25.5 C
Ipoh
Thursday, 23 January 2025

Orang Bota, Perjalanan Hidup Anak Melayu Pertama Jadi Ketua Estet

- Advertisement -
- Advertisement -

Ahmad Zakaria bin Abu Kassim dilahirkan di Teluk Kepayang, Bota pada tarikh 7 September 1928. Beliau adalah merupakan anak kelima dari tujuh adik-beradik dan merupakan seorang anak yang amat gemar membaca dan menulis.

Beliau adalah seorang individu yang pantang berputus asa dalam apa jua cabaran dan dugaan yang mendatang. Ahmad Zakaria bin Abu Kassim menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Teluk Kepayang pada tahun 1938 dari darjah 1 hingga tamat darjah 5.

Sejak kecil lagi, beliau sekeluarga menerima pelbagai ujian dan dugaan dalam kehidupan mereka. Antara yang tidak dapat dilupakan adalah dengan kehilangan abang sulung yang disayangi akibat dihukum bunuh oleh tentera Jepun.

Beliau juga menjalani liku kehidupan yang sangat perit seperti kekurangan bekalan makanan, pakaian serta kemudahan asas akibat pertembungan dalam zaman peperangan sewaktu pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.

Namun, cabaran emosi dan fizikal ketika itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus meneruskan pembelajarannya di Sekolah Melayu Teluk Bakong dari darjah 6 hingga darjah 7.

Walaupun begitu, pengajian beliau sewaktu berada di darjah 7 terpaksa dihentikan separuh jalan kerana keadaan kawasan setempat yang semakin kucar-kacir dan tidak mengizinkan.

Setelah tamat zaman pendudukan Jepun, dalam tahun 1945 beliau telah mengambil keputusan untuk menyambung kembali pengajiannya di Sekolah Melayu Silibin di Ipoh dan kemudiann ke Sekolah Anderson mulai dari “Special Malay Class 1 and 2” dan langsung ke “Standard 4” hingga “Standard 7”.

Anak Melayu Pertama Jadi Ketua Estet

Semasa sedang belajar di Sekolah Anderson, Ahmad Zakaria bin Abu Kassim hadapi masalah kewangan untuk membayar yuran asrama dan akhirnya beliau telah diusir keluar dari asrama tersebut.

Disebabkan oleh hal tersebut, beliau telah mengambil keputusan untuk menginap di sebuah kandang lembu yang terletak berdekatan dengan sekolah dan dengan gigih meneruskan pembelajarannya di Sekolah Anderson tanpa jemu.

Setiap hujung minggu dan waktu cuti sekolah, Ahmad Zakaria bin Abu Kassim mula buat kerja sampingan seperti menjadi caddy golf dan pengutip bola tenis di kelab-kelab golf serta tenis untuk mendapatkan wang supaya dapat membayar keperluan sekolah.

Dalam bulan Mac 1953, Ahmad Zakaria bin Abu Kassim telah menyambung pengajiannya di RIDA (kini dikenali sebagai MARA) dalam kursus “Rubber Estate and Factory Management”. Beliau adalah merupakan antara pelatih pertama di jurusan tersebut.

Pelatih-pelatih lain adalah Haji Mohd Nor, Abdul Majid Kadir, Abdul Rahim dan Tan Sri Nayan Ariffin. Mereka telah diletakkan di dua pusat latihan yang terletak di Ladang Telok Pengerang dan Ladang Telok Sengat di Johor sebelum dipindahkan ke RRIM Sungai Buloh dan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Anak Melayu Pertama Jadi Ketua Estet

Keadaan latihan pada ketika itu amat mencabar kerana kedudukan kedua-dua ladang tersebut terletak berhampiran dengan kawasan persembunyian pengganas komunis yang sedang bermaharajalela.

Sering kali ladang-ladang disana menerima kunjungan yang tidak diundang dan serangan dari pihak pengganas komunis. Namun, halangan tersebut tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan latihan walaupun beberapa orang pelatih telah menarik diri dari program tersebut.

Setelah tamat latihan, beliau telah ditawarkan untuk berkhidmat sebagai “Trainee Supervisor” di ladang Braemar dalam tahun 1955. Di situlah bermulanya jejak beliau menuju ke arah pelantikannya sebagai anak Melayu pertama yang dilantik sebagai pengurus ladang di bawah syarikat kelolaan Harrisons and Crosfield dalam tahun 1962.

Ahmad Zakaria bin Abu Kassim telah diamanahkan untuk menguruskan Ladang Juasseh di Negeri Sembilan sebelum berpindah ke ladang-ladang yang lain. Antara ladang-ladang yang pernah menerima khidmat beliau adalah Ladang Braemar, Ladang Cluny, Ladang Trolak, Ladang Sungai Bruas, Ladang Sogomana, Ladang Diamond Jubilee, Ladang Juasseh dan banyak lagi.

Dalam tahun 1972, Sultan Idris II (Sultan Perak ke 33) telah mengiktiraf jasa beliau dalam bidang perladangan dengan pingat Pingat Jaksa Kebaktian (PJK) bersama-sama dengan 146 penerima di dalam bidang yang lain.

Beliau telah buat keputusan untuk bersara awal dari dunia perladangan dalam bulan Oktober 1982. Atas sebab-sebab tertentu, pihak Harrisons Malaysian Plantation Berhad telah memohon agar tarikh persaraan beliau dilanjutkan sehingga penghujung tahun 1984.

Setelah berfikir secara mendalam, beliau telah bersetuju untuk melanjutkan khidmatnya seperti yang telah ditetapkan dan akhirnya beliau secara rasmi telah bersara pada tarikh 7 September 1983.

Pada tarikh 13 Januari 2018 ketika usia 90 tahun, Ahmad Zakaria bin Abu Kassim telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di kediaman beliau di Kampung Sungai Rokam, Ipoh.

Sumbangan artikel dari cucu arwah, Hafiz Hisan.

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here