Kisah Parang Panjang Vs Komunis Di Bekor (Bahagian 3)

Rumah Uda Mashor dijadikan sebagai pusat berkumpul bagi seramai 200 orang perempuan dan kanak-kanak apabila serangan ini berlaku di Kampung Kelang. Kumpulan parang panjang yang mempertahankan serangan di Kampung Kelang terdiri dari Harun bin Uda Hassan, Hashim bin Mohd Yusuf dan Din bin Ngah Abdul Rauf. Kumpulan ini telah menghadapi serangan seramai 20 hingga ke 30 orang komunis yang bersenjatakan lembing.

Harun bin Uda Hassan dan Din bin Ngah Abdul Rauf telah ditikam. Mereka telah melarikan diri dan terjun ke dalam sungai. Manakala Hashim bin Mohd Yusuf pula telah beralih mempertahankan serangan di rumah Uda Mashhor. Isyarat beduk dibunyikan sebagai amaran dan bagi tujuan menimbulkan kekecohan. Di Kampung Kubang Udang, sebelum rumah di bakar, kaum wanita dan kanak-kanak telah diarahkan turun sebelum melarikan diri.

Orang lelaki juga dibunuh dan dibakar berserta dengan rumah. Di Kampung Bekor, kesemua isi rumah dibakar hidup-hidup tanpa mengira jantina. Usaha mendapatkan bantuan juga gagal apabila komunis membakar rumah yang disyaki berpenghuni. Syafie bin Nordin melihat sendiri bagaimana isterinya mati terbakar. Beliau telah melarikan diri untuk meminta bantuan dari penduduk kampung ketika rumahnya dibakar.

Isterinya yang bernama Fatimah dan anaknya yang bernama Abdul Rahim bin Shafie sedang berlindung dalam rumah. Keadaan api yang mulai marak telah menyebabkan orang Cina turun semula ke bawah rumah. Fatimah berada di belakang api yang sedang marak sambil mendakap anaknya. Anaknya telah berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung manakala Fatimah telah mati terbakar. Serangan ini telah dilaporkan oleh akhbar Majlis bertarikh 5 Mac 1947, “…Mayat Melayu telah terjumpa bergelimpangan esoknya dan 19 buah rumah–rumah termasuk sekolah agama menjadi abu…”

Manakala akhbar Majlis bertarikh 24 Februari 1947 melaporkan “…Apabila saksi pulang ke rumahnya, didapatinya rumah sudah terbakar, tetapi dia tidak dapat menunjukkan mana satu yang dituduh itu membakar rumahnya…” Bilangan rumah yang paling banyak dibakar ialah di Kampung Kubang Udang kerana lokasinya yang agak terpencil. Di Kampung Bekor hanya tiga buah rumah yang dibakar iaitu rumah Ngah Abdul Rauf, sebuah sekolah agama dan rumah Ketua Kampung Bekor iaitu Tuan Haji Mohd Ali.

Walau bagaimanapun, penduduk kampung yang terlibat menyatakan bahawa sebanyak 40 buah rumah telah dibakar oleh komunis. Terdapat beberapa buah rumah yang tidak hangus dijilat api kerana penduduk kampung sempat memadamkan api selepas komunis meninggalkan kawasan tersebut. Tindakan penyerangan komunis adalah bermotifkan balas dendam terhadap orang Melayu yang dikatakan membantu pihak Jepun.

Komplot penyerangan ke atas orang Melayu telah dirancang secara teliti oleh komunis. Orang Melayu dituduh berpaling tadah kerana tidak menyokong perjuangan bagi membentuk republik komunis Malaya. Tindakan pertama yang telah dilakukan oleh Bintang Tiga selepas pengunduran tentera Jepun ialah menguasai Balai Polis dan mencari ulama, pemimpin agama serta pemimpin Melayu. Dalam hal ini, pemimpin tempatan yang tidak memberikan kerjasama kepada perjuangan komunis telah menjadi sasaran.

Begitu juga mengenai peristiwa serangan di Bekor pada 6 Mac 1946 telah menjadikan bilangan orang Melayu di Kampung Bekor semakin berkurangan. Kejadian pergaduhan Melayu-Cina terus berlarutan di beberapa buah lokasi di Selangor, Kuala Lumpur dan juga Perak yang telah meninggalkan kesan mendalam sama ada ke atas individu atau masyarakat setempat. Kesan semerta berikutan daripada pergaduhan ini ialah orang Cina tidak berani lagi menetap di kawasan perkampungan Melayu.

Ramai di antara mereka yang mula mencari perlindungan di kawasan yang berhampiran dengan pinggir bandar. British pula seolah-olah berpuas hati dengan apa yang berlaku. Hal ini kerana pada peringkat awal, tiada usaha yang dibuat bagi mengekang keadaan tersebut. British hanya bertindak apabila orang Melayu melakukan serangan balas kerana tidak mampu menahan kezaliman komunis. Pada dasarnya kedua-dua kaum mengalami kerugian sama ada kehilangan nyawa, harta-benda dan sebagainya. Hal ini tidak akan timbul sekiranya tiada tekanan dan provokasi yang melampau dikenakan ke atas kedua kaum ini.

Kisah Kejam Serangan Komunis Di Bekor (Bahagian 3), Jom baca kesinambungan Kisah Kejam Serangan Komunis Di Bekor ini di :

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here