Kempen Dana Beli Tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan Capai Sasaran Masa 36 Jam Ditutup Secara Rasmi
Alhamdulillah. Kempen sumbangan bagi pembelian tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu telah ditutup secara rasmi setelah berjaya mengumpul dana luar biasa sebanyak RM1,977,482.20 dalam tempoh kurang daripada 36 jam sahaja.
Kejayaan mengumpul dana tersebut mencerminkan semangat masyarakat yang tinggi dalam menyokong pembangunan masjid. Pihak masjid menyampaikan penghargaan tulus kepada semua penderma yang telah menyumbang, sama ada melalui saluran rasmi mahupun sumbangan secara langsung.
Selain itu, bagi memastikan kelancaran urusan pembelian tanah, pihak masjid telah melantik beberapa peguam profesional untuk membantu dalam proses rundingan dan menangani sebarang isu perundangan yang mungkin timbul. Langkah ini diambil bagi memastikan pemilikan tanah berjalan lancar dan mematuhi semua keperluan undang-undang.
Dengan penutupan rasmi kempen ini, fokus kini beralih kepada proses pembelian tanah dan perancangan pembangunan masjid yang lebih baik untuk manfaat masyarakat setempat.
Orang Perak mengucapkan tahniah dan syabas di atas keprihatinan dan semangat seluruh umat Islam, bukan sahaja dari negeri Perak, bahkan dari seluruh pelusuk tanah air. Ini menunjukkan kesungguhan kita untuk membela kesucian agama Islam di negara Malaysia tidak kira dimana pun berada. Semoga semangat serta solidariti ini diteruskan dimasa akan datang.