Panjut bukanlah satu perkara yang baru dalam masyarakat kita, masyarakat melayu. Ia seringkali dipersembahkan kepada umum pada akhir bulan Ramadan sehingga bulan Syawal.
Buat sesiapa yang tidak tahu tentang apakah maknanya panjut, panjut adalah lampu pelita api yang menggunakan minyak tanah dan disusun secara kreatif dan cantik pada buluh, tiang dan sebagainya untuk menerangi kawasan perkarangan rumah atau dimana-mana sahaja lokasi dan ianya nampak menarik.
Sudah pasti, pelita-pelita yang disusun rapi tersebut akan dipasang apinya pada waktu malam supaya ia dapat menerangi dan menceriakan suasana persekitaran malam tujuh likur untuk sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.
Sepertimana yang kita semua tahu, ada juga pendapat tentang bahawasanya pemasangan panjut ini adalah amalan turun-temurun warisan Hindu dan didakwa pemasangan pelita ini syirik kerana ianya mengharapkan sesuatu yang baik dari amalan yang dijalankan.
kredit gambar ig @sr_blacz
Tradisi dan budaya dengan menyalakan pelita api panjut yang dijalankan sejak puluhan tahun yang lalu oleh nenek moyang kita dahulu kini semakin tidak mendapat tempat di hati masyarakat melayu kita sendiri.
Zaman kegemilangan budaya panjut kini semakin terancam dan anda sendiri boleh lihat bilangan panjut yang dipasang di mana-mana rumah kini rata-ratanya sudah tiada dan apatah lagi pada zaman sekarang ini sukar untuk dapati bekalan minyak tanah.
kredit gambar ig @wankilmore
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, sukacita dimaklumkan bahawa masih ada lagi kebanyakan masyarakat kita yang amat prihatin akan budaya melayu yang semakin malap ini dan wajar dipuji untuk usaha mereka dalam membangkitkan semula kegemilangan pertunjukan panjut dan mereka telah menjalankan upacara tersebut berulang kali sejak beberapa tahun lalu.
Setinggi-tinggi ucapan tahniah diucapkan kepada semua penduduk di parlimen Padang Rengas kerana mereka semua disana telah sama-sama bekerjasama dalam menjayakan pertandingan dan pertunjukan panjut setiap tahun sejak pada tahun 2014 lagi.
Pertandingan dan pertunjukan panjut di Padang Rengas pada tahun 2017 telah menarik tumpuan dan perhatian orang ramai kerana kreativiti masing-masing dengan membina reka bentuk panjut yang menarik dan cantik!
Pertandingan tersebut telah dianjurkan oleh SRCC dengan kerjasama Kementerian Perlancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Padang Rengas. Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah sebanyak RM15,000 telah disediakan kepada mereka yang menyertai acara tersebut.
kredit gambar ig @amybaharin
Hal berkenaan dengan pertunjukan seni susunan panjut ini sungguh menarik dan secara tidak langsung ianya telah menyumbang dan menjadi salah satu produk kepada sektor pelancongan untuk negeri Perak.
Kami dari warga orangperak.com bertuah kerana berkesempatan untuk lihat sendiri kecantikan dan kreativiti reka bentuk panjut yang dibina oleh kesemua 39 kampung yang terlibat dalam pertandingan panjut di Padang Rengas pada tahun 2017 ini.
kredit gambar ig @maisarah_humaira
Sekadar pengetahuan anda semua pembaca setia orangperak.com, ada pula yang mengaitkan budaya panjut ini dengan kedatangan malam seribu bulan ataupun lebih dikenali dengan Lailatulqadar.
Meskipun ada yang menganggapnya sebagai amalan bidaah, namun bagi kebanyakan masyarakat kita tentang panjut atau pelita kecil yang dipasang pada malam 27 Ramadan ini sebenarnya mempunyai nilainya yang tersendiri dari sudut budayanya dan bukan sekadar untuk meraikan kedatangan bulan Syawal tetapi mempunyai sejarah tersendiri dalam perkembangan sosial masyarakat Melayu.
Terpanggil kami disini selaku warga orangperak.com untuk menjelaskan tentang cerita sebenarnya berkenaan dengan budaya panjut yang seringkali disalah ertikan oleh masyarakat kita pada hari ini.
Untuk makluman anda, budaya pemasangan panjut yang dijalankan oleh masyarakat melayu kita sejak dahulu lagi adalah untuk menerangi mereka yang ingin bertahajjud di masjid lewat 10 malam terakhir Ramadan. Seperti semua sedia maklum, pada zaman dahulu, manalah ada lampu elektrik yang memancar dari tiang-tiang tinggi.
kredit gambar ig @1romy
Peranan Panjut pada waktu itu jelas sekali berfungsi sebagai cahaya untuk menerangi mereka yang ingin ke masjid untuk mendapatkan fadilat kedatangan malam seribu bulan ataupun lebih dikenali dengan Lailatulqadar.
Fungsinya amat jelas dan berguna serta memberi manfaat secara tidak langsung ianya tidak ada kaitan dengan amalan-amalan yang dikaitkan dengan hindu. Inilah sebenarnya usaha mereka nenek moyang kita pada zaman dahulu.
Malah terkandung dalam penceritaan berkenaan dengan seakan pelita panjut ini di dalam teks Sejarah Melayu yang berceritakan tentang Bendahara Melaka Tun Perak menggerakkan strategi menentang cubaan Siam menawan Melaka dengan mengarahkan tenteranya mengikat obor pada batang pokok di sepanjang pantai Melaka.
Tentera Siam yang datang pada malam hari terkejut melihat banyaknya obor yang menyala menanti mereka di pantai menyebabkan mereka berpatah balik ke Siam kerana menyangkakan seramai itu juga tentera yang menunggu.
kredit gambar ig @shazlinjalil
Amalan dan budaya memasang panjut ini masih lagi boleh dijumpai tetapi tidak semeriah pada zaman dahulu dan itulah yang berharga dan menjadi keunikan.
Diakhirnya, sekali lagi kami dari warga orangperak.com mengucapkan jutaan syabas dan tahniah kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan program pertunjukan dan pertandingan panjut yang mana secara tidak langsung boleh menyumbang kepada menimbulkan semula budaya masyarakat melayu yang semakin lemas ditelan zaman.