26.6 C
Ipoh
Saturday, 5 October 2024

Memerintah 10 Bulan, Sultan Perak Yang Paling Singkat Pemerintahan

- Advertisement -
- Advertisement -

Sultan berada dalam kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran untuk sebuah negeri. Sultan juga bertindak sebagai ketua kerajaan dan baginda mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal.

Rakyat dan juga pembesar tidak boleh membantah perintah sultan kerana akan dianggap sebagai derhaka dan pemberontak. Semua orang tahu yang negeri Perak sudah menjadi negeri yang berdaulat sejak kedatangan Sultan Mudzaffar Shah I (Sultan Perak pertama) ke negeri Perak pada tahun 1528.

Sejak dari tahun tersebut sehingga ke hari ini, sudah 35 orang anak gahara yang bersilih ganti menjadi Sultan memerintah negeri Perak agar sentiasa berdaulat.

Berbalik kepada tajuk artikel kali ini iaitu berkenaan dengan Almarhum Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah yang mana baginda hanya memerintah negeri Perak selama 10 bulan sahaja dan secara tidak langsung, ia menjadikan baginda adalah sultan yang memerintah negeri Perak paling singkat dalam pemerintahan berbanding dengan sultan lain.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, almarhum Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah telah dilantik menjadi Sultan Perak yang ke 27 bagi menggantikan Sultan Abdullah Muhammad Shah II yang mana baginda Sultan Abdullah Muhammad Shah II dituduh terlibat dalam pembunuhan Residen British J.W.W. Birch dan dibuang negeri ke Seychelles.

Sultan Abdullah II (Sultan Perak ke 26)

Sultan Abdullah II (Sultan Perak ke 26)

Baginda Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah adalah putera kepada Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah I (Sultan Perak ke 22). Semasa Sultan Jaafar Mua’azzam Shah (Sultan Perak ke 23) mangkat pada tahun 1865 dan juga semasa Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah (Sultan Perak ke 24) mangkat, baginda tidak dipilih menjadi Raja Bendahara walaupun baginda layak dan berhak.

Hal ini adalah disebabkan kerana ramai raja-raja dan orang besar-besar negeri Perak tidak sukakan baginda dan apabila Raja Muda Raja Abdullah dipilih menjadi Sultan Perak yang ke 26, baginda telah diangkat menjadi Raja Muda supaya dapat menguatkan kedudukannya dan pada masa itu baginda bersemayam di Senggang. Anda boleh ikuti kisah Disebalik Kisah Mendamaikan Perebutan Takhta Sultan Perak.

Pada tahun 1877, Sultan Abdullah Muhammad Shah II (Sultan Perak ke 26) telah berangkat ke Singapura kerana dipanggil oleh Kerajaan British berhubung dengan penyiasatan pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak. Kemudian, baginda Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah telah dijadikan Pemangku Raja bagi Negeri Perak dan baginda berpindah ke Sayong.

Sultan Idris Shah I (Sultan Perak ke 28)

Sultan Idris Shah I (Sultan Perak ke 28)

Dalam tahun itu juga Raja Idris Shah I ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar (Sultan Perak ke 28) dibenarkan berangkat pulang ke Perak dari Singapura untuk membantu mertuanya pemangku Sultan iaitu Raja Yusuf untuk memerintah Negeri Perak. Dalam masa yang sama, Raja Idris pula diangkat menjadi Raja Bendahara Perak.

Berikutan dengan itu, sebuah Majlis Mesyuarat Negeri yang ahli-ahlinya terdiri daripada Raja Yusuf (Pemangku Raja) sebagai Yang Dipertua, Hugh Low (Residen British), Raja Idris (Raja Bendahara), Temenggung, Che Karim (orang besar dari Selama), Kapitan Chung Keng Kwee (Ketua Kumpulan Cina Ho Kuan atau Hai San) dan Kapitan Chin Ah Yam (Ketua Kumpulan Cina Si Kuan atau Ghi Hin) telah ditubuhkan.

Persidangan pertama Majlis tersebut telah diadakan di Kuala Kangsar pada 10 September 1877 bagi merundingkan dasar-dasar kerajaan Negeri Perak. Dalam masa baginda berjawat sebagai Pemangku Raja, banyak lombong bijih timah telah dibuka di daerah Kinta.

Orang Cina telah datang beramai-ramai ke daerah Kinta untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah. Demikian pula, orang-orang rumpun bangsa Melayu dari Sumatera, Jawa dan Kalimantan datang ke Perak untuk mencari kerja di lombong-lombong.

Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah

Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah

Pada bulan Jun 1885, jalan keretapi yang pertama di Tanah Melayu dari Taiping ke Port Weld (sekarang dikenali Kuala Sebatang) telah dibina dan beroperasi.

Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah memerintah Negeri Perak cuma selama sepuluh bulan sahaja, dan mangkat pada 26 Julai 1887 di Sayong. Almarhum bergelar Marhum Ghafirullah. Makam Almarhum yang asal terletaknya di Sayong Tebing tetapi telah dipindahkan ke kawasan Masjid Sayong Tengah.

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here