Di setiap bandar dan pekan-pekan penting, pejabat pos merupakan institusi penting untuk sistem penyampaian di kawasan tersebut. Pada zaman dahulu, hampir setiap perkhidmatan dari segi perkhidmatan penghantaran surat, penyimpanan wang, pendaftaran pengundi dan cabutan loteri boleh dilakukan di pejabat pos.
Teluk Intan sebagai sebuah bandar pelabuhan penting sudah tentu tidak terkecuali dari perkhidmatan pejabat pos yang penting ini.
Terletak di tengah-tengah antara Balai Polis Lama Teluk Intan dan Hong Kong And Shanghai Bank Corporation Bhd, bangunan Pejabat Pos ini merupakan antara bangunan tertua yang wujud di Teluk Intan. Dipercayaai bangunan ini dibina pada awal tahun 1890-an.
Ini berdasarkan artikel terawal yang dijumpai berkenaan pejabat pos ini dari The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser pada 5 Oktober 1895 yang menyatakan, “They are not many trains a day out of it, and in going to the Post Office for the letters one has to pass police station ; unless a native of the place volunteers the information, one is puzzled to know whether that building is a prison, a church, a mousoleum, a theatre, or a Chinaman’s house”.
Terletak ditanah yang digazetkan untuk Pos Malaysia, permukaan hadapan ini direka melalui susunan tingkap dengan ritma 3-3-3 dan 3-4-3 di tingkat pertama bangunan ini. Pada asalnya terdapat 4 buah pintu masuk dengan gerbang bulat seperti bangunan balai polis di sebelahnya.
Namun keadaan ini telah berubah akibat ubah suai yang dilakukan bagi memenuhi permintaan ruang kerja pada masa kini. Di pintu utama bangunan ini terdapat sebuah gerbang yang tertulis “Pejabat Pos”. Tulisan ini dipercayai sudah ada sejak dari pejabat ini dibina lagi. Ia juga sama seperti tulis ‘Balai Polis’ seperti yang terdapat di bangunan balai polis lama disebelahnya.
Terdapat banyak perkhidmatan yang pernah disediakan dan masih diteruskan hingga kini di pejabat pos ini. Selain dari menyediakan perkhidmatan menerima dan menghantar surat, pejabat pos ini dahulu pernah menyediakan perkhidmatan cabutan loteri.
Pada tahun 1952 dalam sebuah pertandingan cabutan loteri dengan hadiah tempat pertama sebanyak $300,000 yang dianjurkan oleh Tokong Hock Soon Keong, Pejabat Pos Teluk Anson pada waktu tersebut telah menerima terlalu banyak penyertaan dari seluruh semenanjung sehingga menyebabkan tiket loteri telah habis terjual pada hari kedua penyertaan.
Lebih banyak tiket loteri dipohon untuk dihantar dari Ibu Pejabat Pos di Kuala Lumpur. Pejabat pos juga dipenuhi dengan mereka yang ingin membeli tiket pertandingan loteri ini sehingga berlakunya kekecohan.
Namun pada tahun 1950-an, terdapat beberapa aduan berkenaan perkhidmatan yang disediakan di Pejabat Pos Teluk Anson ini. Antara aduan yang pernah diterbitkan di akhbar The Straits Times pada 17 Mac 1952 ialah ; “On the morning of March 13, I sent one of my men to pay my phone bill at Teluk Anson Post Office. He was told by the counter clerk to come the next day as the day’s collection were too heavy.
Also, at the Registered Articles counter, one has to wait for almost half an hour at the peak period to have a letter attended to. What sort of service is the Post Office offering?. Is the Post Office meant for the public or the public for the Post Offic convenience?. Disgusted Tax Payer . Teluk Anson.”
Antara lain aduan yang pernah dinyatakan keatas Pejabat Pos ini pernah dinyatakan juga dalam sebuah akhbar The Straits Times pada 25 Mac 1961, “The postal facilities at Teluk Anson are about the worst in the country. The stamp counter is crowded like the third class window at a cinema hall and people are compelled to wait at least half an hour for attention.
This is because the only clerk there has to sell stamps, register letters and sell welfare lottery tickets at the same time. Postal deliveries are the same. A cover sent to me from Penang arrived at Teluk Anson post office on March 13 but it was not until a week later – March 13 but it was not until a week later – March 20, that I received it. This is not the first instance of such delays. Lee Jit Cheng. Teluk Anson.”
Perkhidmatan penjualan tiket loteri di Pejabat Pos Teluk Intan telah dihentikan pada tahun 1980-an. Selepas proses penswastaan Pejabat Pos oleh pihak kerajaan pada tahun 1992, Pos Malaysia Berhad telah mengambil alih pentadbiran pos dan memperkenalkan perkhidmatan Pos Laju di Teluk Intan.
Pejabat Pos Teluk Intan merupakan antara salah satu tempat warisan yang didirikan papan tanda sejarah melalui projek Jejak Warisan Teluk Intan yang dijalankan oleh Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak (SEMARAK) yang dibiayai oleh Yayasan CIMB. Jika berkunjung ke Teluk Intan, jangan lupa untuk melawat tempat-tempat warisan yang ada disini.