Raja Mansur iaitu putera kepada Sultan Muzaffar Shah I yang beristerikan Tun Terang telah diangkat menjadi Sultan Perak yang kedua untuk menggantikan ayahanda baginda.
Baginda Almarhum Sultan Mansur Shah I (Sultan Perak ke 2) ini bersemayam di sekitar kawasan Kota Lama Kanan yang terletak berdekatan dengan Sayong, Kuala Kangsar.
Menurut riwayat raja Perak, ada satu masa Sultan Mansur Shah diiringi oleh Bendahara Megat Terawis telah mudik ke Hulu Perak dan telah menetapkan sempadan utara negeri Perak dengan negeri Reman.
Sempadan itu telah ditandakan oleh baginda pada sebuah batu besar di satu tempat yang bernama Tapong dan batu besar tersebut yang dijadikan sebagai batu sempadan dinamakan sebagai Batu Belah.
Kononnya, batu belah yang dijadikan sepagai batu sempadan itu telah dibelah baginda Almarhum Sultan Mansur Shah I (Sultan Perak ke 2) dengan menggunakan pedang baginda.
Ketetapan batu sempadan itu telah dipersetujui oleh Raja Negeri Reman dan di situlah batas sempadan antara negeri Perak dengan negeri Reman sehingga akhir kurun ke 18.
Lombong-lombong bijih timah di sekitar kawasan Kelian Intan di Hulu Perak termasuk dalam kawasan negeri Perak dan Sultan Mansur Shah telah meletakkan seorang wakil baginda untuk memungut cukai daripada pelombong.
Sejak itu, negeri Perak mula membangun dan kaya disebabkan oleh hasil pungutan cukai dari lombong-lombong bijih timah yang ada di sekitar negeri Perak terutamanya dari kawasan Kelian Intan.
Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah I, orang Siam telah datang menyerang negeri Perak. Askar-askar dari Siam telah mendarat di Pangkalan Lumut dan telah berperang dengan orang Perak di bawah pimpinan seorang menantu baginda yang bernama Raja Ali.
Akhirnya, Perak kalah ditangan Siam dan Raja Ali mangkat terbunuh di dalam kawasan yang kini dinamakan sebagai Setiawan. Sejak itu, negeri Perak mula menghantar Bunga Mas kepasa kerajaan Siam setiap tahun sebagai ufti dan kerajaan negeri Perak membenarkan orang Siam untuk membeli timah dengan tidak mengenakan apa-apa cukai.
Menurut sejarah Acheh sewaktu zaman pemerintahan Sultan Ali Riayat Shah yang juga dikenali sebagai Sultan Husain yang memerintah negeri Acheh sejak tahun 1568 hingga tahun 1575.
Angkatan perang Acheh telah datang menyerang dan mengalahkan Perak dalam tahun 1573. Sultan Mansur Shah I serta isteri dan putera baginda telah ditawan dan dibawa ke negeri Acheh.
Apabila sampai ke negeri Acheh, putera sulung Sultan Mansur Shah I telah dikahwinkan dengan seorang puteri Achech yang bernama Raja Puteri. Kemudian Raja Alauddin telah dijadikan sebagai Sultan Acheh dengan gelaran Sultan Alauddin Mansur Shah.
Tidak beberapa lama di negeri Acheh, Sultan Mansur Shah I kemudian dihantar kembali oleh kerajaan Acheh ke negeri Perak untuk menduduki takhta kerajaan negeri Perak yang berada dibawah naungan negeri Acheh.
Dalam riwayat raja Perak pula menyatakan bahawa Sultan Mansur Shah I sebenarnya tidak ditawan dan tidak dibawa ke Acheh bersama-sama dengan putera baginda.
Sebaliknya hanya seorang putera baginda sahaja yang dibawa dan selepas diangkat menjadi Sultan Acheh, barulah Sultan Acheh menghantar orang-orang baginda untuk mengambil ayahandanya iaitu Sultan Mansur Shah I untuk dibawa ke Acheh.
Sebelum Sultan Mansur Shah I dibawa ke Acheh, baginda Sultan Perak telah beristerikan anak seorang Tok Batin (Ketua Orang Asli) di Kuala Kinta dan keturunan anak baginda itulah kononnya menjadi Panglima Kinta.
Apa yang diketahui umum, Sultan Mansur Shah I telah mangkat di negeri Perak dalam tahun 1577 yang mana cerita yang diperturunkan sejak turun-temurun berkenaan dengan kemangkatan baginda yang cukup misteri.
Kisah kemangkatan Sultan Mansur Shah I tidak diketahui dengan sahnya dan hanya dikatakan baginda hilang atau ghaib selepas senunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Lama Kanan.
Sejak dari peristiwa Sultan Perak ghaib selepas solat Jumaat, rakyat mula beranggapan Sultan Perak telah mangkat dan baginda Almarhum Sultan Mansur Shah I telah diberi gelaran Marhum Kota Lama Kanan.
Dalam tahun 1916 sewaktu pemerintahan Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) telah membina semmula sebuah masjid di tapak Masjid Kota Lama Kanan sempena memperingati Sultan Mansur Shah I dan telah meletakkan sebuah batu nisan di dalam saf pertama dalam masjid tersebut.
Rujukan
- Sejarah Perak, Buyung Adil, m/s 9 hingga 11