Negeri Perak melakar sejarah dalam pembangunan sektor pertanian apabila Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat mencemar duli merasmikan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak yang terletak di Lot 3122, Parit Buntar.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain, serta YTM Raja Kecil Tengah Perak, Raja Dato’ Seri Iskandar bin Raja Ziran. Keberangkatan diraja ini turut disambut oleh barisan kepimpinan utama kerajaan termasuk YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer Zubin, serta YB Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama isteri, Datin Seri Normah Alwi.

Majlis penuh bersejarah ini turut diserikan dengan kehadiran barisan pemimpin kanan negeri dan Persekutuan, antaranya YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBhg. Ahli-Ahli Dewan Negara Perak, serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Turut hadir, YBhg. Dato’ Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; YBhg. Dato’ Wira Haji Mahfuz bin Haji Omar, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang; YBrs. Encik Amir bin Matamin, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang; dan Encik Haji Fauzi bin Badron, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan.
Perasmian pusat ini menandakan satu langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem industri padi dan beras negara. Dibangunkan dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM12.72 juta, pusat ini mampu menghasilkan 5,000 tan metrik benih padi sah setahun dan bakal beroperasi sepenuhnya bermula Mei 2025. Ia merupakan salah satu daripada empat pusat baharu yang dibangunkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi memperkasa rantaian bekalan benih padi sah negara.
Secara keseluruhan, keempat-empat pusat ini dijangka menyumbang 28% daripada keperluan benih padi sah negara, bersamaan 20,000 tan metrik setahun, atau lebih 1 juta beg (20kg). Ini akan menyokong penanaman padi seluas 142,857 hektar di seluruh negara, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada pembekal pihak ketiga dan memperkukuh jaminan makanan nasional.

YB Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sembah ucapan menyatakan keyakinannya bahawa dengan tertubuhnya pusat ini di Parit Buntar, pembangunan di daerah tersebut akan menjadi lebih rancak dan progresif. Beliau menegaskan bahawa pusat ini bukan sahaja penting untuk institusi peladang, tetapi untuk seluruh masyarakat pesawah di negara ini. Kerjasama kukuh antara kerajaan, komuniti peladang, dan rakan strategik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa dijangka meletakkan Perak sebagai hab utama benih padi sah berkualiti tinggi di Malaysia.
Dengan kapasiti pengeluaran sehingga 1 juta beg (20kg) setahun dan tumpuan kepada teknologi moden, pusat ini turut menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat serta membuka ruang kepada pembangunan ekonomi di kawasan sekitarnya. Keberadaan pusat ini menjadikan Perak sebagai negeri peneraju dalam reformasi industri padi, seiring usaha kerajaan meningkatkan tahap pengeluaran beras negara daripada 56% kepada sekurang-kurangnya 71%.

Kesungguhan kerajaan dalam memperkasa sektor ini turut diterjemah melalui strategi reformasi menyeluruh yang melibatkan pemulihan sawah terbiar, pembangunan jelapang padi di Sabah dan Sarawak, pengukuhan sistem pengairan serta penstrukturan semula rantaian nilai industri padi dan beras.
Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak ini bukan sahaja mercu kejayaan peladang, malah simbol kesatuan antara raja, rakyat dan pemerintah dalam memastikan kemandirian makanan negara dan masa depan sektor pertanian terus cemerlang.