Kawasan Taman Tasik Taiping kini diperindah dengan penanaman semula beberapa pokok hujan-hujan di berapa lokasi terpilih di sepanjang jalan utama di sekitar Taman Tasik Taiping. Lapan batang pokok hujan-hujan telah dipindahkan daripada Jalan Kamunting – Batu Kurau berhadapan dengan Kolej Vokasional Taiping ke Taman Tasik Taiping.
Menurut Majlis Perbandaran Taiping (MPT), pokok-pokok yang ditanam akan dipantau rapi bagi memastikan ianya tumbuh dengan subur. Pemindahan dan penanaman semula semua pokok-pokok ini dilaksanakan secara berperingkat dan mengikut keperluan dari semasa ke semasa bermula pada bulan Januari yang lalu. Sehingga hari ini, kerja-kerja pemindahan telah pun berjaya dilaksanakan dan pihak MPT akan sentiasa memantau perkembangan dan keadaan pokok terbabit.
Lokasi yang terlibat adalah di Jalan Pekeliling sepanjang Hotel Seri Malaysia hingga ke Station FMS bagi menggantikan pokok-pokok yang telah tumbang dan mati di kawasan tersebut. Lokasi pemindahan ini telah dipilih bertujuan untuk memberi ruang pertumbuhan yang lebih baik dan cantik di kawasan terbabit dengan jarak yang bersesuaian.
Pokok Samanea Saman atau pokok hujan-hujan yang menghiasi Taman Tasik Taiping ini dikatakan berasal daripada Amerika Selatan dan mula-mula ditanam di Tanah Melayu sekitar tahun 1876. Pokok ini telah diperkenalkan untuk penanaman di kawasan bandar seawal tahun 1900’an dan sehingga kini masih popular ditanam terutamanya di pinggir-pingir jalan dan lebuhraya. Pokok ini mempunyai sifat yang istimewa dimana ia akan menguncupkan daun majmuknya pada waktu senja atau waktu hujan. Kerana itu ia dipanggil pokok hujan-hujan.
Pokok Samanea Saman tumbuh dengan cepat walaupun dalam persekitaran yang mencabar. Jika ditanam di kedua-dua belah jalan, silara pokok-pokok matang yang kembang seperti payung akan bertaup dan dan memberikan kesan seperti gerbang teduhan. Pokok hujan-hujan yang matang kelihatan megah mengkagumkan namun kadang-kadang menakutkan apabila dipenuhi epifit atau tumbuh-tumbuhan tumpang seperti paku langsuyar, paku tanduk rusa atau anggerek merpati. Bunga-bunganya kecil, berkelompok, putih hingga ke merah jambu dan agak harum. Samanea saman ‘kuning’ yang merupakan satu variasi genetik menghasilkan daun-daun kuning keemasan. Pada musim kering, warna keemasan daun ini menjadi lebih ketara dan lebih menonjol dengan bunganya yang berona merah lalu menghasilkan penataan yang amat menarik.