Sebagai permulaan, apakah yang anda faham tentang geologi? Geologi adalah merupakan sains dan kajian mengenai bumi yang berkenaan tentang komposisi, struktur, bentuk fizikal sejarah dan proses pembentukannya.
Sebagai contoh, mereka yang terlibat dengan geologi ini dikenali sebagai ahli geologi berperanan dalam menentukan umur bumi, membantu mencari dan mengatur sumber daya alam yang ada di bumi seperti petrolium, batu arang dan macam-macam lagi.
Perkataan “geologi” adalah berasal daripada perkataan bahasa Greek yang membawa makna (ge adalah bumi) dan (logos adalah kata atau sebab). Campuran dua perkataan ini iaitu “ge” dan “logos” membentuk sebuah perkataan baru iaitu geologi yang telah diguna pakai sehingga ke hari ini secara meluas ke seluruh dunia. Bahasa Malaysia tidak terkecuali untuk meminjam perkataan ini dan dijadikan perkataan dalam bahasa kita.
Berbalik kepada topik asal artikel terbitan orangperak.com pada hari ini, kami akan berceritakan tentang Muzium Geologi yang terletak di Ipoh, Perak. Pernahkah anda semua pergi melawat ke Muzium Geologi di Ipoh ini?
Amat rugi jika anda tidak datang kemari kerana ia menyimpan maklumat-maklumat yang berguna untuk pengetahuan am anda dan menarik untuk memupuk semangat dan rasa ingin tahu anak-anak dalam bidang geologi.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Muzium Geologi di Ipoh ini telah ditubuhkan pada tahun 1957 iaitu pada tahun negara kita mendapat kemerdekaan.
Muzium yang penuh dengan maklumat geologi ini ditubuhkan dengan perletakan batu asas bangunan oleh Raja Muda Perak pada waktu itu Raja Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah (kini Almarhum Sultan Idris II, Sultan Perak yang ke 33).
Muzium ini adalah merupakan sebahagian daripada kompleks Jabatan Mineral dan Geosains dan sebenarnya, ia memainkan peranan yang amat penting sebagai pusat pembelajaran dan pendidikan geologi dan geosains di negara kita.
Disinilah tempatnya untuk kita lahirkan rasa cinta dan minat akan pendidikan teras berkenaan geologi kepada anak-anak kita. Muzium Geologi ini banyak memberi manfaat dan pelopor dalam melahirkan ahli geologi negara.
Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dalam Muzium Geologi ini tentu akan rasa kagum dan terpegun dengan rekabentuk dan susunatur yang menarik serta kemas.
Terdapat kira-kira 7 zon pameran yang dibahagikan mengikut kategorinya masing-masing. Ianya bertujuan untuk memudah fahamikan jalan cerita yang ingin disampaikan kepada pengunjung. Zon tersebut dilabel sebagai Zon A sehingga ke Zon G.
Secara kasarnya berkenaan dengan zon-zon tersebut, kami akan beri penerangan ringkas kepada anda pembaca setia orangperak.com dan harap anda akan lebih jelas.
Bermula dari zon paling awal, ia berkisahkan tentang struktur dan ciri-ciri geologi bumi, seterusnya sejarah bumi, kemudian pameran pelbagai spesimen geologi, terus kepada kegunaan, perlombongan dan explorasi mineral, dan diakhiri dengan cerita bagaimana geologi dapat menyumbangkan kepada kekayaan dan kesejahteraan manusia.
Zon A
- Sejarah Muzium Dan Jabatan
- Sejarah Bumi
- MuralStruktur Geologi
Zon B
- Dinosaur Dan Fosil
- Batuan
Zon C
- Mineral, Kristal Dan Batu Permata
Zon D
- Kegunaan Mineral
Zon E
- Aktiviti Perlombongan
Zon F
- Aktiviti Explorasi Mineral Dan Geologi Marin
Zon G
- Bencana Geologi
- Lombong Dan Kuari
- Hidrogeologi
- Geologi Dan Pembangunan Negara
- Sumber Mineral
- Geowarisan
- Produk JMG
- Penyelidikan Dan Pembangunan
- Perkhidmatan Makmal
Terdapat juga pelbagai jenis fosil yang berada dalam koleksi simpanan muzium ini. Antaranya adalah batuan, mineral, batu permata dan macam-macam lagi.
Terdapat juga sampel kasiterit iaitu bijih timah yang ditemui di lombong timah dalam kawasan Lembah Kinta. Jika anda ada kesempatan masa, bolehlah datang dan melawat ke Muzium Geologi ini untuk menambah ilmu dan pengetahuan am berkenaan geologi.