Pokok Peluru Meriam Penambah Keunikan Taman Tasik Taiping

Sebagai anak jati negeri Perak, Taman Tasik Taiping sudah tentu tidak asing buat kita. Diasaskan pada 1880 Taman Tasik Taiping ini yang merupakan taman awam pertama di Malaya mempunyai banyak tarikan menarik yang tidak terdapat ditaman-taman lain di Malaysia. Kali ini orangperak.com ingin berkongsi mengenai salah satu tumbuhan menarik yang terdapat di Taman Tasik Taiping iaitu Pokok Peluru Meriam.

pokok peluru meriam

Pelik bukan apabila mendengar nama pokok ini, namun itu lah gelaran yang diberi kepada pokok yang nama saintifiknya Couroupita guianensis. Apabila diteliti pada buahnya barulah anda akan menyedari mengapa ianya dipanggil sebagai Pokok Peluru Meriam. Dari segi fizikal buahnya memang seperti peluru meriam dan jika kita kupas sedikit kulitnya kemudian dilambung ke udara, bila sahaja ia mencecah tanah, ia akan bederai dan mengeluarkan bunyi letupan yang kuat.

pokok peluru meriam

Pokok peluru meriam atau dalam bahasa Inggerisnya cannon ball tree dan nama saintifiknya Couroupita guianensis dari keluarga Lecythidaceae merupakan pokok yang berasal dari rantau Amerika Selatan. Tumbuhan ini agak unik dan bunganya terbentuk dari jambakan besar pada batang pokoknya sehingga sepanjang 3 meter dan menghasilkan buah berkayu bulat besar bergaris pusat antara 15 hingga 24 cm, manakala pokoknya boleh mencecah ketinggian sehingga 25 meter.

Merupakan pokok yang asing bagi Malaysia, tanaman ini hanya ditanam sebagai tanaman penyelidikan selain untuk tujuan kajian botanikal dan hanya ada di Taman Tasik Taiping, Taman Botani Pulau Pinang, Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) dan Taman Pertanian Tenom Sabah. Pokok ini mempunyai bunga berwarna merah jambu dan merah terang atau jingga serta mempunyai struktur yang tebal dan berlilin berbau harum untuk menarik serangga bagi tujuan pendebungaan. Di negara asalnya, kelawar merupakan agen yang banyak membantu pendebungaan tanaman ini.

pokok peluru meriam

Pokok Peluru Meriam digelar begitu kerana buah perangnya berbentuk seperti peluru meriam berwarna coklat karat, berkulit keras dan berbentuk bulat. Buahnya mengambil masa setahun untuk matang dan apabila masak ianya mengeluarkan bau yang agak kurang menyenangkan berbeza dari bau bunganya yang harum. Di dalam kulitnya yang keras terdapat diantara 200 – 300 biji benih kecil.

pokok peluru meriam

Di India, tanaman ini disebut sebagai Nagalingam dan digunakan secara meluas dalam bidang perubatan tradisional Ayurveda iaitu untuk merawat masalah hati, selsema, sakit kepala dan reumatisme iaitu penyakit yang dicirikan oleh radang dan rasa sakit terutamanya pada bahagian otot dan sendi. Dikatakan juga daun dan kulit batangnya digunakan untuk merawat kesan gigitan ular berbisa. Pokok peluru meriam ini juga dikaitkan dengan tempat terakhir saat-saat kematian Gautama Buddha di India.

Bagi sesetengah penduduk asli kawasan Amazon, kulit buah peluru meriam yang keras dan tebal ini dijadikan bekas untuk mengisi bahan makanan manakala bahagian pulpanya boleh dijadikan bahan makanan untuk haiwan ternakan. Selain dari itu jus daripada perahan daunnya kerap digunakan untuk merawat penyakit kulit manakala daun muda pernah digunakan untuk melegakan sakit gigi selain dari itu berdasarkan rekod pokok peluru meriam juga digunakan oleh orang asli di Amerika Selatan untuk merawat selsema dan sakit perut.

pokok peluru meriam

Buahnya boleh dimakan apabila matang tetapi bau bahagian dalamnya agak kurang menyenangkan. Pulpa buah peluru meriam dipercayai boleh menyejukkan badan dan selalu dijadikan minuman oleh kaum orang asli di kawasan Amazon. Banyak penyelidikan mengenai tumbuhan ini telah dijalankan dan diantaranya terdapat laporan yang menyatakan bahawa ekstrak metanol daripada pokok ini telah merencatkan pertumbuhan HIV (virus imunodefisiensi manusia) sebanyak 24 peratus. Namun begitu, kajian ini masih berada ditahap permulaan dan belum dapat disahkan keputusannya. Walau bagaimana pun penemuan ini boleh memberikan harapan dalam usaha mencari ubat anti-HIV yang kurang mendatangkan kemudaratan kepada manusia tetapi berkesan membunuh virus tersebut.

Pokok peluru meriam atau cannon ball tree ini telah banyak ditanam sebagai tanaman hiasan taman botani dan kawasan rekreasi seluruh dunia disebabkan oleh keunikannya. Namun begitu rahsia nilai perubatannya masih banyak yang perlu diterokai.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here