jawatan tersebut atas faktor kesihatan.

Enam bulan kemudian, Sultan Idris Shah II mangkat akibat serangan jantung pada 31 Januari 1984. Dengan itu, Raja Azlan Shah secara automatik diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke-34 pada 3 Februari 1984. Istiadat pertabalan rasmi baginda berlangsung pada 9 Disember 1985 di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Pada hari yang sama, Tuanku Bainun turut ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Perak.

Menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-9

Selain memerintah negeri Perak, Sultan Azlan Shah juga pernah memikul tanggungjawab sebagai Ketua Negara. Pada 2 Mac 1989, dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja ke-146 yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-9.

Pada 26 April 1989, baginda secara rasmi melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat pengisytiharan di Balairong Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur. Upacara bersejarah ini disaksikan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Ghafar Baba, serta beberapa pemimpin negara yang lain.

Baginda memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong sehingga 25 April 1994. Sepanjang tempoh pemerintahannya, baginda dikenali sebagai seorang raja yang adil, bijaksana, dan sangat menitikberatkan kesejahteraan rakyat.

Peranan dalam Krisis Politik Perak 2009

Salah satu episod penting dalam pemerintahan Sultan Azlan Shah ialah krisis politik Perak pada tahun 2009. Ketika negeri Perak sedang sibuk menyambut Jubli Perak pemerintahan baginda, berlaku peralihan tiga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional, menyebabkan kerajaan negeri kehilangan majoriti.

Sebagai Ketua Negeri, baginda memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kerajaan Perak. Baginda memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri walaupun dimohon oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Sebaliknya, baginda mengesahkan pembentukan kerajaan baru oleh Barisan Nasional setelah menemu bual setiap ADUN bagi memastikan sokongan majoriti.

Keputusan ini dibuat berdasarkan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak, khususnya Fasal 16(6) dan Fasal 18(2)(b), yang memberikan kuasa budi bicara kepada Sultan dalam hal-hal tertentu. Tindakan baginda mencerminkan kebijaksanaan dalam menangani krisis perlembagaan tanpa melanggar prinsip demokrasi.

Kemangkatan Sultan Azlan Shah bukan sekadar kehilangan seorang raja, tetapi juga simbol keadilan, kebijaksanaan, dan kepimpinan yang unggul. Baginda bukan sahaja dikenang sebagai Sultan Perak yang disayangi, tetapi juga sebagai seorang negarawan yang berjasa kepada Malaysia.

Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Rujukan :

  1. Arkib Negara Malaysia Negeri Perak
  2. sultanazlanshah.com
  3. Lembaga Muzium Negeri Perak
  4. D.Y.M.M. Sultan Azlan Shah Mangkat, Portal Rasmi Kerajaan Negeri Selangor
  5. Sembangkuala
📢
Jangan terlepas berita terkini kami! Sertai saluran rasmi WhatsApp Channel Orang Perak sekarang.
Klik & Sertai Sekarang
- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here