Negeri Perak terkenal dengan lahirnya ramai pemimpin-pemimpin tersohor dan air dan juga luar negara. Kali ini orangperak.com ingin menyentuh mengenai sejarah hidup Presiden pertama Republik Singapura juga merupakan anak jati negeri Perak Darul Ridzuan.
Encik Yusof bin Ishak lahir pada 12 Ogos 1910 di Padang Gajah, Trong, Perak yang terletak hampir 18 batu daripada Taiping, Perak. Ibu dan bapanya beketurunan Melayu yang berasal daripada Sumatera, keturunan bapanya dari Minangkabau dan ibunya dari Langkat.
Keluarga beliau berhijrah ke Pulau Pinang dan kemudiannya menetap di negeri Perak. Encik Yusof merupakan anak sulung daripada 9 beradik. Bapanya Ishak Bin Ahmad pernah menjawat jawatan sebagai Pemangku Pengarah Perikanan bagi Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Encik Yusof memperoleh pendidikan awal di sekolah Melayu di Batu Kurau, Perak. Beliau kemudiannya bertukar di sekolah Melayu di Taiping. Pada 1921, beliau memulakan pengajian Inggeris di Sekolah King Edward VII Taiping.
Apabila bapanya ditukarkan ke Singapura pada 1923, Encik Yusof turut sama berpindah bersama keluarganya dan belajar di Victoria Bridge School sehingga Disember 1923.
Pada 1924, beliau mendaftar masuk ke Raffles Institution dimana beliau telah lulus Sijil Cambridge School pada 1927 dengan kepujian dan meneruskan pengajian selama 2 tahun lagi dengan biasiswa dari kerajaan British.
Ketika di sekolah, Encik Yusof menyertai hampir kesemua sukan yang ada disekolah. Di Raffles Institution, selain bermain sukan hoki dan kriket, beliau juga mengambil bahagian dalam suka berenang, angkat berat, polo air dan tinju.
Pada 1933, beliau menjadi juara bagi tinju untuk Singapura. Oleh kerana menjadi kadet paling cemerlang dalam pasukan kadet sekolah, beliau menjadi murid pertama di Singapura yang ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam pasukan kadet oleh Gabenor Singapura. Beliau juga menjadi pengawas sekolah dan penolong editor bagi majalah ‘Rafflesian’.
Selepas meninggakan sekolah pada 1929, Encik Yusof bersama dua rakannya menyertai bidang kewartawanan dan penerbitan. Beliau telah menerbitkan majalah “Sportsman” yang diterbitkan khusus untuk bidang kesukanan.
Pada 1932, beliau menjadi staf ‘Warta Malaya’, yang merupakan surat khabar Melayu terkemuka di ketika itu. Kebolehan beliau dalam bidang kewartawanan membuatkan kedudukan beliau meningkat dengan cepat daripada Penolong Pengurus ke jawatan Pemangku Editor dalam tempoh yang singkat. Ketika tahun 1938, beliau keluar daripada ‘Warta Malaya’ dan menubuhkan Utusan Melayu.
Ketika zaman pendudukan Jepun, Encik Yusof berada di Tanah Melayu dan setelah Jepun menyerah kalah pada 1945, beliau kembali ke Singapura dan menyambung kembali penerbitan Utusan Melayu.
Pada 1948, Encik Yusof melawat Britain sebagao peserta Delegasi Pertama Wartawan. Kemudian pada awal 1957, beliau ke Jepun untuk memeriksa mesin cetak terkini yang ditempah oleh Utusan Melayu.
Dalam Mei tahun yang sama, beliau berpindah ke Kuala Lumpur untuk menyelia pembinaan bangunan Utusan. Sewaktu berada di Kuala Lumpur, Encik Yusof menjadi Presiden Kelab Kewartawanan Malaya.
Dari tahun 1948 hingga 1950, beliau berkhidmat dengan Komiti Rayuan Filem. Pada Julai 1959, beliau dilantik menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura.
Kemudian pada 3 Julai 1965, Encik Yusof menjadi Canselor Universiti Singapura. Encik Yusof mengambil alih tugas sebagai Yang di-Pertuan Negara Singapura pada 3 Disember 1959.
Sebagai Ketua Negara Singapura, beliau bersama isteri Puan Noor Aishah telah membuat kunjungan negara ke Kemboja selama 4 hari pada April 1963 dan pada bulan yang sama mereka kemudiaanya ke Mekah untuk mengerjakan Haji.
Disana mereka disambut sebagai tetamu negara oleh Kerajaan Arab Saudi. Kunjungan Negara ke Sri Lanka pula dilakukan pada Mei 1963. Encik Yusof dikurniakan Darjah Kerabat Kelas Pertama daripada Sultan Brunei pada November 1960 dan Darjah Kebesaran Sri Maharaja Mangkh Negara (S.M.N) oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia pada November 1963.
Pada 9 Ogos 1965, apabila Singapura dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia dan menjadi sebuah negara, Encik Yusof menjadi Presiden pertama Republik Singapura.
Beliau kemudian dilantik semula bagi penggal kedua selama 4 tahun pada 4 Disember 1967. Encik Yusof Bin Ishak berkahwin dengan Puan Noor Aishah dan mempunyai seorang anak lelaki serta dua perempuan. Beliau meninggal dunia pada 23 November 1970.