29.7 C
Ipoh
Saturday, 7 December 2024

Kenali Meor Shahrin, Kisah Disebalik Kejayaan Koperasi Terbaik Di Perak

- Advertisement -
- Advertisement -

Disebalik nama gah sebuah koperasi yang cukup dikenali di negeri Perak iaitu Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad yang telah berjaya menempah nama dengan memperoleh kejayaan lantas telah dikenali sebagai sebuah koperasi terbaik di negeri Perak sehingga ke hari ini sejak zaman kebangkitannya.

Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad yang dapat kita lihat hari ini sebenarnya telah didaftarkan mengikut akta koperasi 1946 pada 4 Januari 1986 yang mana pada asalnya nama koperasi tersebut asalnya adalah Koperasi Peneroka-Peneroka Felcra Seberang Perak Berhad.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, kisah yang menarik tentang Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad untuk dikongsikan bersama anda semua adalah berkenaan dengan sebuah koperasi yang dikatakan sebagai sebuah koperasi terbaik di dalam negeri Perak dengan pencapaian tahunan yang amat membanggakan.

Kenali Meor Shahrin, Kisah Disebalik Kejayaan Koperasi Terbaik Di Perak

Rujukan Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2016 halaman 47

Hal tersebut dibuktikan dengan fakta yang berdata apabila Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad berjaya mendapat tempat ke 42 dalam senarai koperasi terbaik di Malaysia pada tahun 2016 dan pada tahun 2017 pula, sekali lagi Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad berjaya menempah nama dengan menduduki tangga ke 32 dalam senarai koperasi terbaik di Malaysia.

Kenali Meor Shahrin, Kisah Disebalik Kejayaan Koperasi Terbaik Di Perak

Rujukan Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2017 halaman 35

Anda bayangkan terdapat sebanyak 13,648 jumlah koperasi yang telah berdaftar dalam negara kita sehingga Jun 2017 dan untuk makluman anda, negeri Perak adalah yang paling tinggi jumlah koperasi yang telah didaftarkan mengikut negeri dengan sebanyak 1,496 koperasi yang berdaftar berbanding dengan negeri-negeri lain.

Dari data nombor yang kami berikan diatas pasti akan buatkan ramai yang ingin tahu tentang siapakah individu disebalik yang menguruskan koperasi terbaik di negeri Perak ini? Pada 20 Mac 2018 yang lalu, editor orangperak.com berpeluang untuk temu bual individu yang menjadi tulang belakang kepada Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad supaya artikel ini dapat diterbitkan untuk menjadi sumber inspirasi bacaan orang ramai dan menjadi ikutan koperasi lain yang ada di negara kita.

Pengurus besar kepada Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad adalah seorang anak kepada pesara tentera yang lahir di Kampung Teluk Kepayang, Bota. Beliau dilahirkan pada tarikh 1 Ogos 1967 dan nama yang diberi oleh ayahanda bondanya adalah Mior Shahrin Bin Mior Mohamad Yusop.

Kenali Meor Shahrin, Kisah Disebalik Kejayaan Koperasi Terbaik Di Perak

Mior Shahrin menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Teluk Kepayang pada tahun 1974 hingga tahun 1979. Kemudian pada tahun 1980, beliau terus menyambung pendidikannya peringkat menengah di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra yang terletak jauh di utara semenanjung Malaysia iaitu di Kangar, Perlis.

Setelah lulus cemerlang pada zaman persekolahannya, Mior Shahrin tidak lengahkan masa dan terus dapatkan pendidikan peringkat universiti di Institut Teknologi MARA, Dungun (ITM, yang mana kini dikenali dengan nama UiTM) dalam bidang Diploma Pentadbiran Awam.

Sebaik sahaja berjaya menamatkan pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM) Dungun, Mior Shahrin tidak menunggu lama dan terus buat permohonan kerja untuk membantu keluarga. Sebaik sahaja sebulan selepas majlis graduasi berlalu, Mior Shahrin terus dipanggil temuduga dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Pesekutuan (FELCRA) untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai Pegawai Khidmat Masyarakat.

Pada tahun 1989, itulah bermulanya kerjaya Mior Shahrin dengan berkhidmat untuk FELCRA di ibu pejabat Kuala Lumpur. Selepas 2 tahun berkhidmat disana, beliau telah dipindahkan ke Kelantan dan berkhidmat di sana sehingga tahun 1992. Pada tahun 1992, Mior Shahrin diminta untuk pulang ke Seberang Perak untuk menyelesaikan masalah-masalah koperasi yang teruk tidak terurus.

Beliau akhirnya pulang ke Seberang Perak dan berkhidmat sebagai pegawai yang dipinjam selaku Pengurus Besar untuk Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad bermula pada tahun 1992 sehingga tahun 1997. Cabaran sewaktu bermula di dalam koperasi amat di luar jangkaan dengan pelbagai masalah seperti akaun yang tidak ditutup selama dua tahun, masalah pengurusan, kakitangan yang memberontak dan banyak lagi.

Kenali Meor Shahrin, Kisah Disebalik Kejayaan Koperasi Terbaik Di Perak

Mior Shahrin mula membentuk dan menyusun langkah-langkah untuk membetulkan semula perjalanan sebuah koperasi yang terumbang-ambing dan dalam masa 2 tahun, segala permasalahan yang berbangkit sebelum ini dapat diselesaikan dengan pantas dan baik.

Pada ketika usia 30 tahun yang mana waktu itu pada tahun 1997, Mior Shahrin memilih untuk bersara dan buat keputusan untuk berkhidmat sepenuh masa dengan koperasi. Sejak itu, kerjaya dan masa depan beliau bergantung penuh pada kejayaan dan jatuh bangun Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad.

Keputusan yang dibuat oleh Mior Shahrin untuk berhenti dan memilih untuk berkhidmat sepenuh masa dengan koperasi adalah satu keputusan yang amat besar kerana ia umpama bertukar dari sebuah kapal yang cukup besar ke sebuah kapal kecil. Hal ini kerana beliau cukup yakin dengan kebolehan dan keupayaan koperasi tersebut untuk pergi lebih jauh.

Kedudukan, prestasi dan pencapaian Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad hari ini sepertimana yang diberitahu tadi iaitu menduduki tangga ke 32 dalam senarai koperasi terbaik di Malaysia sekali gus merangkumi gelaran sebagai koperasi terbaik di Perak adalah sebuah pencapaian yang amat membanggakan.

Pencapaian dan prestasi urusniaga Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad adalah sangat cemerlang yang mana rekod keuntungan paling tinggi dicatatkan adalah pada tahun 2013 dengan nilai RM4.6 juta dengan melibatkan nilai urusniaga berjumlah lebih RM43 juta. Begitu juga dengan nilai dividen kepada anggota koperasi yang pernah mencecah setinggi 20%.

Semoga kisah perjalanan seorang anak pesara tentera dari Teluk Kepayang, Bota ini menjadi ikutan dan idola buat anak-anak muda supaya sentiasa berusaha dan percaya akan kebolehan diri sendiri. Hendak seribu daya, tidak mahu satu dalih sudah memadai. Jika anda inginkan sesuatu, maka anda harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.

Kenali Meor Shahrin, Kisah Disebalik Kejayaan Koperasi Terbaik Di Perak

Terima kasih Tuan Haji Mior Shahrin kerana sudi menerima kunjungan editor orangperak.com untuk terbitkan artikel ini. Semoga dengan terbitnya artikel ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan menjadi ikutan koperasi yang ada di seluruh Malaysia agar mereka dapat tingkatkan ekonomi dan secara tidak langsung koperasi-koperasi yang ada dapat meyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here