Pada waktu zaman pemerintahan Sultan Perak yang ke 15 iaitu Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain bermula sejak tahun 1752 sehingga tahun 1765, ia seringkali disebut sebagai zaman kegemilangan negeri Perak Darul Ridzuan.
Baginda Sultan Perak yang ke 15 inilah yang disebut dalam lirik lagu Cempaka Sari yang ditulis liriknya oleh Almarhum Sultan Idris II (Sultan Perak ke 33).
Cempaka Sari adalah sebuah pulau dan ianya bukanlah merujuk kepada Pulau Taman Cempaka Sari yang ada di pekan Parit. Pulau Taman Cempaka Sari itu adalah sekadar taman rekreasi untuk penduduk setempat yang pernah dirasmikan pembukaannya oleh Almarhum Sultan Idris II (Sultan Perak ke 33) pada zaman pemerintahannya.
Lokasi Pulau Cempaka Sari atau nama barunya Pulau Indera Sakti berada di tengah Kuala Sungai Kinta yang bercantum dengan Sungai Perak. Kedudukan pulau ini berada di tengah-tengah antara Teluk Intan dengan Kampung Gajah. Dan sejak itulah Balai Gambang pertama kali diperkenalkan untuk memudahkan pergerakan Sultan.
Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15) ditabalkan menjadi sultan Perak selepas kemangkatan Almarhum Sultan Muzaffar (Sultan Perak ke 13) di Barhaman Indera yang mana kini dikenali sebagai Bota.
Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15) adalah merupakan menantu kepada Almarhum Sultan Muzaffar (Sultan Perak ke 13).
Makam Almarhum Sultan Muzaffar (Sultan Perak ke 13)
Selepas ditabalkan menjadi sultan Perak, baginda pada mulanya bersemayam di Barhaman Indera sehinggalah pada satu ketika tergerak hati baginda untuk berpindah ke satu lokasi lain untuk dijadikan pusat pemerintahan baru untuk kegemilangan zaman pemerintahannya.
Baginda Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15) menyatakan hasrat untuk berpindah ke satu lokasi yang lain selepas 100 hari kemangkatan Almarhum Sultan Muzaffar (Sultan Perak ke 13) dengan upacara adat menurunkan batu nisan serta tambak makam sultan sebelumnya.
Antara faktor utama yang menyebabkan Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15) ingin berpindah ke lokasi baru ada direkod dalam Hikayat Misa Melayu tulisan oleh Raja Chulan dalam halaman 51 sehingga ke halaman 52 yang mana baginda ada menyebut rasa tidak sedap hati apabila nobat dimainkan kerana lokasi istana berdekatan dengan makam Almarhum Sultan Muzaffar (Sultan Perak ke 13).
Sultan : Adapun akan akan almarhum baginda yang mangkat itu sudahlah kita perintahkan dengan seperti adatnya. Maka sekarang akan kita ini apa juga bicara Raja Muda dan segala orang besar-besar?
Raja Muda : Adapun titah Duli Yang Maha Mulia itu mana-mana yang dititahkan kepada patik sekalian ini, melainkan terjunjunglah diatas batu kepala patik-patik kerjakanlah dengan sebolah-bolehnya, kerana patik-patik sekalian ini hamba sahayanya ke bawah Duli Yang Maha Mulia, sekali-kali tiada berpaling sembah.
Sultan : Akan kita ini kepada hati beta tiadalah beta mau lagi diam disini kerana tiada sedap kita nobat dekat kandang makam almarhum ini, melainkan yang kehendak hati kita ini hendak berubah tempat dari Barhaman Indera ini, baik keluar kita berbuat suatu tempat asing akan zaman kita didapat oleh anak cucu kita kelak.
Raja Muda : Di mana gerangan Duli Yang Maha Mulia hendak membuat tempat itu supaya patik-patik sekalian kerjakan, silakanlah titahkan di mana-mana berkenan Duli Yang Maha Mulia.
Sultan : Adapun akan tempat di Pulau Cempaka Sari itu elok juga, maka di situlah kita hendak negeri takhta itu, hendaklah diperintahkan oleh paduka adinda Raja Muda dengan segala orang besar-besar dengan segeranya di dalam sebulan dua ini juga kita kehendaki siapkan.
Raja Muda : Baiklah Tuanku yang mana titah Duli Yang Maha Mulia itulah yang patik sekalian junjung kerjakan sekaliannya.
Dari perbualan antara Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15) dengan Raja Muda yang digambarkan dalam tulisan Raja Chulan jelas menunjukkan baginda sultan kurang senang apabila dijalankan keraian di istana sedangkan makam sultan sebelumnya ada berdekatan dengan istana. Ia jelas menunjukkan Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15) begitu hormat dengan baginda almarhum sultan yang sebelumnya.
Makam Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15)
Jadi, kenapa pulau Cempaka Sari menjadi pilihan baginda Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15)? Pulau Cempaka Sari ini adalah tempat baginda bermain-main sewaktu kecil sehingga menjadi Raja Muda semasa bersemayam di Pulau Tiga.
Lokasi pulau Cempaka Sari ini juga amat strategik untuk dijadikan sebagai pelabuhan untuk berdagang. Mungkin juga Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15) terasa rindu dengan zaman kecilnya di sana, jadi pulau Cempaka Sari menjadi pilihan untuk baginda bersemayam dan menjadi pusat pemerintahan negeri Perak.