29.7 C
Ipoh
Saturday, 18 January 2025

Sultan Mansur Shah II (Sultan Perak ke 7)

- Advertisement -
- Advertisement -

Setelah Sultan Mukaddam (Sultan Perak ke 6) mangkat dalam tahun 1619 di negeri Acheh, seorang daripada orang besar negeri Perak yang punyai gelaran Maharaja Lela telah pergi ke negeri Johor.

Pada waktu itu negeri Perak masih berada dibawah naungan Acheh. Jadi segala keputusan berkaitan dengan negeri Perak harus mendapatkan perkenan daripada Sultan Acheh.

Walaupun begitu, Maharaja Lela telah mengedahkan kerajaan Acheh dan terus ke negeri Johor untuk mendapatkan zuriat sultan Perak supaya untuk diangkat menjadi sultan Perak yang ke 7.

Maharaja Lela telah membawa Raja Mansur pulang ke negeri Perak. Raja Mansur adalah merupakan putera kepada Raja Kecil Lasa (Raja Inu) dan merupakan cucu kepada Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Shah (Sultan Perak ke 3).

Sultan Mansur Shah II (Sultan Perak ke 7)

bendera negeri Acheh

Setelah dibawa pulang ke negeri Perak, Raja Mansur telah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke 7 dengan gelaran Sultan Mansur Shah II. Baginda Sultan Mansur Shah II telah bersemayam di Semat.

Mengikut riwayat raja-raja Perak, sewaktu Sultan Mansur Shah II memerintah negeri Perak, baginda dikatakan selalu berulang-alik ke negeri Johor kerana adanya seorang lagi isteri baginda di sana.

Dalam tahun 1627 setelah memerintah negeri Perak selama 8 tahun, baginda telah mangkat sewaktu berada di negeri Johor dan dimakamkan di sana. Namun ada percanggahan maklumat yang ada berkenaan dengan hal ini jika dibandingkan dengan sejarah Perak yang diketahui.

Sultan Mansur Shah II (Sultan Perak ke 7)

Menurut sejarah Perak yang diketahui, dalam tahun 1627 Sultan Iskandar Mahkota Alam (Sultan Acheh) telah menghantar satu rombongan orang besar-besar dari negeri Acheh ke negeri Perak.

Rombongan tersebut adalah untuk menurunkan Sultan Mansur Shah II dari takhta kerajaan negeri Perak. Hal ini adalah kerana negeri Perak masih lagi berada di bawah kuasa Acheh pada waktu itu.

Tambahan lagi Sultan Mansur Shah II yang naik takhta kerajaan negeri Perak dengan tanpa mendapat persetujuan kerajaan Acheh. Dalam rombongan tersebut, orang besar-besar Acheh turut membawa adinda kepada Almarhum Sultan Mukaddam Shah.

Raja Bongsu atau Raja Yusof yang merupakan adinda kepada Almarhum Sultan Mukaddam Shah telah dilantik oleh orang besar-besar Acheh untuk menggantikan Sultan Mansur Shah II.

Sultan Mansur Shah II kemudian dibawa ke negeri Acheh dan dikatakan telah mangkat di sana. Sehingga ke hari ini, masih tidak ada penjelasan khusus berkenaan riwayat yang mana satu yang lebih tepat.

Sultan Mansur Shah II (Sultan Perak ke 7)

Dalam risalah rasmi sewaktu pertabalan Sultan Yusuf Izzuddin Shah pada tahun 1949 ada tertulis bahawa Sultan Mansur Shah telah dibawa ke negeri Acheh dan mangkat di sana.

Sultan Mansur Shah II (Sultan Perak ke 7)

Walaupun begitu dalam risalah rasmi sewaktu pertabalan Sultan Idris Shah II (Sultan Perak ke 33), ada disebut yang Sultan Mansur Shah II telah mangkat di negeri Johor dan digelar Marhum Mangkat di Johor.

Sehingga ke hari ini, makam Sultan Mansur Shah II masih lagi tidak dapat dikesan di Johor ataupun di Acheh. Namun, ramai yang percaya kepada versi cerita Sultan Mansur Shah II mangkat di Acheh.

Rujukan:

  • Risalah rasmi pertabalan Sultan Yusuf Izzuddin Shah, 1949, m/s 9
  • Risalah rasmi pertabalan Sultan Idris Shah II, 1963, m/s 36
  • Sejarah Perak, Buyung Adil, m/s 14
- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here