Menjanjikan kelainan dan ada keunikannya yang tersendiri, pusat percutian yang berkonsepkan agro kini semakin digemari oleh seluruh masyarakat di negara kita yang inginkan kelainan dalam percutian santai mereka bersama-sama dengan keluarga yang tercinta.
Pada hari ini, orangperak.com ingin memperkenalkan pusat percutian yang unik dan menarik untuk anda yang terletak di Trong dalam kawasan Taiping, Perak.
Trong Leisure Farm And Resort bersedia untuk memberi pengalaman yang unik dan terbaik untuk setiap individu yang datang ke ladang itik mereka. Lokasi Trong Leisure Farm And Resort ini terletak di pekan kecil Terong, Taiping.
Tahukah anda pembaca setia orangperak.com bahawa Trong (dahulu dikenali dengan nama Terong) adalah merupakan lokasi perlombongan bijih timah yang agak maju pada zaman kegemilangannya dahulu?
Seluruh warga Perak seharusnya berbangga kerana mempunyai sebuah pusat percutian yang bertemakan itik dan ianya adalah yang pertama seumpama dengannya di Malaysia.
Apa yang ada di Trong Leisure Farm And Resort ini adalah pusat percutian, aktiviti rekreasi dan sukan air, kolam memancing dan melihat operasi mengendali ladang itik serta mengenali itik dengan lebih mendalam.
Dengan keluasan tanah sekitar 70 ekar, terdapat 10 buah rumah lindungan (reban) itik dibina yang mana setiap satunya mampu untuk memuatkan sebanyak 6,000 ekor itik dan ianya sentiasa penuh dengan itik tidak kira dewasa dan kecil.
Jumlah besar ladang itik tersebut mampu untuk memuatkan sebanyak 60,000 ekor itik sepanjang masa. Spesis itik jenis Pekin Cherry Valley menjadi ternakan utama di ladang ini.
Pengunjung yang datang ke Trong Leisure Farm And Resort ini akan dikenakan bayaran masuk serendah RM8 (dewasa) dan RM4 (kanak-kanak). Dengan nilai bayaran masuk tersebut, anda akan berpeluang untuk menjalankan aktiviti-aktiviti menarik seperti yang kami senaraikan dibawah:
- Dibawa naik traktor ke dalam kawasan ladang itik
- Diberi penerangan berkenaan itik dan ladang tersebut melalui video
- Berpeluang bergambar dengan itik-itik yang jinak tanpa had
- Memberi makan kepada itik (1 bungkus makanan itik dengan harga RM1)
- Bot kayuh (paddle boat) berbentuk itik di sekeliling tasik
Pemancing tegar juga tidak boleh lepaskan peluang untuk cuba memancing di kolam ikan yang mereka sediakan. Dengan kadar bayaran sebanyak RM50, anda boleh memancing ikan dengan tanpa had masa dengan syarat, hasil tangkapan hendaklah dilepaskan semula ke dalam kolam.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Trong Leisure Farm And Resort punyai 21 unit bilik yang bina khas untuk pengunjung yang ingin bermalam di ladang itik mereka.
Kisahnya sejarah pembukaan ladang itik ini bermula sejak 20 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1997 dan diceritakan kepada orangperak.com oleh menantu pemilik Encik Chan pada 12 Julai 201 sewaktu kami datang melawat ke sana.
Pemilik ladang itik ini bernama Encik Onn Beow Ghee pada asalnya hanya menyewa kawasan lombong yang hanya dipenuhi dengan tasik sahaja. Kemudian, beliau mula menambak kawasan tasik sedikit demi sedikit dengan menggunakan wang untung dari jualan itiknya.
Lama-kelamaan, Encik Onn Beow Ghee membeli seluruh kawasan lombong tersebut dengan seluas 7 ekar dan mula menambak untuk meluaskan kawasan ternakan itiknya lagi.
Pada waktu itu, tidak terlintas difikiran keluarga mereka untuk membuka pusat percutian di dalam ladang itik mereka, sehinggalah anak sulung Encik Onn Beow Ghee (Encik Onn Leng Keong) sendiri yang mencadangkan hal tersebut apabila tamat belajar di Taiwan.
Anak sulung Encik Onn Beow Ghee mencadangkan kepada bapanya untuk menjadikan kawasan ladang itik keluarga mereka sebagai satu tempat rekreasi orang ramai dan pusat pelancongan.
Anaknya dapat ilham tersebut sewaktu belajar di Taiwan kerana terdapat banyak ladang itik di Taiwan yang dijadikan sebagai pusat pelancongan untuk orang awam dan secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Pada 7 Julai 2014, akhirnya idea anak sulungnya itu direalisasikan oleh bapanya dan ladang itik ini terus dibuka kepada orang ramai. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Trong Leisure Farm And Resort telah dirasmikan oleh Menteri Besar negeri Perak iaitu YAB Dato Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir pada 25 November 2016.
Lokasi percutian ini akan menjadi pengalaman percutian keluarga yang baik terutamanya untuk kanak-kanak semasa musim cuti sekolah. Percutian sebegini sememangnya bermanfaat dengan membuatkan anak-anak dapat menimba ilmu yang lebih berkenaan dengan cara hidup itik dan pengurusannya di ladang. Trong Leisure Farm And Resort wajar untuk diangkat sebagai ikon untuk kawasan Trong di Taiping.
Untuk ke lokasi percutian menarik Trong Leisure Farm And Resort ini, anda boleh terus set dan gunakan koordinat GPS ini 4.711202, 100.708172 atau apabila anda keluar dari lebuhraya tol Changkat Jering, anda boleh terus ke Trong dan ianya teletak tidak jauh dari sana, kira-kira jarak perjalanan kira-kira 10 kilometer sahaja untuk ke Trong Leisure Farm And Resort.
Peringatan : Liputan talian telefon di kawasan percutian ini agak lemah